Blog Selamat Tinggal
Showing posts with label rusydee artz. Show all posts
Showing posts with label rusydee artz. Show all posts

16 February 2018

13 Telah Lama Diriku Dalam Leka. Lupa Menyintaimu Sepenuh Jiwa.

Lama sungguh.

Ni baru nak update.

Blog ni diwujudkan sudah satu dekad. 
Tahniah. Aku sudah tua. Bangka.


Hidup ni jaranglah berlaku semuanya smooth macam yang diimpikan. 

Ada orang, sejak sekolah sampai habis universiti sampai dah kerja, semuanya clean and clear — cemerlang dapat biasiswa, dapat kerja bagus, dapat isteri lawa, dapatlah segala apa yang dikehendaki. Tapi akan tiba di satu titik kehidupannya, diuji dengan segala macam kesusahan.

Teka apa yang berlaku padanya?

Orang yang tak biasa bertani, adakah mahir menanam padi? Begitulah juga orang yang tak biasa diuji, bila dah kena sekali, rasa macam dunia ni gelap seluruhnya. Padahal, dia lupa segala jenis nikmat yang telah Allah kurnia selama ini. Hanya kerana satu dua ujian, rebah terbongkang.

Namun, yang sentiasa diuji, tidaklah sekuat yang disangkakan juga. Walaupun dah lali. Orang yang biasa bertani, rasa penat tidak pernah berpisah daripadanya. Bila diuji, akan rasa down juga. Rasa sedih juga. Rasa kecewa juga. Namun, tidaklah seteruk yang tak pernah diuji.

Bukan sebab pernah atau tak pernah diuji sebenarnya.

Sebab tingkat kesabaran seseorang itu berlainan. 

Teori sabar tidak sama dengan praktikal sabar. Tahu wajib bersabar tiap kali diduga, tidak sama dengan bersabar dengan tiap dugaan. Pandai cakap tak sama dengan pandai buat.

***

*monolog hati*

Merasa Tuhan masih rindukan dirimu di saat kau buat dosa adalah satu kehipokritan. Pentingkan diri sendiri. Menyebabkan kau rasa selesa untuk terus tenggelam dalam kemungkaran dan keseronokan. Aku pun tak pasti sama ada benar atau tidak telahan Allah rindu pada pendosa. Yang aku jelas, Allah rindukan taubat dari seorang pendosa supaya kembali ke jalan-Nya. Kerana seorang petaubat nasuha, dosanya kosong, dirinya suci kembali. Kembali menjadi orang-orang yang beriman.

Mengatakan Allah kasih pada semua makhluk itu benar kerana Dia sememangnya Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Namun, kau tegar berbuat dosa dengan bersandarkan sedap hati, 

"Ah, aku berdosa pun Allah rindukan aku." 

Itu selamanya tidak benar.

Kau tahu kenapa aku katakan tidak benar?

Satu, 

Maka (Kami laknatkan mereka) dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar, dan mereka juga mengatakan: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya).



(سورة النساء, An-Nisaa, Chapter #4, Verse #155)
Dua,

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.
(سورة الكهف, Al-Kahf, Chapter #18, Verse #57)
 Tiga,

Jika Allah menghendaki, nescaya Ia musnahkan kamu wahai umat manusia dan Ia datangkan gantinya dengan umat-umat yang lain. Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu.


(سورة النساء, An-Nisaa, Chapter #4, Verse #133)

Sebab itulah, usah selesa dengan merasakan Allah rindu walaupun kau sedang bertubi-tubi melakukan dosa. Mungkin hati telah dimateri, mungkin sudah tersenarai antara hamba yang sedang tunggu masa untuk dihapuskan dari muka bumi. Jangan bermain-main dengan murka-Nya.

***

Hm.

Aku cakap semua ini untuk diri sendiri. Tapi, kalau kau pun terasa, nak buat macam mana.

Memang hidup ini akan sampai saatnya kita buntu. Tak dapat nak selesaikan masalah yang kunjung tiba. Mungkin masalah tu kecil pada orang lain, tapi besar pada kita. 

Tiap kali datang masalah, sebenarnya kita selalu silap langkah. Kita cuma mengadu masalah, merintih, bersedih. Berdoa pada Allah. Tapi, itu sajalah yang kita buat. Kita tak tunjuk pun effort kita betul-betul perlukan pertolongan daripada Allah. Solat tetap sambil lewa. Tetap tinggal-tinggal. Termenung lagi banyak berbanding zikrullah. Menangis lagi banyak berbanding baca Al-Quran. Serius, kita tetap malas walaupun punyalah masalah sebesar dunia sedang menghempap dalam dada. Mana ada kita bangun malam menangis-nangis minta, 

"Ya Allah, tolonglah aku dah buntu sangat-sangat, tak tahu nak buat macam mana dah lagi."

Tak ada. Satu malam, dua malam bolehlah. Malam ketiga, dah layan Facebook merintih di sana. Dah layan Twitter, mencari perhatian manusia di sana. Dah layan Instagram, story panjang berjela live video tunjuk hati sedang berduka. Itu sajalah level ikhtiar kita.

