Blog Selamat Tinggal
Showing posts with label wasiat. Show all posts
Showing posts with label wasiat. Show all posts

28 October 2011

37 Cinta Bukan Milik Kita

klik tuk besarkan

Dalam perhubungan impian, apa yang kita harapkan pastinya berkesudahan dengan Happy Ending kan? Malangnya, seringkali kita sampai di penamat yg berbunyi..

"..kita putus.."
"..sampai di sini.."
"..ceraikan saya.."
"..tak ada jodoh di antara kita.."
"..aku bukan utkmu..kamu berhak dapat yg lebih layak.."

Kita manusia. Manusia merancang. Allah juga merancang. Namun, "Wallahu Khairul Maakirin." ( Allah lah sebaik-baik perancang segala rencana. )

Hubungan pula saya bahagikan kepada dua:

- Hubungan yang diredhai (dah nikah).
- Hubungan tak halal (belum nikah lagi). 

Tapi kedua-dua hubungan ini juga tidak ada jaminan akan kekal. Kedua-dua hubungan ini akan diuji. Siapa yang lemah, pasti tersungkur. Siapa yang tabah, beroleh hikmah.

Cinta bukan milik kita. Sebab bukan milik kitalah, kita tak mampu kawal sepenuhnya.

Saya hanya nampak satu cara untuk kekalkan hubungan cinta. Gapai cintaNya melalui konsep Tawaqqi

Means, hubungan tak halal automatik belum pasti ada jaminan boleh berjaya sebab jauh dari cintaNya. Jika berjaya ke jinjang pelamin, itu maknanya Allah mahu kamu dan pasangan berubah lebih baik serta siap sedialah; kerna ada ujian-ujian di hadapan sebagai kaffarah dosa-dosa kapel silam. Namun jika tak berjaya, itu bermakna Allah nak kamu kembali muhasabah diri-hilangkan benteng yang menjadi hijab di antara kamu dengan kecintaan kepada Allah. Ya, kesedihan awal-awal itulah kaffarah dosa-dosa. 

Yang dah kahwin, tarbiyyahlah pasangan utk sama-sama jaga hubungan cinta dengan Allah. InsyaAllah kekal lamalah hbgn itu. Jika diuji, ada hikmah. Diuji dengan kesusahan dan kemiskinan, kecelakaan dan musibah. Jika tak diuji, pelik sebab kita hanya hamba. Bercerai juga ujian. Namun, bersyukurlah sebab Allah beri masa untuk kita kecap bahagia bersama-sama. Walaupun sekejap cuma. 

Fahami konsep Tawaqqi.

Apa itu tawaqqi? Menurut Ibnu Kathir tawaqqi adalah kata asal untuk taqwa. Bermaksud, "menjaga diri daripada perkara yang tak diingini." Menurut Muhammad bin Allan, "taqwa ialah mematuhi perintah-perintah Allah dan menghindari larangan-laranganNya dengan mengerjakan setiap yang diperintah, tinggalkan yang dilarang, mengikut kemampuan." Manakala Saiyidina Umar mengkiaskan hakikat taqwa sebagai "berjalan dengan waspada dan bersungguh-sungguh supaya tidak memijak ataupun terpijak onak dan duri."

Tak perlu bersedih lama. Cinta itu milik Allah. Hari ini Dia tarik rasa cinta dari hati pasangan kamu sehingga tawar hatinya. Sebab, mungkin esok atau lusa Dia campakkan rasa cinta yang lebih segar dalam hati si dia yang setepatnya untuk kamu. Semalam kamu berjalan dengan tidak cermat dan tidak berhati-hati. Hari ini dan esok, waspadalah jangan terpijak atau memijak onak dan duri. Jangan kau kutip lagi serpihan kaca. Buka mata, buka mata hati, guna iman dan tawaqqi. Akhirnya, 'kan kau jumpakan permata.

Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.
30 Dzulka'edah 1432 H.


10 October 2011

31 Hanya kerna dia Imam..

klik tuk besarkan

Hari ni saya rajin untuk update belog simple ni. 

Agak-agak siapa lelaki yang paling tampan, paling macho, paling baik, paling kool, paling best, paling hebat dan paling berkuasa di antara insan-insan bernama lelaki?

Ya, senang kan jawapannya. Lelaki yang mampu jadi Imam. Imam secara umumnya, imam solat secara khususnya. Hatta raja dan presiden negara pun bersolat di belakang seorang Imam. Hebat kan imam ni? Berkuasa macam mana pun orang itu, bila dia jadi makmum, dia wajib ikut Imam kalau mahu solat berjemaahnya sah.

Begitu juga dalam memilih pasangan. Wanita yang cerdik akan pilih lelaki yang mampu jadi imam solatnya. Boleh ajar dia solat, boleh bimbing dia. Boleh bangun solat bersama-sama di setiap sepertiga malam. Indah kan?

Adakah ada syarat-syarat yang strict untuk jadi imam? Tidak ada syarat susah. Janji orang Islam dan boleh solat. Boleh baca al-Fatihah. Doa? Tak pandai baca doa tak mengapa, hentam sahaja doa dalam B.Melayu. Yang lebih difahami itu lebih afdhal. Namun juga afdhal jika mengamalkan doa yang Nabi SAW sarankan. 

Semua lelaki mampu jadi imam. Jika dia mahu. Jika dia nak. Jika dia berani. Jika dia adalah Muslim. Islam tidak menetapkan keturunan yang baik2, kasta baik2, orang2 soleh sahaja boleh jadi imam. Semua boleh. Kenapa anda tak boleh? Malu bacaan tak sedap? Itu semua boleh diperbaiki. Bukti Islam tidak menetapkan  orang tertentu sahaja yang boleh jadi imam:-

"Abu Huzaifah, seorang hamba sahaya yang dimerdekakan, menjadi imam solat bagi kaum Muhajirin yang pertama dan beberapa orang sahabat Nabi SAW di Masjid Quba. Di antara mereka ada Abu Bakar, Umar al-Khattab, Abu Salamah, Zaid dan Amir bin Rabi'ah."
 ( Diceritakan oleh Umar bin Khattab dan dikeluarkan oleh Imam Bukhari )

Lelaki macho bukan lelaki stylo, lelaki cool bukan lelaki mulut manis berkereta hebat, bekerjaya mantap..bukan. Tapi hanya kerna dia mampu jadi Imam.

Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.


22 Semakin Ku Jauhi, Semakin Kau Dekati

klik tu besarkan


Kita sebenarnya makin jauh dengan Dia tanpa kita sedari. Bila siang kita sibuk dengan hal kita, bila malam kita masih sibuk dengan hal kita. Kadang-kadang hal siang membuatkan kita penat dan malamnya tertidur lena sampai ke pagi. Ulang sketsa yang sama setiap hari.

