Blog Selamat Tinggal

29 January 2019

27 Anakku, Maafkan Ayah

2019.

Saat ayah menitipkan bait-bait kata dalam ni, ayah tidak sihat. Namun, tidak juga boleh melelapkan mata meski dada terasa sesak, nafas kurang teratur.

Suatu hari, andai kamu membaca blog kuno ayah ini, anggaplah ini satu kisah klasik untuk masa depan.

Tahun berganti tahun. Waktu ayah taip post ni, umur ayah telah melewati zaman remaja. Sudah melepasi tahap belia. Sudah memasuki fasa orang dewasa. Sudah tua. Namun, belum jua ayah bina sebuah rumahtangga sebagaimana orang normal yang lain. Jika pada seorang wanita, sudah tentu dia digelar andalusia atau andartu kerana umur yang telah melebihi tahap sepatutnya. Yalah, pandangan orang kita.

Ini bermakna, makin lama tempoh dirimu terlahir. Biarlah orang kata ayah berilusi. Ini blog personal.  Bagai diari yang tidak lagi dibelek manusia yang telah canggih media sosial masing-masing. Sesungguhnya, ayah pernah baca cerita seorang penulis Sirah Nabi SAW, yang menitipkan bait-bait awal dalam sebuah kitab yang pada awalnya adalah hadiah khas buat anaknya. Namun, anaknya meninggal di awal usia. Sedih kisahnya.

Di era ini, manusia makin hilang pedomannya; bergelek dan bergoyang dedahkan tubuh giur di TikTok (mungkin suatu hari nanti lebih teruk lagi akan muncul, dengan nama lain pula), berlumba-lumba popular di Instagram, bergaduh dan berkecaman di Facebook yang kian pudar popularitinya. Ayah percaya, di zamanmu nanti akan muncul yang lebih moden hingga buat manusia itu melekat pada gajet dan internet. Masa yang kian terbuang lebih berganda. Pastinya, iman di kala itu, senipis kulit bawang yang dibelah tujuh.

Ayah doakan moga kamu dilindungi Allah dan para malaikat.

Dari nafsumu sendiri, dan dari fitnah dajjal kecil dan besar.

***

Ayah minta maaf...

Pertama, ayah terlambat dalam mendirikan rumahtangga. Untuk kamu baca post ini, mungkin memakan masa 20 tahun ke masa depan, barulah fikiranmu boleh memahami dengan jelas apa yang ayah perkatakan. Atau baru berminat nak tahu, apa yang ayah taipkan di sini.

Kedua, kerana ayah yang telah terlewat, kamu hanya dapat melihat ayah dalam waktu yang amat singkat. Ayah telah tua saat kau mulai bertatih dapat memahami erti sebuah kehidupan. Mungkin kita tidak lama dapat bersama, ayah akan pergi dulu. Meninggalkanmu dengan ibu. Maka, jagalah ibumu dengan sebaiknya. Kerana, bila ayah telah memilih ibumu, maka dialah yang terbaik sebagai gurumu dunia dan akhirat. Patuhlah padanya. Dengarlah arahannya. Kerana, ayah begitu kasih kepada umi (nenek kamu), maka kasihlah jua pada ibumu. Curahkanlah kasih kepadanya, kasihanilah dirinya dalam segenap hal. Lindungi dan usah kamu tinggikan suara dalam apa jua moodnya. Fahamilah, pengorbanannya untukmu adalah selamanya, tapi pengorbanan balas yang kamu mampu beri padanya cuma secebis. Hatta setitis air susu yang kamu teguk daripadanya, tidak terbalas meski dengan seluruh harta dan kejayaanmu. Kesolehan dan kesolehahanmu itu anakku, yang akan mendamaikan jiwaku dan jiwa ibumu.

Ketiga, dalam masa yang singkat, sudah tentu ayah tidak dapat mendidikmu dengan baik, apatah lagi untuk mencurahkan ilmu agama yang sangat cetek berada dalam dada ini. Pesan ayah, dampingilah Al-Quran, hafallah. Sungguh, ayah bersumpah dengan nama Tuhan, betapa ayah begitu ingin menjadi seorang penghafal Al-Quran, namun waktu muda ayah telah ayah sia-siakan, waktu seterusnya penuh dengan kesibukan. Ayah tidak memaksa, namun, kamu jadilah penghafal Al-Quran. Habiskan 30 juzuk itu. Bukan kerana ayah, tapi kerana Allah. Itulah setinggi-tinggi sijil dunia akhirat yang perlu kamu gapai untuk selamatkan dirimu sendiri di dunia, alam kubur dan akhirat kelak. Al-Quran itulah yang akan menuntunmu setiap waktu hingga ke pintu Syurga. Bila kamu cinta Al-Quran, sudah pasti Al-Hadis juga akan kamu sayangi kerana tidak mungkin terpisah antara keduanya. Rasulullah SAW itu kekasih-Nya. Jadi, usah pisahkan antara dua yang saling sayang, Al-Quran dan Hadis.

Keempat, ingatlah pesan ayah, jagalah famili, usah bertelingkah antara adik-beradik kerana tiada apa yang bagus dari sebuah perselisihan. Adik-beradikmu nanti, pasti ada hitam putih kehidupannya masing-masing. Ada turun naik keimanannya, kamu sendiri pun ada langkahmu yang bendul dan songsang, kadang terjerumus ke lubang kehinaan. Bangkitlah semula. Insafi diri, kembalikan diri pada Tuhan. Ayah minta maaf, sekiranya ketika hidupmu dilanda badai kehidupan, dugaan dahsyat hingga air mata pun tidak mampu meredakan sedih hati, ketika itu ayah tiada di sisi. Kamu perlu kuat, kerana selepas kesusahan demi kesusahan akan terselit jua secebis kesenangan. Meski lambat, meski pedih, sabarlah. Hidup ini tidak akan mudah seperti yang diimpikan. Tiada apa yang kita ingini, akan kita capai 100% tepat seperti yang kita rancangkan. Dapat capai 1% pun sudah cukup untuk disyukuri. Kerana 99% lagi, Allah simpan di Syurga sebagai hadiah sebuah kesabaran yang tinggi.

Kelima, wahai anakku. Maafkan ayah jika nasihat ayah yang terakhir ini tidak selari dengan prinsipmu. Usah mengikut jejak langkah ayah dalam hal jodohmu kelak. Bila kamu dah berjumpa dengan pilihan yang baik, tetapkanlah hatimu. Usah dalam membuat keputusan besar, kamu beralih-alih pada hati-hati yang lain hanya kerana pilihan yang baik itu mempunyai cacat cela atau terselit sedikit kekurangan. Sesungguhnya, itulah tipuan syaitan dan nafsu demi menewaskan imanmu ketika membuat perhitungan. Utamakan dengan bertanyakan Allah tentang soal hatimu. Ayah restui selagi mana dalam diri pilihan hatimu itu ada agama, ada iman yang ingin dipertahankan. Ingat, sebuah perkahwinan bukan untuk cuma senyum dan tangis bersama yang tercinta, bahkan itulah ujianmu sama ada berjaya menuntunnya ke Syurga atau sebaliknya.

Anakku..

Maafkan ayahmu untuk segalanya...

Bukanlah seorang ayah yang baik atau sempurna, jauh sekali alim beragama. Kamu jadilah yang terbaik untuk Dia. Itulah cita-citaku padamu.

Sampai sini saja.

Wassalam.

4.12 pagi.




Gambar kenangan ketika ayah umrah dulu-dulu





16 February 2018

13 Telah Lama Diriku Dalam Leka. Lupa Menyintaimu Sepenuh Jiwa.

Lama sungguh.

Ni baru nak update.

Blog ni diwujudkan sudah satu dekad. 
Tahniah. Aku sudah tua. Bangka.


Hidup ni jaranglah berlaku semuanya smooth macam yang diimpikan. 

Ada orang, sejak sekolah sampai habis universiti sampai dah kerja, semuanya clean and clear — cemerlang dapat biasiswa, dapat kerja bagus, dapat isteri lawa, dapatlah segala apa yang dikehendaki. Tapi akan tiba di satu titik kehidupannya, diuji dengan segala macam kesusahan.

Teka apa yang berlaku padanya?

Orang yang tak biasa bertani, adakah mahir menanam padi? Begitulah juga orang yang tak biasa diuji, bila dah kena sekali, rasa macam dunia ni gelap seluruhnya. Padahal, dia lupa segala jenis nikmat yang telah Allah kurnia selama ini. Hanya kerana satu dua ujian, rebah terbongkang.

Namun, yang sentiasa diuji, tidaklah sekuat yang disangkakan juga. Walaupun dah lali. Orang yang biasa bertani, rasa penat tidak pernah berpisah daripadanya. Bila diuji, akan rasa down juga. Rasa sedih juga. Rasa kecewa juga. Namun, tidaklah seteruk yang tak pernah diuji.

Bukan sebab pernah atau tak pernah diuji sebenarnya.

Sebab tingkat kesabaran seseorang itu berlainan. 

Teori sabar tidak sama dengan praktikal sabar. Tahu wajib bersabar tiap kali diduga, tidak sama dengan bersabar dengan tiap dugaan. Pandai cakap tak sama dengan pandai buat.

***

*monolog hati*

Merasa Tuhan masih rindukan dirimu di saat kau buat dosa adalah satu kehipokritan. Pentingkan diri sendiri. Menyebabkan kau rasa selesa untuk terus tenggelam dalam kemungkaran dan keseronokan. Aku pun tak pasti sama ada benar atau tidak telahan Allah rindu pada pendosa. Yang aku jelas, Allah rindukan taubat dari seorang pendosa supaya kembali ke jalan-Nya. Kerana seorang petaubat nasuha, dosanya kosong, dirinya suci kembali. Kembali menjadi orang-orang yang beriman.

Mengatakan Allah kasih pada semua makhluk itu benar kerana Dia sememangnya Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Namun, kau tegar berbuat dosa dengan bersandarkan sedap hati, 

"Ah, aku berdosa pun Allah rindukan aku." 

Itu selamanya tidak benar.

Kau tahu kenapa aku katakan tidak benar?

Satu, 

Maka (Kami laknatkan mereka) dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar, dan mereka juga mengatakan: "Hati kami tertutup (tidak dapat menerima ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad)". (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah memeteraikan hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya).