Sebab itulah kita diuji terus diuji. Sehinggalah level ikhtiar kita terus meningkat tahap keimanannya. Sehingga bukan lagi mencari Allah di kala sukar semata, tapi di saat senang ceria Allah bersama-sama. 

Ah. Dah panjang pula membebel.

Selamat tinggal untuk kali ini.


29 Jamadil Akhir 1439H.










27 December 2013

44 Adakah Aku Barang Second Hand?


Salam. Bersua lagi.


Saya melihat ke dalam diri sendiri. Belum kepada orang lain. Terasa rendah diri. Terasa hina. Dosa sudah tentu banyak sekali. Makin bertambah umur, dosa pun bertambah jua. Manusia dengan dosa adalah manusia yang kotor. Dengan kata mudah, diri ini bukan orang suci. Terpalit noda. Tersalut kaca dosa.

Beruntunglah orang-orang yang terjaga sedari kecil hingga dewasa. Rare. Tapi saya percaya memang ada di luar sana. Mantap ayahanda bondanya mendidik. Mungkin mantap penjagaan dirinya sendiri. Terjaga tanpa tiada peristiwa silam yang melibatkan dosa sebesar dunia.

Namun kita, orang-orang biasa. Tidak setinggi iman mereka. Yang pernah hanyut dengan bermacam dugaan dan kesalahan diri sendiri. Kekadang kita jadi begitu kerana persekitaran. Kekadang kita jadi begitu kerana diri yang memberontak inginkan keseronokan masa muda dan kebebasan. Kekadang kita dianiayai orang. Kekadang kita yang menzalimi diri atas dasar turutkan perasaan.

Pengalaman.

Apapun yang pernah terjadi, kita memang pernah berdosa. Atau masih sedang membuat dosa. Sengaja membiarkannya saja. Tanpa mahu beranjak dari tempat kotor yang sama.

Kesiannya diri kita yang sebenar. Menjerit di dalam.

Diri yang palsu di luar berjaya saiko kita habis-habisan.

"Buatlah dosa, buatlah noda. Muda. Gila-gila. Nikmati dunia."

***

Pernah ada masa lalu yang gelap? Atau masa kini yang suram?

Kalau namanya remaja, masalah pertama sekali adalah cinta. Ah, cinta lagi. Isu cinta lagi. 

"Asyik-asyik cinta! Cinta bukan isu ummah tau?!"

Cinta adalah isu ummah. Remaja sedari dulu hingga kini, hanyut dengan definisi cinta sendiri. Cinta yang salah di sisi agama. Cinta asalnya fitrah. Akhirnya bertukar fitnah kerana tersalur di jalan yang salah.

Bukan setakat yang jahil terperosok di dalamnya bahkan yang belajar ilmu agama juga terheret sama. Besar kan masalah ini?


Kerana cinta yang salah, berapa ramai yang telah terlanjur? Sama ada ringan-ringan atau berat-berat. Dosa tetaplah dosa. Sama ada ianya dosa dari titik hitam di hati atau zina mata, tangan dan hati. Dosa tetap dah tercatat dalam buku amalan diri.

Persoalannya, adakah kita boleh melabel seseorang yang telah buat dosa seperti ini sebagai barang second hand. Barangan terpakai? Ya lah, sudah disentuh, sudah diraba, sudah dipegang-pegang, sudah dicium dipeluk dan apa-apa saja lagi. Si pelaku (lelaki) yang rosakkan juga adalah cap ayam. Murahan dan tiada maruah. Begitu jua dengan yang diperlakukan dan merelakan (perempuan). Tiada cop dikenakan pada hanya sebelah pihak. Kedua-duanya sekali bersalah dalam hal ini.

Adakah aku barangan terpakai?

Ya. Jika tidak bertaubat.

Jika sudah bertaubat? 

Jika sudah taubat Nasuha (bersungguh-sungguh insaf tiada lagi siaran ulangan dosa), maka tiada lagi label barangan terpakai atau buangan. Bahkan kamu adalah bidadara dan bidadari dunia akhirat kembali. Suci seperti bayi. Macam baru keluar dari kilang. Fresh. Tanpa dosa dan noda. 

Firman Allah dalam Surah al-Tahrim ayat 8:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, pada hari ketika Allah tidak menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama dengan dia; sedang cahaya mereka memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka mengatakan: "Ya Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu".

Allahurabbi!


Lihatlah betapa Maha Pengasihani Tuhan kita. Dosa kita sehitam bawah kuali pun bisa terhapus. Sudi dihapuskan. Malahan disucikan kembali oleh-Nya.

Kotormu kerana kesilapan diri sendiri.
Allah jualah yang mensucikanmu kembali!
 Tiada label pendosa, malahan dijanji Syurga!

Tidak gembirakah lagi dengan berita ini wahai jiwa-jiwa yang sedang berdosa? 
Apa lagi yang kamu tunggu, taubat Nasuhalah bersih jiwamu!

Persetankan pada kenangan lalu. Tuju saja masa depan nun Syurga di depanmu.
Yang sudah tu sudah. Jadikan pengajaran dan pendidikan.
Agar tidak berulang.
Agar tidak songsang lagi jalan kehidupan.