Ringkas pesanan saya. Ingatlah kata-kata Rabiatul Adawiyah:

"Telah menipu seseorang yang mendakwa cinta kepadaKu, 
tetapi apabila malam, mereka tidur dan meninggalkanKu; 
bukankah setiap kekasih rindu untuk bersendirian dengan kekasihnya?" 
al-Haddad, 1989

Ayuh! Bangun sedikit dari malam, bertahajjud dan menangislah puas-puas menangisi kesalahan diri. 

Hidup ni tak sentiasa indah. Hidup ni tak lama. Hari ni kita ada. Esok belum tentu.

Tanyalah diri: 

"Sampai bila aku nak hidup begini?"

Wassalam.

12 Dzulka'edah 1432 H
Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.

09 October 2011

33 Akan Ku gagah! Akan Ku tabah!


klik tuk besarkan

Nak jadi muslimah itu susah,

Nak jadi mukminah jua susah,

Nak jadi mujahidah lagilah susah,

Nak terus istiqamah super-susah,

Namun biar susah, biar rebah,

takkan ku endah takkan ku kisah,


Kan ku tabah!
Kan ku gagah!

Demi Allah, demi Solehah,

Kerna akhirnya ku tahu indah

IAITU menang atau Jannah!


Nukilan : Rusydee Artz, Selamat Tinggal.









6 "Tanya Sama Pokok..."

klik tuk besarkan 

Lihat kepada diri kita sendiri, lihat pada sekeliling, lihat pada segala-galanya di langit dan di bumi, apa yang kita dapat lihat?

Ya, kesemuanya adalah bukti-bukti ADANYA ALLAH.

"Tanya sama pokok..apa sebab goyang..jawab angin yang goncang.."
Apa yang lebih kuat dari angin? 
Jom baca.

Saya pernah mendengar dalam satu khutbah Jumaat berdekatan dengan rumah saya, antara isi si khatib:

"Tatkala Allah menciptakan bumi, bumi tersebut selalu bergerak sehingga diletakkan di atasnya gunung supaya tenang dan tidak bergerak lagi. Malaikat pun kagum dan berkata, "Ya Allah! Adakah dari makhlukMu yang lebih kuat dari gunung?" Allah menjawab, "Ya, besi lebih kuat." Mereka bertanya lagi, "Adakah yang lebih kuat daripada besi?" Allah menjawab, "Ya, api lebih kuat." Mereka bertanya lagi, "Adakah makhlukMu yang lebih kuat daripada api?" Allah menjawab, "Ya, air lebih kuat." Mereka lalu bertanya, "Ya Allah! Apa yang lebih kuat dan keras daripada air?" Allah menjawab, "Ya, ada. Angin lebih kuat." Mereka bertanya lagi, "Apakah ada yang lebih kuat daripada angin?" Allah menjawab, "Ya, ada. Anak Adam yang bersedekah dengan tangan kanannya secara tersembunyi yang lebih kuat daripadanya." - Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik.
Moga bermanfaat.

11 Dzulka'edah 1432 H
Rusydee Artz, 
Selamat Tinggal.
Wassalam.


06 October 2011

6 Ustazah Pilihan Yang Solehah 'Tuk Seumur Hidup

klik 'tuk besarkan

Salam wbt.

Seseorang ustazah yang ikhlas; mengajarkan ilmu kepada pelajarnya dan yang lain, tanpa mengharapkan balasan yang lumayan, tanpa mengharapkan publisiti, tanpa mengharapkan populariti, tanpa menonjol dan tidak perlu ditonjolkan di khalayak. Tidak bertanding dan tidak perlu dipertandingkan ilmu dan karekternya. Ustazah solehah yang faham kesolehahan seseorang wanita itu adalah tidak memandang dan tidak dipandang. Ustazah sebeginilah yang akan disayangi pelajarnya, dikenang muridnya, dicintai dan dikasihi dengan ikhlas oleh pelajar-pelajarnya. Jasanya dikenang hingga akhir hayat. Ustazah pilihan hati pelajar tidak perlu cantik, tidak perlu menawan, cukuplah ilmunya ikhlas hangat terasa sehingga ke dasar hati yang paling dalam. Diingat sampai bila-bila. Dipanggil ustazah sampai ke hujung nyawa.

Sebenarnya benarkah populariti memberi keuntungan kepada si pencarinya? 

Maulana Wahiduddin Khan menceritakan, Abu Umamah meriwayatkan bahawa seseorang mendatangi Rasulullah dan bertanya tentang orang yang berperang untuk mendapatkan material dan meraih populariti. Orang itu ingin tahu pahala apakah yang akan didapatkannya. “Tidak ada,” jawab Nabi. Orang tersebut mengulangi pertanyaannya hingga tiga kali, namun jawapan Nabi tetap sama. “Amal yang diterima Allah,” tambah Nabi SAW, “..adalah yang didasari keikhlasan dan ditujukan semata-mata kepadaNya.” (An Islamic Treasury of Virtues A Collection of Inspiring Thoughts, Story, Quotes, and Saying of the Prophet Muhammad and His Companions terj. Mona Raguan, 2000, AlvaBet, h.49). 



Populariti Yang Sebenarnya Bertapak Dari Dasar Apa?

Dr. Sidek Baba menjelaskan secara umum, ukuran Allah tentang kemuliaan seseorang atau perjuangan sesuatu suku dan bangsa ialah status takwanya. Ini merupakan ukuran yang amat adil dan saksama kerana akhirnya bukan ukuran bangsa, pangkat dan darjat menjadi ukuran Allah tetapi daya keinsafan yang tinggi tentang keterikatan manusia dengan Khaliqnya menjadikan ketertiban dan keakuran manusia kepada apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang. (Seteguh Tekad, 2009, Alaf 21, h.104). Penulis amat bersetuju dengan kenyataan ini. Takwalah menjadikan kita popular di pandangan Allah.

Penulis juga telah mengabadikan dalam nota panjang di ""Dakwah Tidak Berdiri Atas Dasar Populariti: Satu Tinjauan." untuk bacaan saudara-saudari semua.

Jadilah ustazah yang ikhlas dan bertaqwa. Yang menjaga diri dan agamanya.

Apalah populariti dan keduniaan, semua hanya sementara. Akhirnya lapuk dek masa. Datang pula populariti yang lain. Kejar populariti, dapatlah populariti sekejap.


Tapi apa selepas itu? Pudar dan dilupakan. Kita perjuang dakwah, bukan perjuangkan untuk popularkan pendakwah. Allah lah yang popularkan kita, angkat ke tempat tinggi di sisi masyarakat.

(pandangan para ustaz mengenai rancangan realiti tv pilih ustazah,klik tuk besarkan)

Kejar ikhlas dan taqwa, dapat dunia..dapat akhirat. Dapat syurga. Dapat kasih insan. Dapat kasih Tuhan.

Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.
Wassalam.
8 Dzulka'edah 1432 H.