(سورة النساء, An-Nisaa, Chapter #4, Verse #155)
Dua,

Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan) pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk selama-lamanya.
(سورة الكهف, Al-Kahf, Chapter #18, Verse #57)
 Tiga,

Jika Allah menghendaki, nescaya Ia musnahkan kamu wahai umat manusia dan Ia datangkan gantinya dengan umat-umat yang lain. Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu.


(سورة النساء, An-Nisaa, Chapter #4, Verse #133)

Sebab itulah, usah selesa dengan merasakan Allah rindu walaupun kau sedang bertubi-tubi melakukan dosa. Mungkin hati telah dimateri, mungkin sudah tersenarai antara hamba yang sedang tunggu masa untuk dihapuskan dari muka bumi. Jangan bermain-main dengan murka-Nya.

***

Hm.

Aku cakap semua ini untuk diri sendiri. Tapi, kalau kau pun terasa, nak buat macam mana.

Memang hidup ini akan sampai saatnya kita buntu. Tak dapat nak selesaikan masalah yang kunjung tiba. Mungkin masalah tu kecil pada orang lain, tapi besar pada kita. 

Tiap kali datang masalah, sebenarnya kita selalu silap langkah. Kita cuma mengadu masalah, merintih, bersedih. Berdoa pada Allah. Tapi, itu sajalah yang kita buat. Kita tak tunjuk pun effort kita betul-betul perlukan pertolongan daripada Allah. Solat tetap sambil lewa. Tetap tinggal-tinggal. Termenung lagi banyak berbanding zikrullah. Menangis lagi banyak berbanding baca Al-Quran. Serius, kita tetap malas walaupun punyalah masalah sebesar dunia sedang menghempap dalam dada. Mana ada kita bangun malam menangis-nangis minta, 

"Ya Allah, tolonglah aku dah buntu sangat-sangat, tak tahu nak buat macam mana dah lagi."

Tak ada. Satu malam, dua malam bolehlah. Malam ketiga, dah layan Facebook merintih di sana. Dah layan Twitter, mencari perhatian manusia di sana. Dah layan Instagram, story panjang berjela live video tunjuk hati sedang berduka. Itu sajalah level ikhtiar kita.

Sebab itulah kita diuji terus diuji. Sehinggalah level ikhtiar kita terus meningkat tahap keimanannya. Sehingga bukan lagi mencari Allah di kala sukar semata, tapi di saat senang ceria Allah bersama-sama. 

Ah. Dah panjang pula membebel.

Selamat tinggal untuk kali ini.


29 Jamadil Akhir 1439H.










10 March 2017

9 Suatu Hari

Suatu hari nanti, pasti akan ada suatu saatnya..

.. seorang ayah akan berkata padaku,

" Inilah kali pertama, anak perempuanku, luahkan sesuatu yang serius tentang lelaki yang ingin dijadikan teman hidupnya.
Dan lelaki itu adalah kamu. "

Aku cukup yakin dan percaya.

Untuk aku, akan ada bahagian bahagia.
Cuma belum tiba masanya.

— Muhammad Rusydi,
momen-momen akhir sebelum dunia ini ku tinggalkan.

18 September 2016

26 Sendiri Ku Diam

Aku tak tahu.

Dah lebih setahun berlalu since blog ni diupdate. Sekarang, orang dah tak baca blog. Orang berkerumun di Instagram, Twitter dan Facebook.

Setahun demi setahun berlalu.

Aku masih di sini. Tak ada apa pun perkembangan terbaru. Rutin yang sama. Pergi kerja, balik kerja. Sampai rumah, rehat. Kemudian, online Facebook.

Tiada siapa pun di rumah bujangku.
Hanya aku.

Tiada siapa menanti di rumah.
Kitaran yang sama.

Bila aku lapar, kadang aku masak sendiri. Banyak kalinya aku beli bungkus saja. Makanan sama saja. Makan pun sekali dua sehari saja. Majoritinya sehari sekalilah. Sebab itu, tubuhku kecil tak boroi tak buncit macam lelaki sekitar umurku. Tak cukup zat kot.

Kawan-kawan yang sebaya, semua dah ada life yang berkembang. Ada isteri dan anak-anak. Hidup mereka untuk keluarga yang mereka bina sendiri dan keluarga ayah ibu mereka. Dah boleh makan jasa.

Aku?

Tiada apa.

Aku ada upgrade sedikit kehidupanku. Dari tak pergi surau, aku ke surau. Sekurang-kurangnya Maghrib dan Isyak. Dalam seminggu tu, mesti ada kalinya aku ke situ. Subuh? Belum lagi kuat iman untuk melangkah di awal pagi. Aku harap dalam masa terdekat, aku ada kekuatan untuk berubah. Try Subuh pula.

Al-Quran. Aku rasa okaylah sikit dari dulu. Dalam seminggu, aku ada baca juga. Bila aku ke surau kubur, sambil menanti antara Maghrib dan Isyak, aku habiskan dalam satu juzuk. Sebab situ tak ada kuliah Maghrib. Aku selesa ke surau tu. Bila aku lemparkan pandangan ke luar, aku nampak kuburan memutih batu nesannya. 

Suatu hari, soon, aku akan kembali ke situ jua. Mungkin situ akan jadi tempat persemadianku. Atau kuburku tidak ditakdirkan di situ. Di mana-mana saja, alam barzakh tetaplah alam barzakh. Suram dan ngeri buat aku yang tidak solehnya.

Hidup masih diteruskan.

Blog Selamat Tinggal ini masih tidak berubah namanya. Mottonya. Suatu hari nanti, aku akan pergi tinggalkan segalanya yang ada di dunia ini. Sepikan diri di dalam sana. Blog ini adalah khazanah terakhir peninggalanku.

Tak perlu lagi aku ucap,

"Selamat tinggal.."

***

"Nak tua bersama-sama awak." 
 Sering aku duduk bersendirian. Tengok langit. Berangan sendiri;

"Kahwin dengan saya?"

"Saya nak hidup dengan awak. Cuma awak."

"Susah senang. Suka duka. Selamanya. Di dunia. Bersambung lagi di dunia sana. Ada rezeki, bertemu kembali di Syurga."

"Permintaan ringkas, nak tua bersama-sama awak."

Diam. Tiada siapa berdiri di hadapanku.

Hanya aku dan perasaanku.


"Selalu, bila dah beri sepenuh hati, berlalu tidak dihargai."

Itulah kebiasaannya kitaran manusia. Harap aku pandai menghargai. Harap aku juga dihargai.

Bila terlalu tinggi letakkan harapan, harapan hanya tinggal harapan.

Tapi, aku sentiasa berjanji pada diri. Kepada yang bakal jadi suri hati suatu hari nanti. Aku akan berikan padanya yang terbaik dari hati. Meski tidak sempurna aku ini, namun aku mahu kau tahu, aku serius mahu membahagiakan.

Aku ini penuh kesilapan dan kesalahan. Segala kisah silam dan kekhilafan lalu kadang akan buat kau rasa aku tak layak untukmu. Tapi, aku sendiri sudah merasa pedihnya tanggung rasa bersalah. Jadi, usahlah memandangku sentiasa berada di kandang pesalah.

Ini bukan mahkamah. Aku juga mahu lega bernafas.

Terimalah aku yang penuh cela.
'Kan ku terimamu seadanya.



Aku tahu. Suatu hari bila kamu, yang betul-betul takdirku, hadir depan mata, permintaanmu pasti damba dariku kesetiaan dan keikhlasan. Usah gusar, pasti kau ku perjuangkan.

Bila aku, kau sama perjuangkan.

***

Terlalu dalam coretan peribadi, tak patut aku kongsi dengan lebih jauh.



Aku rasa aku patut berbicara lebih dengan Tuhanku.

Aku kurang berbicara dengan-Mu.

Akhir-akhir ini, aku rasa aku mungkin tak lama. Entah, mungkin mainan rasa cuma. Atau memang hati berbisik yang benar.

Maaf atas silap dan salah, sengaja atau tidak. Aku cuma manusia biasa. Miskin jiwa dicengkami dosa. Kadang angkuh bila berdiri. Andai terguris rasa, maaf dari hati.

Wassalam.

**

Ku beradu oh sendiri.

Rusydee Artz,
18 September 2016.
2:03 pagi.
16 Zulhijjah 1437H







22 June 2015

26 Cerpen: Dia, Jururawat



Tajuk: "Dia, Jururawat"
Penulis / Karya Tulen : Muhammad Rusydi / Rusydee Artz


Ruangan dalam wad kecoh.

"Kenapa bising-bising ni?"

Seorang jururawat senior masuk ke dalam wad. Dia nampak seorang jururawat pelatih sedang dimarahi oleh beberapa individu. Nampak seperti keluarga pesakit.

Menghampiri mereka.

"Macam mana korang buat kerja ni?!"

Seorang lelaki umur dalam lingkungan umur 40-an bercakap kasar dengan misi senior yang baru melangkah masuk. Diikuti dengan seorang wanita. Juga mulai memaki-hamun.

"Ni mak kami. Tapi, kalau kerja nak tak nak macam ni, panggil banyak kali pun buat tak reti saja, baik tak payah jadi jururawat!

Eh, kerja nurse memang basuh berak, basuh kencing, mandikan pesakit! Tapi, kami tengok service sini bukan main teruk lagi. Kami bayar mahal-mahal. Ambil insurans perubatan gred A nak check-in sini. Tapi, macam ni layanan yang kami dapat?!"

Wanita itu menyambung dengan menghamburkan kata cacian yang membingitkan gegendang telinga.

Semua ini gara-gara ibunya yang terlantar sakit, tiba-tiba buang air besar tidak menentu. Habis bersepah najis di katil pesakit. Bila mereka sampai di wad, jururawat tak ada di sisi ibu mereka. Bila panggil, lambat datang. Kebetulan masa tu waktu makan tengahari. Ada yang pergi solat, ada yang pergi makan.

"Maafkan kami, tuan, puan. Biar kami uruskan semuanya. Harap bersabar."

Jururawat senior cuba menenangkan keadaan. Namun, nampaknya tidak reda.

Anak lelaki makcik itu berang.

"Gila. Hospital swasta kot. Bukan hospital kerajaan. Kalau dah teruk macam ni, kami nak bawa keluar ke hospital lain!

Hari ini jugak!"

Jururawat pelatih hanya terdiam. Tak berani bicara. Biarkan saja jururawat senior yang handle.