Syurga dan Neraka tidak pernah memilih kita.
Tetapi kitalah yang memilih mereka. - Aira Safiyya
***

Masalah umat yang seterusnya adalah solat. Isu ini akan disentuh dalam entri akan datang.
Sebab mana ada orang nak baca panjang-panjang kan?

Akhir sekali, suka saya tutup entri ini dengan kata-kata ulung hikmah,

"Jika kalian melakukan dosa sehingga dosa kalian sampai ke matahari, kemudian kalian bertaubat, nescaya Allah akan mengampuni kalian." (Abu Hurairah)

Andai Nabi Muhammad s.a.w. bersolat bersyukur dengan kurnia-Nya sehingga pecah-pecah tumit kaki Baginda, mengapa tidak kita menangis bersolat malam hingga keluar air mata duka? Atau bengkak-bengkak mata mahupun sembap muka berjaga.

Ironinya masih, kita tembam dan sembap muka kerana tidur lena terlalu lama.

Rusydee Artz,
24 Safar 1435H,
Selamat Tinggal.

19 December 2013

46 Padamkan Rindu



Salam. Lama tak jumpa. Sekali jumpa, berbulan-bulan. Kemudian diam lagi dan lagi.
Maaf.

Dari Hisyam bin Urwah, dari bapanya, dari Saidatina Aisyah r.a. berkata, "Sesungguhnya Sayyidina Abu Bakar r.a. telah di ambang ajalnya, beliau pun menangis dan melantunkan syair ini:

Demi Tuhan, tiada berguna bagi seseorang kemewahannya.
Jika suatu hari dicabut nyawanya dan menyempit dadanya.

Dari riwayat Abdul Razzaq, beliau bersyair:

Barangsiapa air matanya selalu menipu

Pastilah suatu saat dia akan tertumpahkan jua.

Dari Aisyah r.a., beliau berkata, "Ketika Abu Bakar r.a. menderita sakit yang merenggut nyawanya, beliau berkata, 'Periksalah hartaku! Jika ada yang bertambah sejak aku memimpin, maka serahkanlahnya kepada khalifah sesudahku."

Aisyah r.a. melanjutkan, "Ketika beliau wafat ternyata ada (harta iaitu) seorang budak (hamba) dari Nubah dan seekor unta untuk mengambil air, lalu kami mengirimkan keduanya kepada Khalifah Umar al-Khattab r.a. dan ketika sampai Umar pun menangis! Kemudian berkata, 'Semoga Allah merahmatinya, sungguh ia amat sangat melelahkan orang yang sesudahnya." ( Riwayat Ibnu Abi Syaibah )

Sampai begitu sekali seorang khalifah yang hebat. Kita sedia maklum sahabat-sahabat Nabi s.a.w. adalah mereka yang kuat solat dan bertaubat. Itu bab harta. Apatah lagi bab dosa. Lagi-lagi mereka prihatin.

Bagaimana pula kita waktu kita meninggal kelak? Bab dosa pun tidak lepas. Apatah lagi bab harta.

Terlalu banyak dosa.

Adakah cukup dengan bertaubat sekali sahaja? Memadaikah?
Adakah kita yakin dengan kita bertaubat sekali itu Allah terus menerimanya?

Sungguh mudahlah begitu.

Buat dosa bertubi-tubi.
Lalu sujud taubat sekali.
Yakin itulah taubat Nasuha.
Yakin Allah terus terima.

Sepatutnya,

Buat dosa bertubi-tubi.
Taubatnya juga berterusan. Ya, sampai mati.

**

Baru-baru ini, seorang kawan yang sudah bernikah mengadu. 
Dulu, beliau pernah ada teman wanita. Bukan seorang dua. Namun, beliau akhirnya bernikah dengan orang lain. Keluh beliau;

Mengapa sampai selepas nikah pun, masih tersisa rindu pada yang dulu? Sedangkan waktu dulu, rindu itu bergelumang dengan maksiat semata. Cinta yang buat alpa pada tanggungjawab pada Tuhan. Terasa indah, seronok. Walhal, hakikatnya ibarat makan roti sandwich yang di dalamnya berinti jem busuk. Luarannya nampak sedap. Di dalamnya rasa mual. 

Berlainan sekali dengan yang sudah halal di depan mata. 

Rasa rindu teringat pada yang dulu, teringatlah jua pada maksiat yang lalu. Seterusnya, rasa bersalah pada  si isteri.

**

Termenung sendirian memikirkan keluhan kawan.

Bila terasa rindu, maka bertaubatlah selalu. Mohon ampun berterusan setiap malammu. Setiap sujudmu. 

Biar air mata yang menitis lebih banyak dari dosa-dosa lepas itu. Inilah yang setiap pendosa berpacaran sebelum nikah akan rasakan. Rasa bersalah, menyesal yang dibawa sampai ke akhir hayat.

"Kalaulah aku tidak bercinta dulu-dulu..."

Jika tak mahu menyesal dan rasa bersalah seperti ini, maka tolong jangan mulakan. Biarlah rasa forever alone pun tengok orang lain ada pacar. Janji, kita bersih dari dosa yang melekat lama ni.