04 October 2011

27 Erti Sebenar Solehah


Salam wbt.

Ringkas juga kali ini. Adik kecik saya tanya saya, "Dee, apa makna solehah?" Tergagap jua nak jawab. Kalau tanya kamu semua, agak-agak apa yang akan kamu jawab?

Saya buka al-Quran. Surah al-Nisa' ayat 34, firman Allah:

..Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya...

Jelas sekali kata-kata Allah ini.

Apa itu Qanitah?


'Qunut' adalah ketaatan yang dilandasi kemahuan, konsentrasi, kesukaan, dan kesenangan. Bukan kerana terpaksa, dipaksa, kesal ataupun bodoh. Sebelum nikah, perempuan itu wajib taat pada kedua ibu bapanya dan menghormati guru (selain perkara maksiat). Selepas nikah, wajib taat pada sang suami. Langsung tidak wajib taat dan patuh pada sang kekasih yang belum dinikahi.

Ok, kenapa al-Quran menggunakan kata Qanitah dan bukan Ta'ia'ah walaupun kedua-duanya maksud sama iaitu taat?


Jawapan: Kerana Qanitah mengandungi makna kejiwaan, memiliki bayangan perasaan yang menyenangkan dan menyejukkan. Keadaan sebegini lebih memungkinkan bagi wujudnya ketenangan, kasih sayang, saling menutup dan menjaga, antara suami isteri dan anak-anak, tarbiyah famili dalam suasana indah.

Apa lak Hafizah?

Ini mudah kita faham. Yakni wanita yang jaga diri, maruah sendiri, suami, jaga aib dan air muka suami. Jaga kehormatan diri, suami dan famili. InsyaAllah, mereka yang betul-betul jaga, Allah dah janjikan jagaanNya dan pertolonganNya pula.

Macam mana nak dapat wanita Qanitah dan Hafizah ni?


Saya tak tahu. Al-Dua' Silahul Mu'min. Doa itu senjata orang beriman. Doalah. Semestinya wanita dua ciri ini tersembunyi dalam hiruk pikuk masyarakat penuh dosa. Satu dalam seribu. Bergemerlap dalam gelap.

Sekian, wassalam.

Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.
6 Dzulka'edah 1432 H.




35 Berdua Denganmu Pasti Lebih Baik

klik tuk besarkan

Salam wbt.

Kali ini juga ringkas sahaja pembelogan saya. Mengapa saya selalu lukis lukisan pasangan? Senang jawapannya:

"Untuk menggalakkan kamu yang belum bernikah kepada bernikah, cukuplah bersama dalam haram. Jom ke arah yang halal."
Bersenda gurau lah dengan yang halal agar tenang hatimu, senang jiwamu, bahagia hidup berduamu. Jika dengan yang tidak halal, bersenda gurau pun tidak tenang. Lazat tetapi bermaksiat lagi berdosa. Berbeza dengan yang halal, nikmat lagi berpahala lagi mengeratkan hubungan rumahtangga.

Rasulullah SAW pun selalu bersenda gurau dengan Saidatina Aisyah. Kata hadis Nabi SAW yang ringkas dalam pencarian pasangan yang secocok dengan anda:

"..sehingga kamu dapat tertawa dengannya dan ia tertawa denganmu.."
( HR Muttafaqun 'Alaih )


Rusydee Artz,
Selamat Tinggal,
6 Dzulka'edah 1432 H.
Wassalam.

26 September 2011

28 Selagi

klik utk besarkan

Kali ini saya hanya nak berkata dengan seringkas mungkin dari kata-kata saya sendiri. 

Adik-adik remaja sekalian yang masih belum kawin, selagi belum akad nikah, selagi itulah ada jarak di antara kamu dan pasangan kamu. Selagi itulah ada pemisah di antara kamu dan dia. Selagi itulah ada syaitan di antara kamu dan dia. Selagi itulah akan ada murka Allah di antara kamu dan dia.

Sekian.

Rusydee Artz,
26 Syawal 1432H,
Selamat Tinggal.
Wassalam.

24 September 2011

17 Yang Haq Tetap Berdiri



Al-Syahid Syeikh Ahmad Yassin berkata:

Saya ingin menegaskan bahawa rakyat lebih kuat dan lebih berupaya daripada kerajaan. Anda semua telah menyaksikan rakyat Palestinlah yang menerajui perubahan dan perlawanan dengan rejim Zionis berbanding apa yang anda namakan sebagai 'kerajaan'. Rakyat jugalah yang telah menggagalkan segala yang telah dirancang oleh musuh. Saya yakin, Islam pasti menang. Projek Zionis dan Amerika di bumi Palestin akan hancur dengan izin ALLAH SWT dan kemenangan akan berpihak kepada rakyat Palestin.


Ya Allah, selamatkanlah Islam fi kulli makaan.
24 Syawal 1432H,
Selamat Tinggal.
Rusydee Artz.

23 September 2011

18 "Selamat Tinggal"

"...Permintaan terakhirku..jgn kau lafazkan..walaupun seketika, walaupun sekelip mata..simpan saja kata-kata, ke akhir hayat yang ada.."
"Hai diriku, kematian akan menceraikan dikau dengan orang yang kau cintai." - Siapakah Aku, Nora,1989.
"Perpisahan bernama kematian amat tidak digemari oleh sesiapa pun. Namun kematian itu hak ALLAH. DIA yang menghidupkan dan DIA jualah yang berkuasa mematikan." - Bagaikan Puteri, Ramlee Awg Murshid.
Kematian adalah kepastian. "Merasai Mati" diulang hampir 5 kali dalam al-Quran. Firman Allah:
Surah Al-Anbiya' (21):35

Tiada siapa dapat lepas dari kematian. Manusia pasti mati dan tidak kekal abadi di dunia.
Firman Allah lagi:


Surah Al-Anbiya' (21):34

Kita tiada daya upaya menunda, mendahulukan, atau melewatkan kematian. Firman Allah lagi:

Surah al-A'raf (7):34

Takut mati bukan dari ajaran agama Islam. Islam menyarankan umatnya bersedia untuk mati. Bukan lari darinya. Firman Allah:

Surah al-Jumu'a (62):8

Cubalah lari, mati pasti akan mendapatkanmu. Cubalah. Firman Allah:
Surah al-Nisa' (4):78

Akhir sekali, pesan untuk diriku sendiri:

Pepatah arab ada menyebutkan, "Segala sesuatu yang pasti akan terjadi, bererti ianya dekat." Kematian itu pula sesuatu yang pasti, maka mati adalah dekat. Malah lebih dekat dari kita mencapai sesuatu sijil, diploma, sarjana, master, PhD. Lebih dekat dari kita berjaya dalam hidup dapat kerja, dapat beli rumah dapat kumpul kekayaan. Malah lebih dekat dari dapat kahwin.

Rusydee Artz,
23 Syawal 1432H.
Selamat Tinggal.
Wassalam.