"Bertenang, tuan. Pihak kami akan bereskan."

"Hish. Tahu tak kamu dah bazirkan masa kami. Kami keluar sekejap dari pejabat sebab nak ziarah mak. Tapi, jadi macam ni, lecehlah. Kena tunggu kamu nak bersihkanlah, mandikanlah. Nak tukar tilamlah. Aduhai!"

Wanita itu marah lagi.

Jururawat senior nampak seperti sudah hilang kesabarannya.

"Tuan dan puan, izinkan saya bercakap seketika. Minta maaf kalau terkasar bahasa.

Pertama sekali, ini wad. Jangan buat kecoh sini. Tak nampak ke sign 'jangan bising'. Mengganggu pesakit-pesakit lain.

Kedua, walaupun semua orang tahu tugas jururawat dan bidang skop jururawat untuk uruskan para pesakit.

Tapi, perlu juga kamu tahu, tugas utama dan wajib bukanlah pada kami sepenuhnya, tetapi pada semua anak dalam dunia ni.

Anak-anaklah yang wajib menguruskan dan melayani orang tua mereka 24 jam. Bukan kami. Kami tak mampu berada di samping pesakit sepanjang hari. Ada ramai lagi pesakit yang perlukan kami.

Kami bukan amah. Bukan orang gaji. Kami lakukan atas nama amanah. Hospital juga bukan rumah kebajikan orang-orang tua yang boleh sesuka hati sesiapa pun nak campakkan ibu-bapa mereka di sini.

Ketiga, bab aurat antara kami dengan pesakit. Adalah lebih baik aurat bapanya dilihat oleh anak lelakinya sendiri dan aurat si ibu yang sudah tua dilihat oleh anak perempuannya sendiri. Kami completely adalah orang luar bukan saudara-mara kamu dalam soal ini.

Seandainya kamu suatu hari sudah tua, adakah kamu tidak berasa malu mendedahkan aurat pada jururawat yang bukan mahram kamu pun? Pasti semua orang berasa malu.

Kami juga segan dan malu, tapi atas dasar tanggungjawab dan perubatan, kami laksanakan.

Lebih afdal anak kandung yang mencuci najis, basuh berak ibu dan ayah mereka sendiri.

Itu ayah dan ibu kamu sendiri. Yang kandungkan kamu, yang bela kamu sejak kecil. Yang basuh berak kamu ketika kecil tanpa rasa jijik dan kotor sedikit pun.

Tapi, bila dah dewasa, anak-anak terasa loya dan tak sanggup nak uruskan ibu dan ayah sendiri.

Keempat, Syurga dan Neraka anak soleh dan solehah. Bab ini, semua orang tahu, anak jenis macam mana yang boleh bawa ayah mak ke Syurga dan sebaliknya.

Kalau benar cinta dan kasih pada ibu dan bapa, buktikan!

Kenapa perlu maki kami, makilah diri sendiri yang tak sedar tanggungjawab sebagai anak!"

"Maaf, tapi mohon tuan dan puan keluar dari bilik ini sebab kami nak uruskan ibu tuan dan puan sekarang juga. Ramai lagi pesakit lain menanti layanan kami."

Lelaki dan wanita itu terkejut mendengar reaksi dari jururawat senior itu. Membalas berang seakan tidak insaf,

"Kami akan saman kamu semua!"

Dijawab sinis oleh si jururawat,

"Silakan. Jangan sangka kami tidak ada persatuan jururawat dan doktor seluruh Malaysia. Jangan sampai kami semua boikot dan tak terima langsung kamu sekeluarga di mana-mana hospital di negara ini lepas ini.

Ingat, kita takkan sentiasa muda. Tidak akan sentiasa sihat. Allah Maha Adil."

Pintu bilik wad ditutup.

Kedua manusia itu terkedu di luar bilik. Tidak puas hati. Namun, dalam hati mereka juga bimbang jika benar apa yang jururawat itu tadi katakan.

Kerna waktu berputaran.
Ada hari, 'kan sampai hukum Tuhan.

cerita oleh: Muhammad Rusydi

12 May 2015

11 Cerpen: Setiamu Di Mata


Judul : "Setiamu Di Mata"
Penulis / Karya Tulen : Muhammad Rusydi / Rusydee Artz

DING!

Notifikasi Whatsapp. Lelaki awal 30-an itu buka dan lihat. Oh, mesej dari isterinya.

Akhir-akhir ini, hampir setiap hari isterinya hantar gambar-gambarnya. Tak kiralah waktu di pejabat, waktu keluar dari rumah. Ke mana saja dia pergi, pasti isterinya itu akan hantar gambar.

Genaplah dua bulan isterinya berperangai begitu. Lelaki itu rasa, sebagai suami dia patut bertanyakan isterinya. Sebab, dia dah penat delete gambar-gambar yang memenuhi galeri henfonnya.

"Awak dah kenapa sebenarnya?

Setiap hari mesti awak hantar gambar. Lepas hantar gambar, awak suruh saya komen pula. Bila saya tak komen, awak merajuk. Bila saya kata tak lawa, awak merajuk lagi teruk.

Lima tahun kita kahwin, awak tak pernah macam ni. Awak ada masalah ke?"

Isterinya itu diam. Duduk depan suaminya. Kemudian, membalas ringkas,

"Kenapa, abang tak suka ke?"

Suaminya itu mood tak berapa elok. Dijawabnya secara terus,

"Rimaslah. Masa dekat pejabat pun nak hantar gambar. Awak tak payah hantar gambar pun takpe.

Kita dah kahwin, kan? Abang boleh balik tengok sendiri isteri abang ni di rumah.

Ni awak hantar macam-macam pesen gambar. Awak hantar gambar awak mekap tebal, gambar awak lukis kening tebal, mekap gaya Korea. Lepas tu, buat macam-macam gaya rambut. Panjang, pendek, ikal mayang, kerinting, rebonding semua awak buat.

Pakaian, semua awak try dari jeans, t-shirt budak-budak sampailah baju-baju model dalam Instagram tu semua awak nak beli, pakai dan tunjuk dekat saya.

Tu tak sebut lagi jenis tudung yang awak try. Belit tak belit, satin tak satin semua ada.

Kenapa jadi macam ni?

Abang tak ada mengurat sesiapa pun."

Isterinya itu terus menangis. Dengan air mata berlinangan, dia berkata,

"Saya buat semua ini untuk abang. Untuk jaga mata abang.

Bukan saya tak tahu, abang di pejabat abang online Facebook, online Instagram, layan Twitter. Saya nampak status-status abang update. Saya nampak gambar-gambar yang abang like.

Abang memang tak mengurat. Tapi, abang tak jaga mata abang. Abang tengok gambar-gambar wanita gedik di media sosial. Abang cuci mata puas-puas seperti abang seorang bujang.

Jadi, saya belanjakan sebahagian duit gaji saya untuk berhias. Saya tak berhias di luar rumah, saya cuma pakai di dalam rumah. Abang suka tengok wanita pakai ketat-ketat, saya pun boleh pakai. Abang suka tengok wanita-wanita jual tudung, saya pun boleh gayakan tudung sebagaimana mereka. Abang suka yang melukis kening, saya pun boleh. Abang suka yang berkulit putih melepak, saya pun dah consume ubat kecantikan sampai dah jadi putih gebu untuk abang. Abang suka tengok yang berpurdah, saya berpurdah untuk abang.

Saya tak mampu nak suruh semua wanita di media sosial itu berhenti bergedik, berhenti berlumba menayangkan kecantikan masing-masing. Berhenti dari bertabarruj. Berhenti jadi cantik demi populariti dan hurungan mata lelaki.

Saya cuma mampu jaga suami sendiri. Mata suami saya."

Suaminya itu tersentak mendengar jawapan si isteri. Dia terasa hati dan bangun dari tempat duduk, tapi segera diraih tangannya oleh isterinya.

"Maafkan saya.

Cita-cita abang dulu sebelum nikah adalah untuk ke Jannah. Ada isteri solehah. Inilah yang saya cuba lakukan untuk abang. Saya tak dapat jadi isteri solehah bila saya biarkan saja suami sendiri menjamu mata dengan melihat yang haram.

Sedangkan dia ada yang halal. Ada yang sah.

Abang, saya tak mampu sentiasa cantikkan diri untuk abang. Suatu hari, saya akan menjadi wanita tua berusia. Kulit saya akan kusam dan berkedut. Hidung saya akan sedikit jatuh, kelopak mata akan layu.

Maka, lihatlah saya ketika saya masih mampu cantik untuk abang.

Dulu, abang pilih saya sebagai isteri dan abang kata sayalah yang paling cantik di mata abang.

Jika saya yang tercantik di mata abang, buktikan dengan setiakan mata abang pada yang satu ini.

Bila suatu hari nanti saya dah tak lagi terlihat cantik di mata abang, mohon ada sedikit ruang dalam mata hati abang untuk masih menghargai diri ini.

Pada saya seorang wanita, sebagai isteri abang, hanya suaminya sahajalah yang teristimewa di mata.

Tiada lagi lelaki selainnya."

Isterinya itu menitiskan air mata sambil menyalami tangan suaminya. Lelaki itu mulai menyedari silapnya;

Nafsu mata tiada sudahnya. Imanlah jadi tembok tingginya. Isteri solehahlah pengawalnya.

Mata lelaki, walau sudah bernikah, bila selalu dibiarkan, akhirnya kamu para isteri yang akan terbiar dan dibiarkan. Bila tiada siapa mahu menjadi penjaga, maka syaitanlah yang akan mengambil tempatnya.

Bukan hati saja perlu setia.

Mata pun sama.

07 April 2015

18 Cerpen : Bukan Kerana Rupa



Tajuk: Bukan Kerana Rupa
Penulis / Karya original : Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )

Berborak dengan seorang senior. Dia berkulit gelap, chubby dan boroi. Macam mamak sikit. Isterinya juga lebih kurang dengan dirinya.

Disebabkan dia ni sporting, sengaja ku ajukan soalan kepadanya. Masa tu isterinya pergi mencari sayur. Dia duduk di sebelah membelek-belek tembikai.

“Maaf tanya, bang. Abang tak terfikir ke masa nikah dulu, nak dapatkan isteri yang cantik?”

Dia tersentak. Mungkin soalan tu agak direct. Tapi, dia senyum saja. Orang matang, kan.