Ingat. Dosa cinta lama jika tidak ditaubati, pasti menyusahkan kita bila kita di ambang kematian.

Sungguh, memang sukar untuk memadamkan rindu pada seseorang.
Tapi lebih sukar lagi memadamkan dosa kita dengan Tuhan. Apatah lagi jika bercinta dan buat dosa pada orang. Mungkin buat orang tu terluka. Mungkin buat orang tu tak nikah seumur hidupnya. Mungkin dah buat seseorang itu rasa kotor maruah dan kehormatannya. 

Kita nak ucap selamat tinggal pada dunia ni dengan hati yang tenang. Nak malaikat maut ambil nyawa pun dengan senang. Tapi jika benda-benda ini yang kita rasa remeh ini kita biarkan tidak selesai tanpa taubat dan permohonan maaf, bayangkanlah roh kita nak keluar dari jasad ya Allah seksanya. 

Jika seorang mukmin yang soleh meninggal, maka menangislah bumi dan langit. Tapi jika seorang yang ingkar arahan Allah, firman-Nya,

فَمَا بَكَتْ عَلَيْهِمُ السَّمَاءُ وَالْأَرْضُ وَمَا كَانُوا مُنظَرِينَ

"Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka dan merekapun tidak diberi tangguh." 
(Surah al-Dukhan:29)

Jadi, bila teringat-ingat seseorang sebelum waktu.
Terus taubat untuk padamkan rindu.
Doakan kamu dan dia dalam jagaan Allah selalu.
"Biar kami disatukan dalam reda-Mu."

Kekang nafsu.
Puasa.
Bertahan.


Selamat Tinggal,
Rusydee Artz.
16 Safar 1435


11 November 2011

29 Satu Cinta :)

klik tuk besarkan

Salam. Niat kali ni saya cuma nak menconteng-conteng je. Tapi teringat pula saya akan satu kisah Nabi SAW dengan Saidatina Aisyah R.A. 

Saidatina Aisyah berkata: 
"Aku, wahai Rasulullah, tidak seperti seorang pun dari isteri-isterimu yang lain. Tanpa kecuali, mereka telah pernah dipeluk lelaki, kecuali aku."

Baginda hanya tersenyum.

Di waktu yang lain, Saidatina 'Aisyah ada berkata:
"Wahai Rasulullah, jika engkau turun ke sebuah lembah, di situ ada dua pohon, yang satu sudah dimakan haiwan ternak, yang satu lagi tidak. Lalu, di pohon yang manakah untamu akan engkau gembalakan?"
Jawab Nabi SAW, "Di pohon yang tidak digembalai ternak." Lalu Aisyah berkata, "Akulah itu!".


Kenapa saya membawakan kisah ini? Bukanlah untuk menonjolkan kisah Saidatina Aisyah seolah-olah tinggi diri dan riak. Tidak sekali-kali. Tetapi, Aisyah sememangnya boleh berbangga dengan dirinya seorang perawan dan suci tidak disentuh mana-mana lelaki selain dari Rasulullah SAW selepas ijab qabul yang sah. Syukur dan bangga pada tempatnya adalah tidak salah. Bangga depan si suaminya. Bukan pada ajnabi.

Namun, tidaklah Nabi SAW bersikap tidak adil pada isteri-isterinya yang lain walaupun mereka berstatus 'pernah menjadi isteri orang lain.' Takutnya Nabi SAW akan ketidakadilan dalam rumahtangga sehingga Nabi SAW berdoa apabila hatinya tercondong berat menyayangi Aisyah Humaira:

"Ya Allah! Inilah pembahagian yang mampu ku lakukan, maka jangan Engkau siksa aku dalam hal yang tak mampu aku lakukan."
Ringkasnya, adik-adik perempuan jagalah kesucian diri dan kehormatan diri sebelum berkahwin. Jangan pegang-pegang, jangan sentuh-sentuh. Jagalah hati tetap untuk satu cinta dunia yakni pada suami yang berhak. Teguhkan hati untuk satu cinta kekal selama-lamanya yakni pada Allah dan Rasulullah. Kemudian, kamu mampu berbangga dan bersyukur jika berjaya mempertahankannya sehingga saatnya kamu diakadkan. Tidak salah mendabik dada (tidak berlebihan) depan suami. Kamu memang layak berbangga.

Namun, bagaimana pula dengan yang tidak berjaya mempertahankan kesucian, kehormatan dan imannya sebelum berkahwin? 

Bertaubatlah, nescaya taubat nasuha mensucikan diri anda kembali hati dan iman. Simpanlah dan lupakanlah aib, kisah hitam anda sampai mati. Jika dengan aib itu, akan merosakkan hubungan dua insan dan rumahtangga maka rahsiakanlah. Tidak wajar mendedah aib sendiri walaupun berterus terang adalah lebih baik. Kadang-kadang ada yang perlu disembunyi dari didedahkan. Kerana manusia bukan Tuhan. Manusia menghakimi dengan kejam dan tidak adil berdasarkan kisah2 silam kita, tapi Allah tidak begitu. Allah Maha Pengampun sedang manusia bukan pemberi sebarang pengampunan. Manusia hanya memaafkan, tetapi tidak mengampunkan dosa hitam. 

klik tuk besarkan

Akhir kata, jagalah kesucian dan kehormatan anda demi satu cinta yang murni. Yang tidak lagi suci, sucikan kembali diri dengan penyesalan yang sungguh-sungguh, tidak mengulangi lagi silap yang sama dan mulakan hidup baru dengan percaya penuh, Allah masih beri peluang untuk kita walaupun manusia tidak beri peluang pada diri kita. Ingat, kita tak perlukan manusia utk menilai kita, tapi kitalah yang nilai diri kita sendiri dan kita sendiri yang bagi peluang diri sendiri berubah.