16 July 2011

24 Cukup bermenung! Ayuh raih al-Rayyan itu!

Assalamualaikum wbt..

 klik utk besarkan mana2 gambar - finish



Ok stop! Gambar-gambar di atas ni banyak sangat termenung. Ramadhan dah dekat ni. Jangan bermenung-menung lagi, berangan-angan, bersedih-sedih, bersuka-suka terlampau lagi. Sekarang masanya fokus. Misi kita sekarang adalah untuk mendapatkan REDHA ALLAH dan Al-Rayyan Allah. Ha, tahu ke apa tu al-Rayyan?

Jom saya bawa anda semua menyelidiki al-Rayyan.


Ni apa kebenda pulak ni? Ni hadith Riwayat Bukhari. Apa maksudnya? Maksudnya:

"Sesungguhnya di syurga nanti ada sebuah pintu yang diberi nama al-Rayyan, yang akan dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa dan tidak dimasuki oleh orang-orang selain dari mereka. Diserukan kepada mereka, 'Mana orang-orang yang suka puasa?' Lalu mereka berdiri. Tidak seorang pun yang akan masuk dari pintu itu kecuali orang-orang yang suka puasa. Apabila mereka telah masuk, maka pintu itu akan ditutup. Tidak ada seorang pun yang boleh masuk kecuali mereka."
"Ala..tak tahan la puasa..sampai tengahari perut dah berbunyi-bunyi. Orang kat bandar metropolitan ni ramai je yang senyap-senyap buka puasa..rilek la..nanti Qodha ( ganti ) je la puasa tu..tak pun bayar je fidyah ( denda ) sebab tak larat nak puasa..gastrik dowh..takleh pose2 ni.."

Chop! Teliti ni dulu


Ni apa pulak ni? Ni hadith Riwayat Muslim. Apa maksudnya? Maksudnya:

"Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah, nescaya ia akan dijauhkan oleh Allah wajahnya dari api neraka 70 tahun."
Fuh! 70 tahun tu~ banding dengan 30 hari puasa wajib di bulan Ramadhan je. Takkan tanak kot ~

"Ye ke ni, tak caya la weh aku..takkan la Allah bagi senang-senang camni..di jalan Allah tu Dia mention. Camana tu di jalan Allah..tak clear weh..cuba ko terang sikit.."

Baik, memanglah Allah takkan bagi senang-senang. Ada la persyaratannya. Jom kita tengok apa syarat-syaratnya.


Ni hadith Riwayat Bukhari, maksudnya :


"Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata dusta (bohong semasa berpuasa) dan perbuatan dusta, maka Allah s.w.t. tidak berhajat padanya untuk meninggalkan makan minumnya."
Maksudnya senang difahami. Hentikan menipu. Hentikan berdusta dengan mulut dan perbuatan. Jujur pada diri. Jujur pada Allah. Jujur pada semua orang samada nampak atau tak nampak. Dusta ni dosa, kalau dah dosa sure lah maksiat. Perbuatan dusta maksudnya perbuatan maksiat. Jadi, stoplah bermaksiat! Hadith ni valid untuk bulan puasa dan juga bukan bulan puasa. InsyaAllah, tinggal semua ni dan puasalah dengan ikhlas dan sungguh-sungguh hati untuk dapat redha Allah dan syurga al-Rayyan.

Jadi, itu sahajalah omelan saya kali ni. Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak! Ayuh, gapai al-Rayyan!

Selamat Tinggal,
14 Sya'ban 1432 H,
Rusydee.



06 July 2011

12 Selamat Tinggal Semalam

klik utk besarkan

Assalamualaikum wbt.

Saya sememangnya kuat berangan-angan, kononnya nak jadi soleh. Tapi insyaAllah jika niat dah ada, Allah akan bantu kita ke arah itu. Tapi kena berusahalah sungguh-sungguh dalam menjayakan misi dalam saki baki umur yang masih ada.

Andai ditoleh ke masa lalu sememangnya terasa lemah semangat. Banyaknya dosa dan noda. Namun, jika kita sentiasa melihat ke belakang, sampai bila-bila pun kita tak dapat lepas dari diri kita yang lama. Setiap hari apabila bangun dari tidur, jadilah diri yang baru. Tinggalkan sahaja diri yang semalam. Andai diri yang semalam kurang baik, diri hari ini patut lebih baik. Andai diri yang semalam sudah baik dan soleh, hari ini patut lebih dan lebih lagi baik dan soleh dari hari semalam.

Saya meneliti hadith popular ini: Nabi SAW bersabda:
 "Tujuh golongan berada dalam lindungan Allah di hari yang tidak ada perlindungan selain lindunganNya; pemimpin yang adil, pemuda yang rajin beribadah, seseorang yang hatinya selalu terkait dengan masjid, dua individu yang menjalinkan cinta dan kasih kerana Allah, bertemu dan berpisah keranaNya, seorang lelaki yang dirayu wanita cantik dan berkedudukan namun berkata, 'Aku takut kepada Allah!', seseorang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi hingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diberikan tangan kanannya, dan seseorang yang mengingat Allah sendirian lalu bercucuran air matanya." (HR al-Bukhari dan Muslim).

Melalui hadith ini, Allah memberikan banyak peluang kepada golongan lelaki untuk berubah. Takkanlah dari kesemua yang disenaraikan di atas satu pun kamu tak mahu raih?

Fighting! Cuba salah satu jika nak dapat lindungan bayangan Arasy di akhirat kelak.

p/s: Menanti Ramadhan. Koreksi diri lagi!

4 Sya'aban 1432,
Rusydee.

06 March 2011

0 Nikah Itu Sunnah

klik tuk besarkan

Nikah itu sunnah. Sunnah itu sunnah Rasulullah. Sunnah ni adalah perbuatan yang dilakukan Rasulullah SAW.

Easy tuk faham.

Dikuatkan dengan hadis Nabi SAW. Sila hafal hadis ringkas ni. Jangan reti sebut je "nikah itu sunnah." Beri dalil terus. Hafal naaa..



Rusydee Artz, 
Selamat Tinggal. Wassalam.



15 February 2011

21 Menanti

Hanya cebisan lukisan lama
Sekadar memetik dari blog seorang yang saya hormati. 
"Jika manusia harus lama menanti apa yang diinginkannya, maka hilanglah kesabaran dan sempitlah dadanya. 

Ia lupa bahawa di dalam penciptaan ini Allah memiliki sunnah-sunnah yang tidak akan berubah, bahawa segala sesuatu ini mempunyai waktu yang telah ditetapkan, bahawa Allah tidak akan dapat dipengaruhi oleh ketergesa-gesaan seorang pun. 