“Siapa yang tak nak isteri cantik. Lelaki mana yang tak nak?Tapi, bukan sekadar itu yang patut kau nilaikan. Bukan setakat rupa dan fizikalnya. Kau patut pergi lebih jauh dari skop sempit tu.”

Aku berkerut kening.

“Maksud abang?”

Dia tergelak.

“Macam tembikai-tembikai depan mata kau ni. Adakah kau nilainya semata-mata dari kulit luaran? Tidak, kan?

Untuk bahagia, kau kena letakkan ketepi soal rupa. Soal agama letak yang utama. Soal jawab dia, sekurang-kurangnya solat 5 waktu tu cukup. Aurat tutup. Sempurna atau tak tu belakang kira, sebab tugas mendidik di bahu kau.

Then, kau kena fikir keluarganya. Kau boleh masuk tak dalam keluarga dia? Kau boleh kamceng ke tak dengan mak ayah dia, adik-beradik dia? Kau jangan pilih mentua yang pernah menyindir, menghina diri kau.

Contoh, pekerjaan kau dipertikaikan, gaji kau diungkitkan. Lama-lama, sabar kau cuma akan membawa kepada sakit hati, akhirnya jadi dendam bila benci mulai bertapak di sanubari.

Mulalah kau tak nak balik rumah mentua sebab tak suka dengar, tak suka tengok muka. Dengan adik-beradik dia pun begitulah juga. Nilaikan semua.

Bernikah ni, bukan setakat dengan dia. Tapi, seluruh keluarga dia. Dia saja baik, tapi keluarganya layan kau dengan buruk, kau jangan keraskan hati nak jugak. Kau berundur saja.

Pilih yang menyenangkan hati kau. Keluarga yang boleh menghormati dan menyayangi kau, menerima kau seadanya kau. Barulah kita rasa suka ziarah mentua, hati lapang.

Bukan kau saja yang mereka terima, tapi keluarga kau juga mereka reda terima. Timbul rasa syukur dapat keluarga baru macam tu.

Seterusnya, kau kena nilaikan. Dia sendiri. Dia cerewet atau tidak. Kalau cerewet, kau jangan teruskan. Pilih yang lain.

Kau takkan senang duduk, nak berehat sikit pun tak boleh asyik membebel. Suruh itu dan ini. Queen control kau. Tak boleh macam tu.

Pilih yang bertolak ansur dan sederhana. Dia tak kisah tak ada aircond, janji ada kipas meja pun dah ok. Tak ada meja makan, makan bersila pun tak mengapa.

Tak ada kereta, naik motosikal pun tak jadi masalah baginya. Tak ada duit, dia tak mengeluh. Dia ada duit, dia kongsikan dengan kau.

Kau ada duit, kau pula belanja dia macam-macam. Begitulah hidup suami isteri dan nak bentuk keluarga yang bahagia.

Bukan kerna rupa. Bila hati tenang, ibadah pun lenang. Dia tenang, keluarga dia tenang. Semua orang tenang. Apa lagi yang tak cukup?”

Aku senyum saja mendengar kata-kata abang tu. Dia menambah sedikit di hujungnya,

“Sebab itulah aku pilih isteri aku. Atas sebab-sebab yang aku sebutkan tadilah. Kulit hitam ke putih ke, lemak banyak ke sikit ke, takkan pernah memuaskan nafsu mata.

Kalau kau nak ikut nafsu mata, mata takkan pernah puas. Tapi kalau kau ikut kata iman, kau akan hargai segala yang kau ada. Segala yang realiti di depan mata.”

Aku salam tangannya. Hulurkan tembikai padanya sebagai hadiah. Ilmu yang lebih mahal harganya dari tembikai-tembikai yang aku jual.


Aduh. Bila Tuhan mahu menjentik hati.

8 Cerpen: "Ayah, Kenapa Tak Bagi Saya Pakai Purdah?"


Cerpen: "Ayah, Kenapa Tak Bagi Saya Pakai Purdah?"
Penulis / Karya Original : Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )

"Ayah, kenapa tak bagi saya pakai purdah? I love niqab so much!"

Anak gadisnya yang baru daftar universiti itu mengajukan soalan yang sama sejak malam semalam.

Ayahnya sejak malam tadi cuma senyum. Tapi, hari ini, nampaknya dia akan bersuara.

"Ayah nak tanya satu soalan. Perhatikan pakaian kamu sekarang, adakah masih tidak menutup aurat?"

Anaknya menggelengkan kepala.

"Sudah cukup asas yang wajibnya. Sudah tutup yang mana wajib tutup. Adakah ayah nak halang saya dari pakai niqab sebagaimana pakaian isteri Nabi s.a.w.?"

Ayahnya cuma tersenyum.

"Tidak. Ayah bukan nak halang. Tidak juga menidakkan andai dikatakan purdah itu jua sunnah sebagaimana lelaki memakai serban. Sedikit pun bukan kerana hukum."

Anaknya berpeluk tubuh, tidak puas hati.

"Habis tu?"

Ayahnya tenang.

"Berapa ramaikah lelaki yang mengganggu kamu sampai saat ini? Seorang, dua orang atau dua puluh orang?"

Anaknya berkerut kening.

"Tidak sampai sepuluh orang."

Ayahnya bertanya lagi.

"Dari manakah gangguan itu, realiti atau alam maya? Jujur."

Anaknya berkerut kening lagi.

"Hmm. Jujur cuma dari alam maya. Di realiti, kadang-kadang tidak dipandang pun. Tidak diberikan perhatian pun. Anak ayah bukannya awek cun yang diseru-seru lelaki di jalanan. Yang difeewit-feewit. Ayah kenal anak ayah."

Ayahnya tenang lagi bertanya,

"Gangguan itu disebabkan gambar-gambar yang menarik mata, kan? Gambar-gambar tahap 'gambar harapan palsu', iaitu gambar edit yang menyebabkan seseorang melihatnya sambil berharap mahukannya. Sedangkan ianya bukan kamu.

Jadi, gangguan datang kerana tindakan siapa, kamu atau mereka?"

Anaknya diam sejenak.

"Saya."

Kemudian, anaknya menjawab tidak puas hati,

"Apa kaitannya dengan semua ini? Salahkah saya nak pakai juga?"

Ayahnya duduk di beranda sambil menikmati angin senja.

"Tak salah. Ayah tak sebut tentang salah.

Cuma, lihatlah pada cara, gaya dan luahan ketidakpuashatian kamu sejak semalam, cuba cerminkan kembali. Muhasabah diri kembali. Adakah begitu akhlaknya seindah pakaian yang mahu dipakai. Adakah begitu caranya tidak puas hati kamu luahkan pada ayah sendiri? Di mana adabnya?

Bukan ayah agungkan pakaian, atau hormati tinggi melangit pakaian yang menutup muka itu, cuma ayah lebih pentingkan agama yang anak ayah bawa ini.

Ayah mahu, anak ayah berperilaku dengan pakaian yang lebih indah dari pakaian niqab, iaitu pakaian akhlak. Indah akhlak kamu, sudah cukup untuk menjaga diri kamu.

Bukan niqab yang sebenarnya menjaga kamu. Tapi, pembawaan diri kamu sendiri. Jalan mana yang kamu pilih. Kematangan fikiran dalam menentukan mana yang baik, mana yang tidak.

Selagi ayah hidup, ayahlah yang bertindak sebagai niqab kamu. Ayahlah yang melindungi kamu dari lelaki-lelaki tak guna di dunia ini. Ayahlah yang tempias sahamnya andai ayah gagal kawal anak gadis sendiri.

Menutup aurat yang wajib itu dituntut. Untuk melengkapinya, hati yang hitam juga perlu ditutup dari dosa-dosa.

Niqabkan hati dengan agama yang mantap.

Insya-Allah, selamat dunia dan akhirat.

Akhir kata dari ayah, kamu nak pakai atau tidak, itu terserah. Tiada halangan dari ayah."

Ayahnya mundur ke dapur goreng cekodok.

Anaknya terkebil-kebil sendirian. Nampak macam nak menangis.

Nota penulis: Secara peribadi, penulis amat menyarankan para muslimah memakai niqab dengan sepenuh kefahaman dan tulus ikhlas niat untuk menjaga agama, maruah dirinya. Insya-Allah, Allah bantu.


6 Cerpen : "Abang Nak Bawa Awak Jalan-Jalan di Turki."


Cerpen: Abang Nak Bawa Awak ke Turki
Penulis / Karya original : Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )


Di suatu kampung, seorang gadis telah memilih seorang lelaki biasa yang kerja kampung sebagai suaminya.

Suatu hari, mereka telah menonton tv. Ada rancangan travelog di Turki. Si isteri teruja dengan keindahan panorama di sana. Suaminya pun berkata,

"Abang nak bawa awak jalan-jalan di Turki."

Isterinya membulatkan mata, tersenyum gembira,

"Yeay!"

Hingga akhir tahun itu, suaminya tak bawa pun isterinya ke sana.
Di usia mereka 30-an, sekali lagi suaminya berkata kepada isterinya,


"Abang janji, tahun ni nak bawa awak jalan-jalan di Turki."

Isterinya senyum gembira dan menganggukkan kepalanya.

Namun, hingga awal umur mereka 40-an, suaminya tak tunaikan janjinya.

Di usia mereka meningkat 50, sekali lagi suaminya berkata kepada si isteri tersayang,

"Abang rasa, abang nak bawa awak jalan-jalan di Turki hujung tahun ni."

Isterinya senyum gembira dan mengangguk setuju.

Namun, hingga hingga lewat usia mereka 50-an, kata-kata suaminya itu hanya tinggal kata-kata.
Suatu hari, suaminya jatuh sakit. Sakitnya melarat hingga doktor mengesahkan hanya menunggu detik dan ketika saja.

Isterinya setia duduk di sebelah suaminya di hospital. Suaminya bersuara lemah,

"Abang minta maaf. Tak dapat bawa awak ke Turki. Tapi, kenapa selama ini dan sampai hari ini, awak tak pernah bangkit, ungkit atau marah tentang hal tu?"

Isterinya mencapai tangan suami tercinta.

"Abang, bila abang cakap nak bawa saya ke Turki, kata-kata abang tu dah pun bawa jiwa saya seolah-olah berada di sana dengan abang. Dah cukup sekadar membayangkan. Sudah cukup membahagiakan. Walaupun hanya angan-angan, tapi bagi saya cukuplah sekadar impian. Yang lebih penting, Allah dah bagi pada saya cukup bahagia.