Satu cinta Aisyah Humaira hanya untuk Muhammad bin Abdullah SAW. 

rujukan kisah: Buku "Bilik-bilik Cinta Muhammad SAW" oleh Dr. Nizar Abazhah

11.11.11. 14 Dzulhijjah 1432 H,
Selamat Harijadi buat Ummi.
Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.



05 November 2011

6 Qurban Adalah Taqarrub Ilallah.

klik tuk besarkan..


Korban ke Qurban? Kedua-dua pun betul. Qurban berasal dari kata Qoruba yang bererti dekat. Manakala korban kita sudah faham maksudnya. Kalau kita rujuk kamus DBP, korban adalah:

Amalan menghampirkan diri kpd Allah dgn menyembelih binatang ternakan (lembu, kambing, kerbau, dll) pd 10 Zulhijjah atau tiga hari selepasnya (hari tasyrik) dgn mengagihkan sebahagian drpd daging itu kpd fakir miskin.
Dengan Qurban, kita dapat taqarrub ilallah ( dekatkan diri kepada Allah ). Betapa susahnya kita nak dekatkan diri pada Allah, tengok Allah Maha Penyayang ajar jalan pintas ke arah itu adalah dengan menyembelih haiwan untuk dikorbankan. Korban ikhlas kerana Allah.

Samada korban duit, masa, tenaga untuk mengerjakan haji di baitillahilharam, korban dengan sembelih haiwan ternakan seperti lembu, kerbau, unta, kambing, biri-biri, ayam dan seumpamanya. Korban terbesar adalah korban nyawa berperang di jalan Allah di medan peperangan sebagaimana yang terjadi di Palestine setiap hari. Ayat-ayat Allah dalam Surah al-Kauthar 1&2 yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Jumhur mengatakan berqurban adalah sunnah muakkadah yakni sunnah yang amat ditekankan kerana banyak hikmah dan manfaat di sebaliknya. Antaranya:

"Tiada suatu amalanpun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah SWT selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu nanti di hari kiamat akan datang berserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya dan sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanah, pahalanya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semuanya dengan pahala korban itu." [Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah]
"Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW: "Ya Rasulullah, apakah udhiyyah (korban) itu?". Rasulullah menjawab: "Itulah sunnah ayahmu Ibrahim." Para sahabat kembali bertanya: "Apakah yang kita akan peroleh dari udhiyyah itu?" Rasulullah menjawab lagi: "Pada setiap helai bulu (daripada binatang yang dikorbankan itu) kita akan mendapat satu kebajikan." [Riwayat Ahmad dan Ibn Majah]
Jika tak mampu berkorban apa-apa pada hari raya ini atau tak menunaikan haji, cukuplah dengan berpuasa dari 1 hingga 9 Zulhijjah (terutamanya 9 Zulhijjah).
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Jika terlepas puasa, tak dapat berkorban sembelih haiwan, atau tak dapat tunai haji, maka bersabarlah. Banyakkan bersolat. Sabar dan solat juga adalah pengorbanan. Teruskan bersabar.. agihkan ilmu, menuntut ilmu di jalan Allah. Tentang mereka yang menentang Islam.

9 Zulhijjah 1432H,
Salam eiduladha dari Rusydee Artz.
Selamat Tinggal.


28 October 2011

37 Cinta Bukan Milik Kita

klik tuk besarkan

Dalam perhubungan impian, apa yang kita harapkan pastinya berkesudahan dengan Happy Ending kan? Malangnya, seringkali kita sampai di penamat yg berbunyi..

"..kita putus.."
"..sampai di sini.."
"..ceraikan saya.."
"..tak ada jodoh di antara kita.."
"..aku bukan utkmu..kamu berhak dapat yg lebih layak.."

Kita manusia. Manusia merancang. Allah juga merancang. Namun, "Wallahu Khairul Maakirin." ( Allah lah sebaik-baik perancang segala rencana. )

Hubungan pula saya bahagikan kepada dua:

- Hubungan yang diredhai (dah nikah).
- Hubungan tak halal (belum nikah lagi). 

Tapi kedua-dua hubungan ini juga tidak ada jaminan akan kekal. Kedua-dua hubungan ini akan diuji. Siapa yang lemah, pasti tersungkur. Siapa yang tabah, beroleh hikmah.

Cinta bukan milik kita. Sebab bukan milik kitalah, kita tak mampu kawal sepenuhnya.