Setiap buah memiliki batas waktu matang. Ketergesa-gesaan seseorang tidak akan dapat mematangkannya sebelum batas waktunya, sebab ia tunduk kepada sunnatullah yang mengaturnya. Tak seorang pun dapat memaksanya."
(Dr.Yusuf al-Qaradhawi, anak murid Syeikh Muhammad al-Ghazali.)

p/s: Dengan ini, blog ini akan terbiar usang sehinggalah tesis saya selesai. Kira-kira akhir bulan 4 ni insyaAllah. Doakan saya berjaya sudahkan sem akhir pengajian sarjana usuluddin (tafsir al-Quran) saya. Sesungguhnya hanya Allah yang Maha Mengetahui betapa sukarnya saya nak menyudahkan tesis ini. Dan hanya Allah yang mampu memberi ilham dan membantu. Hajat doa kawan-kawan semua. Maafkan di atas segala silap salah saya. Wassalam.


10 February 2011

30 Contest: Sucikan Rân Dengan Taubat

tangisan keinsafan


Assalamualaikum wbt..
Bismillahirrahmaanirrahim. Dengan ini saya melancarkan contest yang tiada tarikh tutup untuk diri sendiri dan semua yang membaca belog ini. Hadiahnya straight dari Allah, insyaAllah sangat bernilai dan pasti lebih mahal dari mana-mana hadiah yang pernah ditawarkan di muka bumi blogger ni.  

Taubat: Pintu Gerbang Kehidupan Baru
Kalam agungNya dalam Surah al-Baqarah [2:222]:
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri."
Saya meneliti bahawasanya Islam sangat mementingkan kesucian diri lahiriyyah dan batiniyyah (luar dan dalam), contohnya manusia tidak dapat lari dari terkena kotoran samada berupa debu, najis dan sebagainya. Lalu, Allah memerintahkan manusia dengan berwudhu' untuk menyucikan diri dari debu-debu dan mikroorganisma2 yang melekat pada tubuh. Kemudian memperbaharui wudhu' itu lagi setiap kali hendak bersolat. 5 kali solat, 5 kali wudhu', 5 kali kita bersih dari kotoran. Jika dah bersih dan suci dari kotoran, susah kan nak kena penyakit? Malah ada kajian mengatakan kulit yang bermasalah (berjerawat dsb) boleh dikurangkan hanya dengan kerap berwudhu'. Bukan itu sahaja kelebihannya, malah disebut dalam hadis, Rasulullah menanti orang2 yang mempunyai tanda-tanda putih di kepala dan kakinya kerana bekas wudhu'. Dan baginda menanti di telaga Kautsar di akhirat kelak. Dah ambil wudhu', jangan lupa solat plak.

Itu dari kesucian luarannya. Bagaimana pula mensucikan seluruhnya luar dan dalam?; dari noda dan dosa-dosa silam tidak kiralah kecil atau besar dosa itu. Ya, Taubat Nasuha. Untuk memulakan kehidupan baru, tidak cukup hanya dengan azam dan perbuatan, tetapi perlu dibuka dengan Taubat. Jika dah berubah, tetapi tidak bertaubat saya kira ianya tidak balance.

Jangan Takut 'tuk Sujud Bertaubat

Dalam riwayat Muslim ada menyebut, dari Abu Musa bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Sesungguhnya Allah membukakan TanganNya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang melakukan dosa pada petang harinya. Allah juga membukakan TanganNya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa pada malam harinya, sampailah matahari terbit dari tempat tenggelamnya (kiamat)."
Lihat, 24 jam waktu Allah buka untuk mengampunkan dosa-dosa kita. Betapa Pemurahnya Tuhan kita. Masjid pun tak bukak 24 jam kat Malaysia ni. Tapi kita masih lagi menangguh-nangguh, menunggu-nunggu, beralasan 'tak sampai seru lagi' (ala2 kaum Jabbariyyah), masih tak ready untuk bertaubat. Hairan. Saya pun juga hairan dengan diri sendiri. Lebih kurang je. Peluang kat depan mata, tapi taknak jugak grab cepat-cepat. Bila dah nyawa di kerongkong, pintu taubat sudah tertutup. Menyesal pun dah tak guna.

Apakah itu Rân?

Firman Allah dalam Surah al-Muthaffifin [83:14]:
Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.
Dengan kata lain, saya fahami sebagai kotoran yang berupa titik-titik hitam yang kita kumpulkan sehari-hari bersumber dari dosa-dosa kecil sehinggalah dosa besar. Kotoran hitam pekat yang menyelaputi hati kita. Tiada cara lain untuk membersihkan Ran ini kecuali dengan taubat dan mohon keampunan dari Allah. Pentingnya buang Ran ni sebab jika hati dah hitam, hidup akan jadi tidak bertujuan. Iman tergugat, tercabut iman. Tidak tenang, resah gelisah, cepat marah, murung, sakit hati, sakit hati pada orang lain dan sedih. Semuanya adalah kerana Ran inilah. Segala penyakit jiwa dan hati adalah kerana kuantiti Ran yang menancap kuat pada hati kita. Mari kita nyahkan Ran ini dengan taubat. Stop maksiat, mari taubat. Ayuh!

Untuk berjuang, membangunkan umat, menjaga umat Islam dan agama kita..marilah kita taubat. Buang Ran, hidup tenang. InsyaAllah.


Cara Taubat Paling Senang

Solat sunat dua rakaat diniatkan dengan sungguh-sungguh semata2 memohon keampunan dari Allah. "Sahaja aku solat sunat taubat 2 rakaat kerana Allah Taala". Bacalah apa sahaja surah yang diketahui. Yang penting, insaf betul-betul, tidak lagi mengulangi dan mengharapkan hidup baru dalam redha Allah.

Saya doakan diri saya berjaya taubat. Juga kamu sekalian. Amin.

Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah orang-orang yang menzalimi diri sendiri dan berbuat zalim pada orang lain. Ampuni aku Ya Allah! Ampuni aku..Pimpinlah daku, luruskanlah hatiku. Kawallah mazmumahku agar tidak merosakkan agamamu dan juga tidak merosakkan kehidupan orang lain.....


 Mini stamp-banner utk contest ini. Amiklah dan guna di belog masing2.

Rusydee, 7 Rabi'ul Awal 1432 H,
Selamat Tinggal.

28 January 2011

29 Berjuang Memang Pahit, kerna Syurga Itu Manis

 selepas, klik utk besarkan gambar


Ungkapan obor jihad Salahuddin al-Ayubi, "Barangsiapa menguasai Palestine maka mereka akan menguasai dunia!" ternyata membawa makna besar pada dunia Islam yang bermaksud bumi ini akan sentiasa menjadi saksi mata pertembungan di antara hak dan batil dari dulu sehingga hari ini. Bukan sahaja orang Islam bermati-matian mempertahankan bumi Palestine dari Israel laknatullah, malahan Muslimin underground yang kita tidak pernah nampak dari dada akhbar dan media, giat berjihad memerah taktik dan keringat dalam memperjuangan Islam!