Allah bagi suami yang membanting tulang empat kerat sehari-hari untuk menjaga saya dan anak-anak. Allah bagi suami untuk saya letakkan kepala di bahunya saat saya sedih, saat saya menangis. Adakah tidak cukup lagi semua ini? 
Panorama dalam rumah kecil kita, lebih indah dan membahagiakan. Nak indah lagi, tunggu saja kita berjumpa kembali di Syurga sana. Lebih indah dari Turki. Perbelanjaan ke sana mesti mahal. Tapi, perbelanjaan ke Syurga lagi mahal. Jualkan dunia ini dengan isinya pun tak mampu untuk membeli tiket ke Syurga. Tiket itu ada pada reda abang pada isterinya ini."


Suaminya menitiskan air mata mendengar kata-kata isteri. Tak lama kemudian, suaminya itu meninggal dunia. Setelah selesai dikebumi, isterinya mengemas barang-barang peninggalan suaminya.

Ketika mengemas, terjumpa sebuah buku tentang Turki. Di dalamnya ada sekeping tiket untuknya. Di sebelah tiket, ada nota kecil.

"Maafkan abang, duit abang hanya cukup untuk beli sekeping tiket."

Isterinya menitiskan air mata. Apa guna ke sana lagi, andai hati ini telah dibawa pergi bersama arwah suami.


7 Cerpen : Syurga Kita


Cerpen: Syurga Kita
Penulis / Karya original : Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )


“Abang, kita pergi kedai hiasan dalaman rumah, boleh?”

Isteri memandangku penuh pengharapan. Aku senyum kelat. Mengangguk tidak. Menggeleng tidak.

Tapi, dia dah pergi bersiap. Tak sempat aku berikan jawapan.

Dia tak tahu, dah 3 bulan gajiku tak berbayar. Entah apa masalahnya dengan syarikat tempat kerjaku. Masalah kemelesetan ekonomi agaknya. Aku bukannya kerja tetap pun situ. Ambil upah kontrak saja. Kerja aku, pikul simen, bawa paip besar-besar tu ke rumah-rumah. Kadang-kadang, aku jadi buruh binaan sandaran. Semua kerja berat, aku buat.

Bukan demi perut aku. Tapi, demi keluarga kecil aku ini. Anak baru dua orang. Dekat 10 tahun dah aku nikah. Isteri tak kerja. Suri rumah sepenuh masa.

Rumah ni pun rumah pusaka arwah nenek isteri. Duduk menumpang di tanah keluarga. Aku harta apa pun tiada. Harapkan kereta Proton Saga first model tu saja. Tu pun dah nak roboh kalau bawa lebih 100 km/j.

“Jom.”

Anak-anak pun dah siap. Isteriku senyum manja.

Kami ke kedai pameran perabot dan hiasan dalaman yang besar dekat area sini. Ada ekspo rupanya.

Aku tengok isteriku dan anak-anak happy sangat. Pergi dari satu pameran ke satu pameran. Dari satu galeri ke satu galeri. Display ke display. Dari pameran ruang tamu ke ruangan dapur.

Aku tengok dan tanya harga.

“Ribu. Belas ribu. Puluh ribu.”

Isteriku pimpin tanganku dan anak-anak. Sepanjang pameran, dia senyum saja. Hairannya, tak pula dia suruh aku beli.

Sampai di ruangan galeri dapur, dia berhenti lama. Aku tahu, dia mengimpikan dapur luas seperti itu. Ada kabinet, lengkap dengan ketuhar, dapur masak dan hood. Barangan dapur serba lengkap. Wanita mana yang tidak suka?

Dia memegang erat sedikit genggaman tanganku. Aku tahu, dia mahu.

“Abang, jom. Kita balik. Dah puas tengok.”

Aku terkebil-kebil. Menuruti saja langkahnya ke kereta uzurku.

Dalam kereta, isteriku tak lepaskan tanganku. Aku sengaja bertanya,

“Awak nak dapur macam tadi, ya?”

Dia jawab,

“Nak sangat. Tapi…”

Aku mencelah.

“Tapi?”

Dia meletakkan kepalanya di bahuku.

“Tapi, biarlah. Syukur dengan dapur rumah kita. Syukur dapat makan dan minum apa adanya. Bukan dapur yang saya ingini, tapi abang dan anak-anak ada di sisi. Masa makan, ceria dan gelak sekali. Gurau senda dengan famili. Meja kecil, senang nak capai dan hulur lauk. Senang nak suap suami dan anak-anak makan. Dapur yang bahagia.”

Aku terdiam. Senyum paksa.

“Abang tahu impian awak..”

Isteriku cepat-cepat genggam erat lagi. Kali ini lenganku jadi mangsa.

“Abang jangan fikir macam-macam. Saya ajak abang datang sini, supaya keinginan mata saya untuk lihat semua tadi, pudar setelah dah lihat. Tak terbayang-bayang dah. Tengok dan lupakan.

Menyintai kan tidak bermakna memiliki. Suka, tak bermakna nak beli.

Semua barangan mewah tadi, dari ruang tamu sampai ke dapur, dari pagar rumah sampailah rumah mewah, saya impikan abang dan anak-anak ada bersama dalam rumah tu dengan kelengkapan tu semua.

Indah sangat ada segalanya. Bahagia sangat.

Tapi saya bayangkan bukan indah di dunia, bang. Saya bayangkan mahligai di Syurga ada lebih dari semua tadi. Segalanya ada belaka.

Apa guna jika ada semuanya, tapi abang dan anak-anak tidak turut serta? Itu bukan bahagia maknanya pada saya.

Abang, susah kita sekarang, semua yang kita lalui sekarang ini adalah harga yang sedang kita bayar untuk mahligai di akhirat kelak. Makin kita sabar dan tenang lalui pahit-maung, suka duka masih bersama, insya-Allah.

Syurga jadi milik kita jua.

Bang, ‘syurga’ bagi setiap orang tidak sama. Ada orang makan kek yang harga mahal barulah dia terasa bahagia.

Tapi, saya dan anak-anak, makan biskut tawar pun sudah terasa nikmat bahagianya.

Abang, anak-anak. Syurga saya.”

Aku terkesima dengan kata-kata isteriku. Berhenti seketika di bahu jalan. Aku cakap dengan dia nak check tayar. Macam tak sedap saja drive. Padahal, aku tunduk tengok tayar, nangis sendirian.

Masuk balik kereta. Senyum.

“Depan sana ada air jambu asam boi. Semua nak tak?”

Isteri dan anak-anak serentak jawab,

“Nak!~~”

27 March 2015

9 Cerpen: Alasanmu



Cerpen: "Alasanmu"
Karya original : Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )

"Abang, laptop saya kena curi. Habis semua dokumen penting saya dalam tu. Dahlah nak guna minggu ini urgent pula tu."

Berkerut kening lelaki berumur 35 tahun itu. Meletakkan fonnya. Panggilan tadi dari isterinya. Isterinya yang jarak umur 7 tahun darinya itu sedang menghabiskan penulisan tesisnya di peringkat sarjana di universiti.

Nak tak nak, pasangan itu terpaksa berjauhan. Berjumpa sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Si suami buka gerai makan kecil saja di kampungnya. Kerja sendiri. Oleh kerana isterinya ada degree, dia pula hanya sampai di peringkat diploma, lelaki itu mencadangkan isterinya sambung belajar. Peluang untuk isterinya itu mendapat kerjaya yang lebih baik mungkin lebih cerah. Itu yang terbaik pada hematnya.

"Ibu nak balik?"

Anak tunggal perempuannya yang berumur 5 tahun menyentuh tangannya. Tersentak seketika dari lamunan.

"Tak, ibu sibuk study. Sibuk baca baaanyak buku. Minggu depan, kita pergi jumpa ibu ya?"

Senyum sambil membelai rambut anaknya itu. Mujurlah anak kecil itu tidak banyak kerenahnya. Seolah-olah memahami ibunya bertungkus lumus berjuang menimba ilmu. Demi masa depan keluarga mereka.

"Mana aku nak cari duit seribu dua dalam masa satu minggu ni? Aduh."

Kepalanya kusut seketika. Sudahlah jualan di gerainya itu akhir-akhir ini makin perlahan. Lokasi kedai dalam kampung pula tu. Sejak cukai dalam negara dinaikkan, semua barangan naik mendadak harganya. Secara tidak langsung, kos dan modal meningkat. Peniaga kecil sepertinya terbeban.

Mundar-mandir sendiri dalam rumah. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri.

"Abah, peninglah tengok pusing-pusing."

Anaknya mengomel. Mengusik hatinya.

"Abah exercise ni. Nak jadi hensem kenalah bersenam. Nak abah yang hensem tak?"

Dia mencubit manja pipi tembam anaknya. Geram. Comel sangat. Anaknya gelak-gelak sambil melarikan diri dari ayahnya itu.

Dalam kekalutan fikiran, mujurlah Allah anugerahkan si kecil itu menyejukkan hati dan perasaan. Dia melemparkan pandangannya ke halaman rumah. Matanya fokus pada motosikal EX5 miliknya. Hatinya berbisik, jualkan saja. Itu saja caranya untuk dapatkan wang segera. Nak harapkan duit dalam bank, memang tak mencukupi. Beberapa ratus saja yang ada. Nak pinjam dengan orang, segan pula rasanya. Lagipun, masih ada sebuah kereta Kancil untuk berulang-alik.

Lelaki itu membulatkan tekadnya.

**

Tunai sudah ada dalam tangannya. Tolak saja di kedai cina berhampiran. Mujur masih lekat harga dalam dua ribu. Cukuplah tu untuk beli sebuah laptop baru.

"Kita buat surprise kat ibu, nak? Jom kita gi jumpa ibu hari ini!"

Si kecil itu terlompat-lompat riang bila dengar nak jumpa ibunya. Pagi-pagi lagi, dua beranak itu dah siap-siap. Anaknya senyum saja dengan gaun merah jambunya. Duduk di seat sebelah ayahnya dengan tali keledar kemas dikenakan. Langsung tidak dimaklumkan pada si isteri, mereka akan pergi menemuinya di kampus. Perjalanan dalam empat jam merentasi negeri.

Dalam kereta, si ayah berborak dengan anaknya.