Saya hanya nampak satu cara untuk kekalkan hubungan cinta. Gapai cintaNya melalui konsep Tawaqqi

Means, hubungan tak halal automatik belum pasti ada jaminan boleh berjaya sebab jauh dari cintaNya. Jika berjaya ke jinjang pelamin, itu maknanya Allah mahu kamu dan pasangan berubah lebih baik serta siap sedialah; kerna ada ujian-ujian di hadapan sebagai kaffarah dosa-dosa kapel silam. Namun jika tak berjaya, itu bermakna Allah nak kamu kembali muhasabah diri-hilangkan benteng yang menjadi hijab di antara kamu dengan kecintaan kepada Allah. Ya, kesedihan awal-awal itulah kaffarah dosa-dosa. 

Yang dah kahwin, tarbiyyahlah pasangan utk sama-sama jaga hubungan cinta dengan Allah. InsyaAllah kekal lamalah hbgn itu. Jika diuji, ada hikmah. Diuji dengan kesusahan dan kemiskinan, kecelakaan dan musibah. Jika tak diuji, pelik sebab kita hanya hamba. Bercerai juga ujian. Namun, bersyukurlah sebab Allah beri masa untuk kita kecap bahagia bersama-sama. Walaupun sekejap cuma. 

Fahami konsep Tawaqqi.

Apa itu tawaqqi? Menurut Ibnu Kathir tawaqqi adalah kata asal untuk taqwa. Bermaksud, "menjaga diri daripada perkara yang tak diingini." Menurut Muhammad bin Allan, "taqwa ialah mematuhi perintah-perintah Allah dan menghindari larangan-laranganNya dengan mengerjakan setiap yang diperintah, tinggalkan yang dilarang, mengikut kemampuan." Manakala Saiyidina Umar mengkiaskan hakikat taqwa sebagai "berjalan dengan waspada dan bersungguh-sungguh supaya tidak memijak ataupun terpijak onak dan duri."

Tak perlu bersedih lama. Cinta itu milik Allah. Hari ini Dia tarik rasa cinta dari hati pasangan kamu sehingga tawar hatinya. Sebab, mungkin esok atau lusa Dia campakkan rasa cinta yang lebih segar dalam hati si dia yang setepatnya untuk kamu. Semalam kamu berjalan dengan tidak cermat dan tidak berhati-hati. Hari ini dan esok, waspadalah jangan terpijak atau memijak onak dan duri. Jangan kau kutip lagi serpihan kaca. Buka mata, buka mata hati, guna iman dan tawaqqi. Akhirnya, 'kan kau jumpakan permata.

Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.
30 Dzulka'edah 1432 H.


13 October 2011

89 Jodohmu Ada Di Tahajjudmu

klik 'tuk besarkan deh

Saya baca di facebook rata-rata duk bincang pasal jodoh. Kadang-kadang saya muak. Tapi biasanya mmg saya muak. Tapi takpe, saya tak meluat. Jodoh adalah antara rahsia Allah. Begitu juga dengan tarikh mati. Kita tak tahu. Tapi Allah Maha Mengetahui.

Saya berani katakan, jodoh kamu semua adalah bergantung pada tahajjud kamu. Mengapa pula begitu? 

Jodoh yang biasa-biasa adalah dari kalangan orang yang biasa-biasa dengan pertemuan yang biasa-biasa dengan cara berpacaran yang biasa-biasa muda-mudi lakukan.

Manakala,

Jodoh yang luar biasa dari golongan orang yang soleh, solehah yang luar biasa amalan mereka di sisi Allah. Bertemu dalam redha, berpisah jua redha. Luar biasa.

Jom pergi kepada dalil:

1.  Nikmat dan rahmat tersembunyi TERAHSIA di sebalik tahajjud. 

Firman Allah dalam Surah al-Sajdah (32):16-17:

klik tuk besarkan ye 

2. Tahajjud bukan sahaja untuk minta jodoh yang baik, malah menjadi pembeza antara kamu dan manusia lain di akhirat:

Imam al-Mubarakfuri berkata: 
"Suatu malam aku bangun dan merenungi al-Quran, lalu aku bandingkan amalanku dengan amalan ahli syurga. Ternyata, aku dapati bahawa amalan mereka begitu berat (mantap). Hampir tidak ada malam yang berlalu tanpa mereka gunakan untuk beribadah. Setiap malam mereka bersujud dan berdiri di hadapan Rabb mereka. Ku lihat diriku bukanlah termasuk di antara mereka."
3. Doa terkabul di sepertiga malam, insyaAllah! Doalah minta jodoh yang baik.

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun ke langit dunia setiap malam, pada sepertiga malam terakhir dan berfirman, 'Barangsiapa yang berdoa kepadaKu pasti Aku kabulkan, barangsiapa meminta kepadaKu pasti Aku beri, dan barangsiapa yang memohon ampunanKu pasti Aku ampuni'." 
(HR Bukhari)
****

Jadi, tenang sahajalah menanti jodoh yang baik itu akan datang sendiri hasil dari usaha tahajjud yang berterusan dan istiqamah. Ikhlas kerana Allah Ta'ala. Jangan buat kerana jodoh semata-mata ya. Usaha sebenar adalah usaha kita minta dengan DIA, bukan dengan merayu kasih pada si dia-si dia hanya kerana hati gelisah mahu hidup berteman. Hati gelisah takut si dia yang kacak terlepas, takut si dia yang cantik jatuh ke tangan orang. Minta dengan Allah, Allah bagi segala. Cepat atau lambat bukan kita penentu. Jodoh adalah sunnatullah. Sunnatullah tidak boleh digesa, tidak boleh dilengahkan bila sampai masanya. 