Mungkin kelmarin bumi Tunisia bergolak hanya kerana penjual sayur membakar diri, lalu tumbang rejim kejam yang bertapak selama 23 tahun di Tunisia. Sekarang, bumi Mesir pula bergolak. Rejim zalim Hosni Mubarak tergugat, terkesan dengan reformasi yang muncul secara mendadak di Tunisia! Rakyat Mesir yang celik dan tidak berhati buta turun ke jalanan untuk memprotes kezaliman rejim Hosni. Mungkin di Malaysia, rakyat ke jalanan dipanggil bodoh, sebenarnya mereka yang hanya pandai berkata "mereka bodoh" itulah yang sebenarnya bodoh. Takut. Hanya berani bersuara di belakang. Jangan pandang remeh rakyat di jalanan. Jangan sekali-kali. Sejarah sudah membuktikan rakyat di jalanan mampu menjatuhluluhkan sesebuah kerajaan korup! Berjuanglah dengan cara sendiri pun, tapi jangan anggap perjuangan orang lain yang juga berjuang adalah bodoh!
demo di Mesir 2011

disembur air kimia ketika solat hajat!

Mari kita tinjau perjuangan-perjuangan yang pernah berlaku di abad baru oleh tokoh-tokoh mujahid sejati.

1. Perjuangan seorang doktor di Palestine

Pada tahun 1983, Dr.Abdul Aziz Rantisi seorang doktor hebat kelahiran Palestine ditangkap oleh Israel kerana keengganannya membayar cukai kepada kerajaan rejim Israel. Tiga tahun kemudian, beliau bersama pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang lain termasuk Syeikh Ahmad Yassin, menubuhkan gerakan Islam Hamas sebagai wadah baru perjuangan rakyat Palestine, berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. Hujung tahun yg sama, Rantisi bersama Syeikh Ahmad Yassin, Abdul Fattah Dukhan, Muhammad Syama', Dr.Ibrahim al-Yazur, Isa an-Najjar dan komander Salah Syahadah memimpin dan menyeru seluruh rakyat Palestine turun ke medan tempur berperang dengan Israel secara terbuka. Dan berlakulah Intifadha Pertama secara rasminya.

Peristiwa apakah yang mencetuskan intifadha ini? Kejadian sebuah lori besar milik pendatang Yahudi sengaja melanggar dua buah lori kecil milik rakyat Palestine menyebabkan 4 terbunuh dan 9 cedera parah. Ini menimbulkan kemarahan umat Islam dan kebangkitan mereka kali ini tidak dapat ditahan lagi! 1988 menyaksikan Rantisi ditahan dan didakwa atas kesalahan menentang penjajahan Israel dan dipenjara 2 tahun. Dalam penjara juga berjuang, hafal Quran 30 juz. 1990, beliau dibebaskan pada September tetap jihad yang terus menerus dari beliau menyebabkan beliau ditahan balik 3 bulan selepas itu. Beliau galak seperti rambo, lasak panas dan sejuk beku, dibuang daerah, cuba dibom, cuba diledakkan dengan serangan helikopter Apache, keretanya ditembak sehingga beliau dan anak kecilnya cedera. Namun tidak serik-serik beliau berjuang. Syeikh Ahmad Yassin yang dibunuh Israel dengan tembakan dari helikopter Apache pada 22 Mac 2004 telah menjadi inspirasi kepada beliau untuk juga syahid mendapat syurga! Menang bukan keutamaan, syahid adalah segalanya.

Rantisi mengepalai Hamas ketika Palestine menangisi kematian Ahmad Yassin hinggalah beliau sendiri mengikut jejak langkah sahabatnya Ahmad Yassin pada 17 April 2004. Beliau bersama-sama 2 pengawalnya Akram Nisar dan al-Ghurrah syahid dalam keadaan paling mulia. Beliau syahid ketika bertempur dengan Israel. Takbir dan laungan reformasi bergema mengiringi kepergian Rantisi. Mungkin beliau syahid, tetapi roh dan semangat perjuangan tetap terus hidup bersama-sama rakyat Palestine dan ke seluruh pelosok hati umat Islam yang celik hati! Allahuakbar!

2. Perjuangan ulama buta di Mesir.

Andai di Indonesia pemidato hebatnya mungkin Bung Tomo dan Sukarno, Malaysia pula memiliki Prof. Dr.Zulkifli Mohamad, atau Mahathir dengan regunya Anwar Ibrahim dan Nik Aziz Nik Mat, tanah arab pula merakamkan kisah seorang pemidato unggul tetapi cacat penglihatan yang menggoncangkan pentas pidato dan mimbar Jumaat sehingga mereka yang zalim menggeruninya. Namanya Syeikh Abdul Hamid Kisyk.

Lahir pada 10 Mac 1933 di daerah Shubra Kheit dalam wilayah Buhaira ( wilayah yang sama dengan tokoh yang dikaji penulis iaitu Syeikh Muhammad al-Ghazali al-Saqqa ), Mesir. Beliau sangat hebat dari sudut pendidikan, 100% markah dalam semua subjek ketika di persekolahan, kemudian menjadi pelajar terbaik seluruh Mesir, kemudian berada di kedudukan pertama berturut2 selama 4 thn di Fakulti Usuluddin al-Azhar. dan bermacam2 lagi pengiktirafan yang beliau dapat selama beliau berada dalam bidang pendidikan.

Saya singkatkan lagi, beliau juga pernah dipenjara pada 1965 untuk kali pertama dengan alasan mengkritik kerajaan dan dimasukkan ke penjara Abu Za'bal, Qal'ah dan penjara perang selama 2 tahun setengah. Syeikh Kisyk adalah antara ulama yang tegas membantah perjanjian Camp David yang dimeterai Presiden Mesir ketika itu, Anwar Saddat dan PM Israel Menachem Begin. Sekali lagi beliau ditangkap dan disumbat dalam penjara. 1981, beliau dibebaskan namun dilarang berkhutbah di mana-mana masjid. Beliau telah diban oleh kerajaan zalim.

Oleh kerana semangatnya perjuangan beliau, beliau mencari inisiatif membina masjid sendiri yang mana beliau mampu bersuara di masjid beliau tanpa kekangan kerajaan. Beliau dan sahabat-sahabat menggunakan masjid itu sepenuhnya, tarbiyyah, tazkirah, khutbah, pidato, berjuang habis-habisan hanya dari sebuah masjid. Dikatakan masjid beliau ini sangat popular sehingga tempat duduk pun terpaksa di'tempah' dan ramai berasak-asak hanya demi mendengar kata-kata Syeikh. Ramai yang membuka mata dari khutbah dan pidato beliau, ramai mujaddid baru yang lahir kerana perjuangan hebat beliau! Hanya dari masjid!