"Kamu nanti, kena jadi rajin macam ibu ya. Ibu pandai. Tak macam abah sekolah pun ponteng-ponteng. Belajar pun sekadar lulus saja."

Anaknya tengok saja wajah ayahnya yang sedang memandu sambil berceloteh. Senyum dengan bibir mungilnya.

"Abah nak kamu jadi solehah macam Fatimah az-Zahra."

Anaknya bertanya,

"Siapa tu?"

Ayahnya membalas lembut,

"Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, "Fatimah sebahagian daripadaku, dan barangsiapa yang menimbulkan kemarahannya juga menimbulkan kemarahanku." Fatimah adalah anak Nabi s.a.w. yang paling bongsu. Nak tahu kenapa Rasulullah s.a.w. sayang sangat padanya? Sebab beliau perjuangkan Islam sebagaimana Rasulullah perjuangkan. Sayang kepada agama lebih dari segalanya. Sayang sekali sama ayahnya.

Pernah ketika Nabi s.a.w. dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi s.a.w. sedang sujud menyembah Allah SWT, dengan menangis sedih Siti Fatimah membersihkan tubuh Nabi sa.w. daripada kotoran yang ditaburkan oleh kaum Quraisy."

"Fatimah seorang yang suka belajar. Rajin menuntut ilmu dari ayahandanya. Apa yang ayahnya tak suka, dia benci sama. Apa yang ayahnya suka, dia turut cinta."

Anaknya tersengih saja melihat ayahnya bercerita. Ayahnya mengerling geli hati melihat telatah anaknya yang sedikit terlopong. Entah faham, entah tidak.

"Sayang abah tak?"

"Sayang sangat!"

**

Hari sudah petang ketika kereta mini itu tiba di perkarangan asrama universiti. Si suami mendail nombor isterinya. Tanya isterinya di mana. Tanpa maklumkan mereka berdua telah sampai di sana. Isterinya membalas,

"Saya outing hari ini, bang. Pergi perpustakaan universiti. Tak ada di asrama."

Suaminya itu sedikit hampa. Alang-alang dah datang, tunggu sajalah di garaj kereta. Berhampiran saja dengan asrama isterinya.

Seketika, anaknya melambai-lambai tangannya dari dalam kereta. Dia menjenguk sama.

"Ibu, ibu!"

Anaknya menunjuk-nunjuk jemarinya ke arah seorang wanita yang sedang berdiri di hadapan asrama. Tak lama, tiba sebuah kereta Honda Civic Type-R berhenti betul-betul di sebelah isterinya.

Hatinya mulai berdebar-debar. Keluar seorang lelaki lagaknya seperti orang kerja pejabat. Segak bergaya. Buka pintu untuk isterinya masuk ke dalam kereta. Berlalu dari situ.

Suami tidak tunggu lama. Hidupkan kereta. Follow kereta tadi dari jarak agak jauh supaya tidak disedari. Dia cuba call isterinya. Oh. Fon si isteri telah dimatikan. Menyebabkan debaran jantungnya hampir tergendala.

Kedua-dua kereta itu telah pun sampai ke Genting Highland.

"Library apa di Genting Highland?!" Bentak hatinya yang sedang berkecamuk.

Parking jauh sikit sambil matanya tidak berkelip sikit pun dari mengintai sang isteri. Hatinya masih berharap, ini semua cuma sangkaan buruk hatinya. Mungkin isterinya ada kerja di situ.

Lelaki itu keluar dari kereta. Isterinya juga keluar sama. Si lelaki meraih tangan isterinya. Berpegangan tangan. Seperti pasangan kekasih. Isterinya memaut lengan lelaki, melentokkan kepalanya sedikit di bahu.

Saat itu juga, jatuh menitik air mata si suami semahunya. Hanya Tuhan yang mengerti segala!

"Ini ke perpustakaan awak tu?!"

Pasangan sejoli itu berpaling ke arah suara yang menengking. Detik itu juga, tumbukan padu singgah di muka lelaki tak guna. Namun, tumbukan itu dibalas kembali bertubi-tubi. Lawannya itu lelaki sado. Lelaki sasa yang masih muda. Akhirnya yang rebah terkulai adalah dirinya sendiri.

Anak perempuannya berlari mendapatkan ayahnya. Menangis-nangis. Dalam terketar-ketar, si suami bersuara.

"Abang datang untuk berikan laptop yang awak minta. Datang dengan anak nak surprisekan awak, nak happykan awak, tapi tak sangka abang yang terima surprisenya!"

Isterinya itu membalas bongkak,

"Aku tak suruh pun kan datang hari ni?! Dahlah, aku dah tak nak kau lagi. Kita berpisah saja. Kau hantar aku masuk universiti, sebab nak aku yang sara keluarga lepas keluar universiti nanti? Eh, aku tak bodohlah.

Buat apa aku hidup dengan lelaki yang harapkan gaji isteri?! Kau sedarlah diri sikit. Lelaki yang kau serang ni yang banyak tolong aku di sini. Dia baik hati, tak kedekut macam kau. Kau hantar tiga empat ratus sebulan mana cukup? Kau ingat aku budak sekolah ke? Duk kat bandar tak macam kat kampung! Nak pakai duit banyak!

Laptop tu bukan kena curi pun. Aku sengaja nak kau bank-in duit, sebab alat kosmetik, supplements aku dah habis. Aku tak suruh pun kau belikan laptop baru. Lurus bendul la kau ni. Sudahlah. Jangan buat hal sini. Kita jumpa saja di mahkamah!"

Hancur lebur hati si suami mendengar kata-kata isteri kesayangannya. Berubah terus. Baru dia perasan isterinya sudah pandai bergaya, pakai cantik-cantik tak pernah pula dipakai sedemikian di depannya.

"Anak tu hak aku! Aku akan tuntut hak penjagaan anak." Wanita itu menuding jarinya ke arah si kecil.

Anaknya itu tidak bergerak dari sisi ayahnya. Mendakap erat. Tak mahu lepaskan. Menangis-nangis sambil berkata pada ibunya,

"Tak nak ibu! Tak nak ibu! Nak sayang abah macam Fatimah sayang Nabi!"

Ibunya tergamam. Tak menduga sebegitu jawapan anak kecil itu.

Ayahnya juga turut terkesima. Bagai disuntik kekuatan baru, sang suami bangun. Perlahan-lahan berlalu dari situ dengan memimpin tangan anaknya. Tanpa berpaling langsung ke arah pasangan sejoli di belakangnya.

Hatinya tawar sehabis tawar. Dalam hatinya pasti, bukan kerana dia tidak pandai mendidik isteri. Bukan kerana berjauhan memisahkan dua hati. Bukan kerana dia tak cuba sedaya upayanya atau kerana tidak ikhtiar seikhlas hati. Ini semua ujian Tuhan. Untuk buatnya lebih tabah hadapi kehidupan.

Bila hati dah tak sayang. Bila setia dah hilang bisanya.

Apa saja yang dihamburkan isterinya tadi, itu semua alasan.

"Katalah apa yang kau ingin, selagi kau dapat berkata!"

19 December 2014

17 Cerpen: Cinta Kedua


Cerpen : Cinta Kedua
Karya Original : Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )

Ombak beralun lembut tatkala senja sedang berlabuh. Hati ini masih sayu teringatkan kata-kata seorang tua separuh umur yang menegur aku kelmarin, namun aku masih tidak boleh menerima hakikat.

Aku tak boleh terima tegurannya seratus-peratus. Sebenarnya, sikit pun aku tak mampu terima. Sayu hati sebab kata-kata itu dilontarkan di depan ahli keluarga orang yang aku cinta. Bakal isteriku ada, mak dia ada, adik beradiknya ada, datuk neneknya semua ada. Orang tua itu selamba tegur aku,

“Kau kalau nak nikah juga dengan anak aku, stop merokok. Itu saja. Kau takkan tak tahu merokok itu haram. Kau belajar sampai habis ijazah, kan?”

Betullah nak tegur. Tapi, perlu ke depan semua orang? Perlu ke masa-masa tu jugalah nak dihentamnya? Tak boleh ke tunggu esok ke, lusa ke, jumpa di kedai kopi ke, ini tidak.

Aku hidupkan kembali motosikal. Dalam hati, panas membara. Kelakianku dicabar. Aku dah datang elok-elok rumah dia, datang dengan bawa hajat yang murni, boleh pula ayahnya macam tu. Yang aku panaskan, sikit pun dia tak cuba untuk bela aku. Aku yang malu sendiri. Maruah aku bagai disiat-siat belati tajam. Mujurlah aku tak bawa orang tua bertandang sama. Kalau tak, dengan mak ayah aku turut tempias malunya. Ada teman wanita pun buat aku macam apa saja. Aku terluka tahu tak. Terluka!

“Eh, aku datang pakai baju melayu, pakai kopiah bagai dah. Dah nampak macam muka ustaz apa. Masih nak letak syarat macam-macam! Slack aku datang lepas Isyak. Masa tu sejuk, aku pekenalah Dunhill dulu sebelum sampai rumah. Kantoi bau rokok! Bau saja pun! Tak boleh ke?! Tak boleh?!”

Aku hempuk-hempuk kepala motosikalku yang tidak bersalah. Ada kucing lalu di sebelah motorku, tengok tak berkelip.

“Apa tengok-tengok?! Kau pun sama saja dah kenapa buat video kucing makan api lilin yang jadi viral di page SukanStar tu?!”

Kucing tu mencakar betisku lalu berdesup lari dari situ. Tak guna punya kucing. Aku pun bongok juga marah kucing tu dah kenapa?

Hari mulai gelap. Dah nak dekat Maghrib. Ku pecut motosikalku melalui kawasan-kawasan kampung. Memang aku sengaja datang jauh dari rumah ke pantai semata-mata untuk lepaskan tensi yang melanda hati. Hujan mulai rintik-rintik. Makin lama, makin lebat. Aku pun tak pasti aku berada di kampung mana masa tu, sebab hari dah gelap. Kawasan kelapa sawit pula tu. Tak ada rumah orang langsung. Peduli apa aku. Bukannya aku tak biasa redah jalanraya yang lengang seorang diri di malam hari. Hero manalah takut beb.

Hunjaman air hujan makin deras. Memaksaku berhenti seketika. Kalau redah juga, pedihlah muka kena hentam dengan air hujan dari depan. Yang lebih bahaya, lopak air di jalanan tu. Tak dapat jangka dalam atau tidak. Kalau nasib tak baik, boleh berpusing 180 darjah motosikal. Nak mati ke? Aku tak nak. Aku tak kahwin lagi, okay. Nak mati pun biar lepas kahwin.