Sabarlah. Tenanglah. Tahajjudlah.

14 Dzulka'edah 1432 H,
Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.

10 October 2011

31 Hanya kerna dia Imam..

klik tuk besarkan

Hari ni saya rajin untuk update belog simple ni. 

Agak-agak siapa lelaki yang paling tampan, paling macho, paling baik, paling kool, paling best, paling hebat dan paling berkuasa di antara insan-insan bernama lelaki?

Ya, senang kan jawapannya. Lelaki yang mampu jadi Imam. Imam secara umumnya, imam solat secara khususnya. Hatta raja dan presiden negara pun bersolat di belakang seorang Imam. Hebat kan imam ni? Berkuasa macam mana pun orang itu, bila dia jadi makmum, dia wajib ikut Imam kalau mahu solat berjemaahnya sah.

Begitu juga dalam memilih pasangan. Wanita yang cerdik akan pilih lelaki yang mampu jadi imam solatnya. Boleh ajar dia solat, boleh bimbing dia. Boleh bangun solat bersama-sama di setiap sepertiga malam. Indah kan?

Adakah ada syarat-syarat yang strict untuk jadi imam? Tidak ada syarat susah. Janji orang Islam dan boleh solat. Boleh baca al-Fatihah. Doa? Tak pandai baca doa tak mengapa, hentam sahaja doa dalam B.Melayu. Yang lebih difahami itu lebih afdhal. Namun juga afdhal jika mengamalkan doa yang Nabi SAW sarankan. 

Semua lelaki mampu jadi imam. Jika dia mahu. Jika dia nak. Jika dia berani. Jika dia adalah Muslim. Islam tidak menetapkan keturunan yang baik2, kasta baik2, orang2 soleh sahaja boleh jadi imam. Semua boleh. Kenapa anda tak boleh? Malu bacaan tak sedap? Itu semua boleh diperbaiki. Bukti Islam tidak menetapkan  orang tertentu sahaja yang boleh jadi imam:-

"Abu Huzaifah, seorang hamba sahaya yang dimerdekakan, menjadi imam solat bagi kaum Muhajirin yang pertama dan beberapa orang sahabat Nabi SAW di Masjid Quba. Di antara mereka ada Abu Bakar, Umar al-Khattab, Abu Salamah, Zaid dan Amir bin Rabi'ah."
 ( Diceritakan oleh Umar bin Khattab dan dikeluarkan oleh Imam Bukhari )

Lelaki macho bukan lelaki stylo, lelaki cool bukan lelaki mulut manis berkereta hebat, bekerjaya mantap..bukan. Tapi hanya kerna dia mampu jadi Imam.

Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.


06 October 2011

6 Ustazah Pilihan Yang Solehah 'Tuk Seumur Hidup

klik 'tuk besarkan

Salam wbt.

Seseorang ustazah yang ikhlas; mengajarkan ilmu kepada pelajarnya dan yang lain, tanpa mengharapkan balasan yang lumayan, tanpa mengharapkan publisiti, tanpa mengharapkan populariti, tanpa menonjol dan tidak perlu ditonjolkan di khalayak. Tidak bertanding dan tidak perlu dipertandingkan ilmu dan karekternya. Ustazah solehah yang faham kesolehahan seseorang wanita itu adalah tidak memandang dan tidak dipandang. Ustazah sebeginilah yang akan disayangi pelajarnya, dikenang muridnya, dicintai dan dikasihi dengan ikhlas oleh pelajar-pelajarnya. Jasanya dikenang hingga akhir hayat. Ustazah pilihan hati pelajar tidak perlu cantik, tidak perlu menawan, cukuplah ilmunya ikhlas hangat terasa sehingga ke dasar hati yang paling dalam. Diingat sampai bila-bila. Dipanggil ustazah sampai ke hujung nyawa.

Sebenarnya benarkah populariti memberi keuntungan kepada si pencarinya? 

Maulana Wahiduddin Khan menceritakan, Abu Umamah meriwayatkan bahawa seseorang mendatangi Rasulullah dan bertanya tentang orang yang berperang untuk mendapatkan material dan meraih populariti. Orang itu ingin tahu pahala apakah yang akan didapatkannya. “Tidak ada,” jawab Nabi. Orang tersebut mengulangi pertanyaannya hingga tiga kali, namun jawapan Nabi tetap sama. “Amal yang diterima Allah,” tambah Nabi SAW, “..adalah yang didasari keikhlasan dan ditujukan semata-mata kepadaNya.” (An Islamic Treasury of Virtues A Collection of Inspiring Thoughts, Story, Quotes, and Saying of the Prophet Muhammad and His Companions terj. Mona Raguan, 2000, AlvaBet, h.49). 



Populariti Yang Sebenarnya Bertapak Dari Dasar Apa?