Dinukilkan Syeikh Kisyk meninggal dalam keadaan paling terhormat, beliau mengambil wudhu di rumahnya dan ke masjid untuk berkhutbah, namun sebelum itu beliau bersolat sunat dua rakaat. Sujud pertama beliau bangkit, namun di sujud kedua Allah memanggilnya utk selama-lamanya. Allahuakbar...

Suka saya ambil sedikit nilai dari perjuangan beliau, beliau berpendapat mengkritik kerajaan bagi membetulkan kesalahan pemerintah adalah fardhu 'ain yang mesti dijalankan tanpa rasa takut kepada manusia. Kritiklah walau dipenjara sekalipun. 

3. Perjuangan Hassan al-Banna

Tidak perlu lagi saya sebutkan perjuangan Hassan al-Banna yang mungkin semua orang sudah tahu. Beliau adalah tokoh Ikhwan dan pencetus kebangkitan umat abad 20. Beliau ditembak mati pada Zohor 12 Februari 1949 ketika keluar dari bangunan Ikhwanul Muslimin. Ketika itu kerajaan Mesir diketuai oleh pemerintah zalim, al-Nukrasi Basya dari parti al-Sa'di.

Suka saya suka nukilkan satu tazkirah dari Hassan al-Banna buat kita semua:

"Wahai Ikhwan ! Berimanlah dengan Allah. Kuatkanlah dengan mengenal dan berpegang serta menyerah kepada Allah. Janganlah kamu takut selain dari Allah. Tunaikanlah suruhanNya dan jauhilah laranganNya. Bersikaplah dengan perangai yang baik Jadikan kamu orang-orang yang kuat dengan akhlak yang mulia, dengan sifat yang gagah sebagai orang-orang Mukmin, dan dari sifat mulia sebagai orang-orang yang bertaqwa dan yang Soleh. Kamu hendaklah betul-betul mempelajari al-Quran dan betul-betul mengkaji serta mengulangi Sirah Nabawiyyah. Kamu harus menjadi orang yang banyak bekerja bukan orang yang banyak bercakap dan bertengkar kerana satu-satu kaum bila mendapat petunjuk dari Allah mereka diilhamkan untuk bekerja. Sebaliknya satu-satu kaum itu sesat setelah mendapat petunjuk adalah kerana mereka banyak bertengkar dan berbalah.

Kamu hendaklah saling menyayangi sesama kamu. Berilah sepenuh tumpuan kepada perpaduan kamu kerana perpaduan adalah nadi kekuatan kamu dan tiang kepada kejayaan kamu. Tetapkanlah pendirian kamu sehingga Allah membuka yang haq di antara kamu dan kaum dan Allah adalah pembuka. Dengan dan taatilah pimpinan kamu samada senang atau susah, suka atau terpaksa, kerana ia adalah panduan kepada pemikiran kamu, dan ia juga sebagai penyambung kepada hubungan sesama kamu. Kemudian dengan sabar tunggulah pertolongan dan bantuan Allah. Peluang ini tetap akan datang, usahlah merasa ragu.

Pada hari itu bergembiralah yang beriman dengan pertolongan Allah. Allah menolong siapa sahaja yang dikehendakiNya dan Allah amat gagah dan amat penyayang. (al-Rum:4-5)"

Begitulah secara ringkas perjuangan-perjuangan dari tokoh-tokoh besar. Tidak disebut lagi perjuangan Said Hawwa, Said Nursi, Syeikh Ali Abu Hassan al-Nadwi, Syed Qutb dan lain-lain. Kita juga di Tanah Melayu jangan lupakan peristiwa berdarah Memali, peristiwa penangkapan ISA beramai-ramai, tuduhan-tuduhan palsu ke atas pemimpin2 besar yang membangkang kerajaan dan banyak lagi peristiwa yang menindas agama Islam di bumi Malaysia. Perjuangan tetap diteruskan. Kita telah perhatikan dulu Dr.Burhanuddin al-Helmi yang berjuang untuk Islam bersama tokoh-tokoh lain lagi juga tak terkecuali Tok Kenali dan Tok Janggut. Mengapa sampai bermati-matian? Biarpun suatu hari TGNA meninggal sekalipun, perjuangan membela Islam tetap diteruskan. Biarpun suatu hari parti Hijau tumbang, tetapi cebisan yang tinggal mesti terus menerus memperjuangkan Islam. Ini bukan seruan untuk kamu masuk parti Hijau, bukan sama sekali. Jika kita claim kita adalah pejuang, maka kita wajib mempertahankan Islam dalam apa bentuk sekalipun. Dakwah serasi ummah! Tidak kiralah apa sahaja perjuangan pun, namun jika ia adalah demi menegakkan kalimatullah di muka bumi ini, kita wajib menyokongnya. Bukan menang yang kita cari, tetapi syahid yang kita damba! Takbir! Allahuakbar!


Rusydee, 23 Safar 1432,
Selamat Tinggal. Wassalam.

23 January 2011

30 Muhasabah Panjang

klik utk besarkan

berfikir...

Assalamualaikum wbt..

Entri ni agak sopan sedikit, perkataan "aku" akan digantikan dengan "saya".
Saat saya taip entri ini, jam menunjukkan pukul 2.30 pagi. Hening sungguh malam ni hatta bunyi yang perlahan pun boleh didengar jelas oleh telinga ni. Lalu saya putarkan Surah Qaf sebagai halwa telinga. Pening juga kepala asyik layan lagu jiwang, sekali sekala patut juga dengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran.

Ketika saya menyiapkan kajian disertasi saya, saya menemukan di dalam kitab Muhammad al-Ghazali yang mengatakan bahawa pada pandangannya Allah menciptakan manusia adalah untuk hidup kekal abadi. Saya berfikir kenapa pula kekal abadi? Kata Syeikh, kehidupan kekal abadi dibatasi dengan kematian. Kematian yang menjadi pemisah antara dua kehidupan. Walhal kehidupan masih lagi asasnya adalah kehidupan kekal abadi. Apakah dua kehidupan itu?
Kehidupan pertama untuk menanam dan kehidupan kedua adalah untuk menuai.
Dan saya memerhatikan di dalam al-Quran ada beberapa golongan yang dibangkitkan dari kematian dengan beberapa reaksi yang berbeza-beza. Mari kita tinjau di mana golongan diri kita sendiri.

Muhasabah Tentang Hari Kebangkitan
  • Golongan Yang Tidak Percaya Akan Dihidupkan Kembali 
Firman Allah dalam Surah Ya Seen [83]:51-53 :-
51.    Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.      
52.    (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,(Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul.    
Saya berpendapat orang-orang yang tak bersedia dengan tanaman yang baik dan subur di dunia juga merasakan sedemikian rupa. Merasa diri mereka celaka. Apatah lagi kafir dan musyrik yang langsung tidak mempercayai hari kebangkitan.