Berteduh. Baju hujan tak bawalah pula. Nak tak nak, aku berhenti di sebuah wakaf tepi jalan yang telah usang.

Dalam kesejukan, aku keluarkan kotak rokok. Aku dah beli dua kotak terus, sebab terlampau geram dengan bakal bapa mertua. Ku keluarkan sebatang. Cucuh api. Asap berkepul ke udara. Rasa hangat sikit dalam badan. Sebenarnya, taklah hangat macam minum air kopi panas masuk ke dalam badan pun. Feeling tu penting, rasa macam hangat walaupun taklah mampu menghangatkan seluruh badan.

Macho tu penting, tahu tak. Lelaki perlu hidup di atas muka bumi ini dengan lagak penuh hero macho, stylo. Apa barang tak hisap rokok nak kekalkan bibir merah. Macam jambu, pondan. Tak berkenan langsung aku.

Hujan nampaknya tak nak berhenti. Resah seketika sendiri. Dah tiga batang rokok aku habiskan. Dalam hati marah-marah sendiri,

“Ni nak kena berkhemah di sini ke apa ni? Padan muka aku datang jauh-jauh walaupun dah tahu musim hujan!”

Aku hidupkan balik motor. Tapi, motosikal tak nak hidup. Beberapa kali aku cuba start. Plug dah masuk air ke? Aku periksa starter, ekzos tak ada apa-apa yang tak okay. Semuanya dalam keadaan yang baik. Minyak masih separuh tangki. Aduh, apa pula dugaan ini? Sedang aku cuba hidupkan, tiba-tiba aku perasan angin kuat datang dari arah kanan. Seakan ribut. Kuat sangat.

Tapi, yang lebih mengejutkan, tiba-tiba air deras menerpaku yang berada di atas motosikal. Terbeliak sendiri. Tak mampu nak larikan diri. Badainya terlalu deras. Kuat arusnya. Menghentam laju.

Aku dan motosikalku dihanyutkan arus deras sedikit demi sedikit. Sekelip mata, seluruh kawasan di sekelilingku tadi kini dilanda banjir. Barulah aku perasan, tempat aku berhenti untuk berteduh tadi, di kawasan rendah. Kawasan laluan air hujan. Berdekatan dengan sungai!

“Allahurabbi!” Itu saja yang terucap di bibir ini.

Air yang tadi separas dadaku, kini sudah berada di paras leher. Nak tak nak, aku lepaskan saja pegangan tanganku daripada motosikal. Sekarang, motor dah tak penting, nyawa lebih penting. Helmet di kepalaku buang. Menyusahkan untuk aku berenang nanti. Debaran di jantung macam nak pecah. Tak nampak daratan. Bila tanganku lepaskan saja, kakiku tidak lagi menyentuh lantai!

Aku hanyut. Dihanyutkan oleh arus deras. Terkapai-kapai sendiri sekarang. Memanglah aku tahu berenang. Tapi, dalam keadaan air terlampau deras, kayuhan kedua-dua tangan aku tidak mampu melawan arus. Hati dah risau yang teramat.

Apa yang terfikir masa tu,

“Habislah. Mati aku kali ni! Mati!”

Dalam tenggelam-timbul dihanyutkan air banjir, kalau aku nak bertaubat sekalipun dah tak sempat. Mana sempat lagi nak sujud di sejadah, mana sempat lagi nak berbuat apa-apa amalan ibadah pun. Menyesal yang teramat masa tu. Nak selamatkan diri sendiri pun tak pasti berjaya ke tidak lagi.

Aku nampak batang kayu besar menerpa ke arahku dengan kelajuan tinggi.

PANGG!

Terkena di kepalaku. Seketika penglihatanku kabur, dengan darah sendiri mengalir mencurah-curah dari dahi. Pecah kepala. Tapi, tangan aku sempat berpaut pada dahan di batang kayu besar itu. Pegang kuat-kuat. Kepalaku sedikit pening. Namun, berpantang maut sebelum ajal.

Akhirnya, batang kayu besar itu terhenti, tersangkut pada sebatang pokok lain yang berada di tengah-tengah arus deras. Aku tak lepaskan peluang itu. Terus memanjat naik ke atas pokok. Kesejukan. Menggeletar seluruh badan. Pokok itulah satu-satunya yang ada di situ. Sekeliling aku, seolah-olah dah jadi pulau dengan air berwarna perang, dah macam air milo. Air lumpur. Aku menekap luka di kepala dengan daun kayu yang ada di pokok itu.

Entah berapa lama pokok itu mampu bertahan dalam arus yang kian menggila. Aku pun tak tahu. Sudah lebih lima jam aku berada di atas pokok itu. Berpaut pada dahan yang rapuh.

Aku kesejukan melampau. Bibir dah biru. Anggota badanku sudah kecut-kecut berurat. Ku keluarkan kotak rokok yang sudah lembap. Cucuh sebatang demi sebatang. Tak nak menyala. Semua dah tak berguna. Seketika, fikiranku menerawang. Terimbas kembali kata-kata seorang abang yang jual tembikai, tapi aku dah belasah dia lepas dia ceramahkan aku.

“Rokok itu tak dapat membantu kau sedikit pun. Tembakau tu ada la juga gunanya, masa pepijat masuk dalam telinga, bolehlah guna tekap tembakau tu dalam telinga supaya pepijat keluar. Selain tu, tak ada faedah langsung. Kau pun tahu harganya pun cekik darah. Harga boleh beli ‘snack plate’ KFC tu. Kalau makan, dah kenyang.

Kalau kau sedekah Subuh, RM15 setiap pagi, dah berganda-ganda Allah bagi pahala pada kau. Yang kau hisap, semua burn termasuk organ dalaman kau. Tapi, apa yang kau sedekahkan, stay. Bawa sampai ke akhirat. Kau tahu kan, kalau kau sedekah di awal pagi, Insya-Allah hari kau bersedekah itu, Allah bantu ceriakan hari kau dan bala atau musibah yang nak menimpa pun dengan izin Allah dibabaskan.

Dalam sepuluh ustaz, sembilan kata haram, seorang saja yang kata makruh. Dalam 99% ulama, 1% saja yang kata makruh. Kau tetap nak bertahan dengan yang makruh tu? Kita tak perlu bicara pasal hukumlah. Aku pun bukan ustaz nak bahas pasal ni.

Ibarat tembikai yang kau nak beli ni. Aku nak tanya kau, kau nak tak beli kalau aku kata, lebih dari separuh bahagian tembikai ni dah buruk berulat?”

Aku menggelengkan kepala.

“Gila ke apa aku nak beli kalau dah tahu buruk?”

Abang tembikai membalas,

“Tengok, tahu pun kau tak nak beli kalau tahu buruk. Sama jugalah dengan rokok tu. Kau sanggup beli tembikai yang buruk, bagi makan pada ahli keluarga kau? Buat mereka cirit? Kalau merokok itu memang bagus, kenapa tak hisap dalam masjid?”

Lepas dia tanya soalan bangang tu, aku debik dia sepuluh kali sampai masuk ICU. Koh koh koh.

Hari dah jauh malam. Gelap-gelita sekeliling. Yang ada hanya aku, pokok ni dan air banjir yang mengalir laju di bawah kakiku.

Aku dah cuba keringkan henfon tadi. Tadi tak hidup, entah sekarang hidup ke tak. Aku ambil dan cuba. Eh, dah boleh. Bateri sangat low. Aku cepat-cepat call orang yang aku sayang. Bakal isteri aku. Nasib baik berangkat.

“Abang ni. Abang tak dapat cakap lama. Abang dihanyutkan arus banjir. Sekarang, terlekat di pokok. Abang sendiri tak tahu di mana.”

Aku mendengar suara balas yang risau. Kalut bertanya di mana. Cemas. Hampir sebak. Menangis-nangis. Perempuan tak sah kalau tak nangis. Lebih-lebih lagi orang yang dia sayang dalam bahaya.

“Abang cuma nak cakap, abang minta maaf atas segalanya. Abang minta maaf tak dapat jadi lelaki yang baik sebagaimana yang abah sayang nak. Abang mungkin tak sempat pun nak jadi baik. Abang tak tahu berapa lama lagi pokok ni boleh bertahan. Nyawa abang sudah pun di hujung tanduk.

Abang minta maaf, sebab abang telah terlanjur kata. Abang bertekak dengan sayang, abang cakap abang sanggup kehilangan sayang, tapi tak sanggup kehilangan rokok. Abang cakap, sayang cinta kedua abang. Rokok cinta pertama abang.

Tapi, andai abang berjaya kembali, abang nak sayang percaya abang boleh berubah. Abang boleh berhenti merokok. Kalau bukan sekarang, mungkin esok. Kalau tak boleh esok, lusa. Kalau tak boleh juga, minggu depan. Kalau tak boleh juga, bulan depan. Berikan abang masa. Tolong cakap ni pada abah sayang. Sampaikan juga maaf abang padanya.

Maaf, bila abang tak sempurna.”

Bateri kong. Entah dia sempat dengar ke tak ayat jiwang aku last sekali tu. Aiseh. Potong stim betul.

Malam yang dingin dengan hujan yang tak berhenti-henti turun, buat aku makin menggigil. Darah di kepala pun dah berhenti. Dah beku agaknya.

Lapan jam berlalu. Lapan jam jugalah aku tidak merokok. Tak pernah dalam hidup aku, tolak bulan Ramadhan, aku tak merokok dalam tempoh lebih dua jam. Sejak aku tingkatan satu lagi, aku dah merokok. Dah sebati. Kalau tak merokok, gelisah tak tentu pasal. Tambah-tambah lepas makan, loya tekak kalau tak berasap mulut. Dah banyak kali aku bergaduh dengan guru disiplin, siap tumbuk terajang gara-gara rokok. Tak boleh, rokok dan aku tak mampu dipisahkan. Datanglah seribu hujah sekalipun, aku takkan baca. Tak nak dengar. Macam mana aku nak dengar, aku tengok ramai ustaz, budak-budak belajar agama pun merokok?

Dah lepas lapan jam. Terlintas di fikiranku,

“Eh, boleh pula aku tahan? Biasa tak boleh.”