Dr. Sidek Baba menjelaskan secara umum, ukuran Allah tentang kemuliaan seseorang atau perjuangan sesuatu suku dan bangsa ialah status takwanya. Ini merupakan ukuran yang amat adil dan saksama kerana akhirnya bukan ukuran bangsa, pangkat dan darjat menjadi ukuran Allah tetapi daya keinsafan yang tinggi tentang keterikatan manusia dengan Khaliqnya menjadikan ketertiban dan keakuran manusia kepada apa yang Allah suruh dan apa yang Allah larang. (Seteguh Tekad, 2009, Alaf 21, h.104). Penulis amat bersetuju dengan kenyataan ini. Takwalah menjadikan kita popular di pandangan Allah.

Penulis juga telah mengabadikan dalam nota panjang di ""Dakwah Tidak Berdiri Atas Dasar Populariti: Satu Tinjauan." untuk bacaan saudara-saudari semua.

Jadilah ustazah yang ikhlas dan bertaqwa. Yang menjaga diri dan agamanya.

Apalah populariti dan keduniaan, semua hanya sementara. Akhirnya lapuk dek masa. Datang pula populariti yang lain. Kejar populariti, dapatlah populariti sekejap.


Tapi apa selepas itu? Pudar dan dilupakan. Kita perjuang dakwah, bukan perjuangkan untuk popularkan pendakwah. Allah lah yang popularkan kita, angkat ke tempat tinggi di sisi masyarakat.

(pandangan para ustaz mengenai rancangan realiti tv pilih ustazah,klik tuk besarkan)

Kejar ikhlas dan taqwa, dapat dunia..dapat akhirat. Dapat syurga. Dapat kasih insan. Dapat kasih Tuhan.

Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.
Wassalam.
8 Dzulka'edah 1432 H.





04 October 2011

35 Berdua Denganmu Pasti Lebih Baik

klik tuk besarkan

Salam wbt.

Kali ini juga ringkas sahaja pembelogan saya. Mengapa saya selalu lukis lukisan pasangan? Senang jawapannya:

"Untuk menggalakkan kamu yang belum bernikah kepada bernikah, cukuplah bersama dalam haram. Jom ke arah yang halal."
Bersenda gurau lah dengan yang halal agar tenang hatimu, senang jiwamu, bahagia hidup berduamu. Jika dengan yang tidak halal, bersenda gurau pun tidak tenang. Lazat tetapi bermaksiat lagi berdosa. Berbeza dengan yang halal, nikmat lagi berpahala lagi mengeratkan hubungan rumahtangga.

Rasulullah SAW pun selalu bersenda gurau dengan Saidatina Aisyah. Kata hadis Nabi SAW yang ringkas dalam pencarian pasangan yang secocok dengan anda:

"..sehingga kamu dapat tertawa dengannya dan ia tertawa denganmu.."
( HR Muttafaqun 'Alaih )


Rusydee Artz,
Selamat Tinggal,
6 Dzulka'edah 1432 H.
Wassalam.

06 March 2011

0 Nikah Itu Sunnah

klik tuk besarkan

Nikah itu sunnah. Sunnah itu sunnah Rasulullah. Sunnah ni adalah perbuatan yang dilakukan Rasulullah SAW.

Easy tuk faham.

Dikuatkan dengan hadis Nabi SAW. Sila hafal hadis ringkas ni. Jangan reti sebut je "nikah itu sunnah." Beri dalil terus. Hafal naaa..



Rusydee Artz, 
Selamat Tinggal. Wassalam.



14 January 2011

4 Jangan Buat Ibumu Menitiskan Air Mata

klik tuk besarkan

"Ibumu masih hidup?"

Pernah seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, "Aku datang membai'atmu untuk hijrah dan meninggalkan kedua orang tuaku menangisi (kepergianku)." Maka apa Rasulullah jawab? Sabda Nabi SAW, "Pulanglah dan buatlah mereka tertawa sebagaimana kamu telah membuat mereka menangis." (HR Abu Dawuud )

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, disebutkan bahawa ketika sahabat Abdullah bin Umar Radiyallahu 'anhuma melihat seseorang menggendong ibunya tawaf di Ka'bah dan ke mana-mana sahaja si ibu itu menginginkan, orang tersebut bertanya kepadanya, "Wahai Abdullah bin Umar, dengan perbuatanku ini apakah aku sudah membalas jasa ibuku?" Jawab Abdullah bin Umar, "Belum, setitis pun engkau belum dapat membalas kebaikan kedua orang tuamu."

"Namun jika ibumu sudah tiada?"

Jadilah anak yang soleh dan solehah. Kerana doa dan amal perbuatan anak-anak yang sebeginilah menyamankan ibu di sana. Mungkin kita selalu buat ibu bersedih di dunia dan tak sempat balas jasa...perbuatan yg soleh, doa yg sentiasa, Al-Quran yang bersama-sama..itulah yang menjadi bekal berterusan kepada ibumu sebagai cara membalas jasa ibu. Jasa ibu sepanjang masa, jasa kita hanya setinggi galah.

Rusydee Artz,
Selamat Tinggal.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...