  • Orang Yang Memperbaiki Diri Dan Sentiasa Bersiap Sedia Menemui Allah
 Firman Allah dalam Surah al-Shaffaat [37]: 58-60 :-

58.    (Kemudian dia berkata kepada rakan-rakanya yang sedang menikmati kesenangan di Syurga bersama): Bukankah kita (setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi;
   
59.    Selain dari kematian kita yang dahulu dan kita juga tidak akan terkena seksa?
   
60.    Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang besar.
Nah, natijahnya terbukti nikmat nilainya bagi mereka yang sentiasa memperbaiki diri dan menyuburkan tanaman2 mereka di dunia. Hasil tuaian yang berlimpah ruah. Alhamdulillah. Saya perhatikan Allah telah beri solusi jelas pada ayat ke 61 dari surah yang sama:
61.    Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan bersungguh-sungguh (di dunia).
Allah sendiri dah bagi tips. Tak guna lagi kalau saya bagi 150 juta tips pun. Cukup dengan satu tips Allah ni.

Selepas memerhatikan dua golongan di atas, saya pun masih tidak pasti di mana mahu diri ini diletakkan. Di dalam golongan pertamakah? Atau golongan kedua? Untuk berada di golongan pertama memang cukup layak dengan maksiatnya yang berterusan hampir saban hari. Wal'iyazubillah. Tetapi untuk berada di golongan kedua, ya Allah di manakah tanaman2 saya? Anak benih pun tak tahu lagi di mana apatah lagi anak pokok.

Muhasabah Sikap Suka Bertangguh

Saya analisis lebih lanjut kepada satu hal yang jika diperhatikan sekali imbas, kita katakan bukan kita dalam golongan yang disebutkan dalam ayat al-Quran yang ini:-

Firman Allah dlm Surah al-Qiyama [75]:5-6
5. (Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga dia tidak mengakui adanya hari kiamat).    

6. Dia bertanya (secara mengejek): Bilakah datangnya hari kiamat itu?
Ayat-ayat ini ditujukan untuk orang kafir, tetapi sedarkah kita pun bersifat seakan-akan perangai orang kafir juga. Kita mungkin pernah kata secara bergurau, "Lambat lagi nak kiamatnya. Mungkin beratus-ratus tahun lagi..", atau kita berazam, "Esoklah aku jadi baik, hari ni aku wat dosa puas-puas dulu." Ini pun saya rasa adalah persis kepada orang-orang yang mengejek, "Bilakah datangnya hari kiamat itu?".  Bertangguh dalam berhenti melakukan maksiat. Saya tidak katakan ini pada anda semua, tapi saya katakan ini pada diri saya sendiri. Bertangguh-tangguh, tunggu dulu..tunggu dulu.. Sampai bila?


Muhasabah Pengulangan Ayat Allah Mengenai Hari Kebangkitan

Jika kita adalah orang-orang yang memerhati dan berfikir ketika membaca al-Quran, pasti kita akan perasan hampir dalam setiap muka surat dalam al-Quran menyinggung hal-hal berkaitan hari kebangkitan, hari pembalasan, hari kiamat dan hari perhitungan. Malah jika kita perhati betul-betul, Surah al-Fatihah sahaja sudah cukup menggerunkan. "Maliki Yaumiddeen" ( Allah sebagai Mulk atau Raja Hari Pembalasan ). Tapi kita tidak gerun, malah kita tidak mengerti. Lebih teruk lagi, kita baca al-Fatihah sambil lewa tanpa memahami apa pun ketika dalam solat. Kita hanya biasa tahu "Ihdinassiraatol Mustaqim" ( tunjukiku jalan yang lurus ). Dan kita hanya reti tuturkan "Ameeeeennn" panjang-panjang dan kuat-kuat. Itupun masih tersalah harakat bacaan.

Di dalam kitab Taurat, jika kita pernah belek tidak akan kita jumpai ayat-ayat yang menyebut tentang hari pembalasan. Taurat yang telah diselewengkan oleh Yahudi yang menganggap tidak wujud sama sekali hari pembalasan, yang wujud hanyalah setakat dunia ini semata-mata. Habis di sini, maka habis selama-lamanya. Inilah yang dikatakan pemikiran sekular. Sekular sebenarnya adalah tidak mempercayai hari perhitungan. Dan jika anda juga ragu-ragu, anda juga berfikiran sekular.

Dan jika kita selusuri dengan lebih dalam lagi, ramai antara kita berfikiran sekular. Ramai yang tidak mengerti akan pengertian masa akan datang. Mereka tenggelam dengan cita-cita dan harapan masa depan. Apabila kita sebut masa depan, ramai yang maksudkan adalah hari depannya jadi apa dan hanya sekitar hari tua. Habis di situ sahaja pengertian masa depan. Itulah yang tema belog selamat tinggal ini katakan, Kita selalu fikir masa depan, tapi kita lupa akan 'hari esok'. "..dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa sahaja yg telah dilakukan utk hari esok (akhirat).." - [al-Hasyr 59:18-19].

Bila kita sebut sahaja masa depan, sama-sama fikir tentang hari esok di akhirat. Cita-cita tertinggi di dunia dan akhirat. Masa depan, hari esok. Hari esok, hari akhirat. Sifir yang mudah.


Muhasabah Penutup


Suka saya memetik dari Surah al-Ankabuut [26] ayat 64:


Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan bermain-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, seandainya mereka mengetahui.

Rusydee, 18 Safar 1432,
Selamat Tinggal. Wassalam.

14 January 2011

4 Jangan Buat Ibumu Menitiskan Air Mata

klik tuk besarkan

"Ibumu masih hidup?"

Pernah seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, "Aku datang membai'atmu untuk hijrah dan meninggalkan kedua orang tuaku menangisi (kepergianku)." Maka apa Rasulullah jawab? Sabda Nabi SAW, "Pulanglah dan buatlah mereka tertawa sebagaimana kamu telah membuat mereka menangis." (HR Abu Dawuud )

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, disebutkan bahawa ketika sahabat Abdullah bin Umar Radiyallahu 'anhuma melihat seseorang menggendong ibunya tawaf di Ka'bah dan ke mana-mana sahaja si ibu itu menginginkan, orang tersebut bertanya kepadanya, "Wahai Abdullah bin Umar, dengan perbuatanku ini apakah aku sudah membalas jasa ibuku?" Jawab Abdullah bin Umar, "Belum, setitis pun engkau belum dapat membalas kebaikan kedua orang tuamu."

"Namun jika ibumu sudah tiada?"

Jadilah anak yang soleh dan solehah. Kerana doa dan amal perbuatan anak-anak yang sebeginilah menyamankan ibu di sana. Mungkin kita selalu buat ibu bersedih di dunia dan tak sempat balas jasa...perbuatan yg soleh, doa yg sentiasa, Al-Quran yang bersama-sama..itulah yang menjadi bekal berterusan kepada ibumu sebagai cara membalas jasa ibu. Jasa ibu sepanjang masa, jasa kita hanya setinggi galah.

Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...