Pokok yang ku panjat ini makin senget. Habislah. Aku turun sedikit dari pokok, meraih air basahi anggota wudukku. Aku nak solat. Mungkin solatku yang terakhir.

Terlintas lagi di fikiranku,

“Kalau aku masih merokok atau sedang merokok, atau baru lepas merokok, adakah Allah akan mustajabkan doaku dalam keadaan mulutku yang berbau busuk? Dalam keadaan aku reda diri aku hisap benda haram, benda yang ulama marah?

Sedangkan ulama itu pewaris Nabi. Maksudnya, aku melawan sunnah Nabi s.a.w.. Lawan ajaran Nabi s.a.w.. Lebih teruk, lawan agama Islam. Ya Allah. Sekarang baru aku nampak dengan jelas susunannya!”

Ketika sedang solat, air mata lelaki ini berguguran jatuh bersama deraian air hujan yang enggan berhenti. Aku khilaf pada Allah.

“Ya Allah, terimalah taubatku. Tolong jagakan ibu dan ayahku. Janganlah kerana dosaku, mereka terheret bersamaku.”

Usai solat dalam keadaan berdiri, berpaut pada dahan, aku menyedari air sudah semakin tinggi. Kaki yang tadi tidak tersentuh air, kini sudah tenggelamkan lututku.
Aku kini pasrah sepenuh hati. Aku tak mampu mengharungi air deras yang makin lama makin berombak kencang. Pokok ini makin senget ke dalam air. Tanganku tetap berpaut ketat pada ranting dan dahan yang masih ada.

***

48 jam telah berlalu. Sudah 48 jam aku bertahan, air di paras leher. Lemah tidak berdaya. Suara pun dah tak keluar. Sudah banyak mana air banjir tersimbah ke dalam mulut. Menjerit minta tolong pun tak guna. Badanku sudah lemah, mungkin kerana darah dari kepala yang keluar sedikit demi sedikit mengalir tanpa ku sedar.

Pokok tempat berpaut selama dua hari ini ku lepaskan.

Mata sudah terpejam. Tak larat lagi. Dah tak kuat lagi. Berserah sepenuhnya nyawa ini pada Allah. Dalam fikiranku terimbas imej bakal isteriku. Yang kali terakhirku ingat, ku tinggalkan menangis sendirian. Ku masih ingat jelas kata-katanya,

“Abang sanggup tinggalkan sayang demi rokok. Adakah agama Allah ini, abang sanggup juga tinggalkan demi benda tu? Jawab abang, jawab!”

Aku tak dapat jawab. Saat ini, hatiku mengenal erti 150 juta kali penyesalan. Barulah ku mengerti, hati ini cuma terisi, bila ku gantikan dengan cinta yang paling tinggi. Cintakan Ilahi.

Namun, sudah terlambat.

Tenggelam. Hanyut.

***

“Abah nikahkan kamu dengan anak abah, hari ini juga. Anak abah dah menangis tak tentu arah. Macam dah hilang suami. Merayu-rayu abah nikahkan kamu berdua secepat mungkin.”

Aku membuka sedikit mata. Terlantar di katil hospital.

“Abah terharu dengar masa kau tak sedarkan diri, kau asyik sebut, ‘Abah, maafkan saya, maafkan saya, saya janji tak merokok lagi.’”

Aku pun tak sedar aku sebut benda tu. Aku langsung tak sangka pun aku masih hidup. Tak tahu pun siapa yang selamatkan aku. Kuasa Allah. Syukur Ya Allah! Alhamdulillah aku masih hidup! Yahoo!

Aku perhatikan sekeliling. Semua dah ada. Orang tua aku, famili dia. Pak imam pun dah ada. Wartawan pun ada. Dah viral ke kes aku ni?

Di katil wad ini, abahnya sendiri yang raih tangan aku dan sekali lafaz saja, aku dah sah jadi suami!

Aku berpaling ke arah wajah gadis yang kini dah sah jadi isteriku. Kegembiraan terpancar di wajahnya.

“Sayang nak hantaran apa?”

Isteriku segera membalas.

“Hantarannya, buang rokok selama-lamanya, boleh?”

Aku senyum.

“Kalau tak nak?”

Isteriku menarik tanganku dari katil.

“Kalau tak nak juga, sayang sendiri yang akan humbankan abang balik dalam air banjir! Mari cepat!”

Aku melompat dari katil dengan segera bila disebut air banjir,

“Sumpah, abang tak nak merokok lagi!”

Semua orang di situ tergelak tengok telatah kami. Masa aku terlompat tu, wartawan pakat ambil gambar. Masuk muka depan. Habis macho aku. Baru aku perasan, kepala aku dah botak dicukur sebab nak jahit luka.

Botak pun botaklah janji dapat nikah. Tersenyum sendiri.

Teehee.

17 December 2014

28 Cerpen: Aku Tak Lawa



Cerpen: Aku Tak Lawa
Karya Original : Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )



“Kalau kau tak suka aku, tak mengapa. Ingat aku buruk sangat ke nak dapat lelaki yang jauh lebih baik dan handsome daripada kau?!”

Jerit Natasya sehingga mengakibatkan semua orang di cafe berpaling ke arahnya. Tudung yang ditiup angin dipegang kuat agar auratnya tidak terdedah, seperti terdedahnya perangai buruk lelaki dihadapannya.

Dia melangkah laju keluar dari café. Don’t worry. Duit makan dan minum tadi dah letak siap-siap atas meja. Kalau tak cukup, tambah sendirilah. Kata gaji banyak sangat.

Manalah gadis tu tak bengang. Dari awal pagi lagi dia dah bersiap, ambil cuti bagai. Bila sampai saja, kena kutuk semahunya oleh lelaki tu. Memanglah lelaki tu kacak bergaya, tapi perlu ke dia nak kritik dari atas sampai bawah penampilannya?

“Awak nampak lain. Dalam Instagram, cerah. Dekat luar ni, sebaliknya pula. Maaflah, saya jumpa awak ni sengaja nak tahu awak ni macam mana orangnya. Kalau dalam alam maya pun dah tak jujur, di realiti lagilah kan? Saya tak suka orang yang fake.”

Itulah kata-kata yang telah mengundang kemarahan dirinya. Siapa tak pernah edit gambar? Siapa yang tak pernah cerahkan tona warna kulit di media sosial? Cuba cakap, siapa? Siapa yang betul-betul tulen ada di alam maya? Bukankah semuanya memang menipu sesama sendiri. Tak perlulah sampai nak nilai orang begitu dan begini. Ingat diri tu suci sangat?

Masuk dalam kereta Viva kepunyaannya. Bayar tak habis lagi. Baru tiga tahun beli. Ada lagi baki enam tahun loan. Itulah jasa dari kerja di stesen minyak. Awal-awal dulu, kerja jurupam. Tapi, kerja itu dah dimansuhkan. Jadi, kerjanya sekarang menyeluruh. Kadang-kadang jaga kaunter, kadang-kadang bersihkan kawasan stesen minyak. Kadang-kadang, jurupam kereta orang-orang tua yang tak larat nak isi sendiri. Kadang-kadang, tolong bersihkan cermin kereta pelanggan. Tak ramai pun pekerja di stesen tu, adalah dalam empat, lima orang termasuk tiga Nepal. Warga asing tu kerjanya cuci tandas dan jurupam. Tapi, tak selalu pun. Kerja tak banyak, cuma kena banyak berdiri. Pendapatan sebulan kalau rajin termasuk overtime, bolehlah dalam RM1200.

Natijahnya, kulitnya semakin hari semakin gelap. Entahlah kerana kesan dari wap petrol atau terkena bahang mentari. Dia tak pasti. Yang pasti, dia dengan pekerja Nepal tu dah tak ada beza. Sampai pekerja asing tu pun tak berminat dengannya. Minat dengan pelanggan yang berkulit putih. Ingatkan Nepal ni pilih yang sama warna, rupanya sama saja dengan lelaki lain. Asal dahi licin, nak. Asal cun, nak ngurat. Padahal lidah berbelit-belit nak cakap Melayu. Beza sikit saja dengan lelaki Melayu mereka ni. Lelaki Melayu malas pergi solat hatta solat Jumaat. Tapi, mereka ni rajin ke surau. Yang itu bolehlah dipuji. Dari segi yang lain, sama hampeh.

“Eh, kata cuti hari ni?”

Membernya di kaunter hairan.

“Tak jadi. Sebab hari ni diramalkan gempa bumi akan berlaku tiba-tiba. Sebab tu, aku masuk kerja balik supaya gaji aku sempat diselamatkan. Koh koh koh.”

Natasya gelak terbatuk-batuk sendiri. Sebenarnya, dia terpengaruh dengan cara gelak ‘abang bikai’ di Facebook. Mamat tu memang bangang, poyo lagi tak guna. Tapi, zuhud orangnya. Natasya menyarung vest company. Malas pula dia nak tukar tudung shawl yang dia dah belajar lilit sepanjang malam tadi di Youtube. Sia-sia saja.

Seketika, masuk sebuah lori sampah ke stesen.

“Isi penuh. Macam biasa, bayaran pun macam biasa masuk akaun majlis bandaran.”

Pemandu lori sampah itu ke kaunter dan turunkan cop dan tandatangan. Prosedur biasa. Natasya terus ke lori sampah, buka penutup dan tekan nozzle. Tunggu sampai penuh.

“Lawa-lawa hari ini, dari mana ni? Nak pergi kenduri ke?”

Pemandu lori yang dalam lingkungan 27 atau 28 tahun itu menyapa. Memang dia macam tu.

“Kenapa, tak boleh ke saya pakai macam ni? Kena pakai tudung warna sama macam warna signboard stesen ke apa?”

Tinggi sedikit nadanya. Pemandu itu senyum. Membetulkan topi di kepalanya.

“Amboih marahnya dia. Janganlah, orang tanya je pun. Marah-marah nanti, kahwin dengan abang habislah. Mula-mula benci, lama-lama sayang. Bukan abang cakap tahu, orang-orang tua yang cakap. He he.”

Natasya mata ke atas. Meluat.

“Dah. Buat sendirilah benda ni.”

Terus gadis itu berlalu dari situ meninggalkan abang driver tercengang-cengang sendirian. Jejaka itu fikir, mungkin moodnya tak begitu baik hari itu. Biasanya, gadis itu tak kisah dia nak melawak atau berseloroh.

***

Malam minggu. Natasya tak kerja malam itu. Dia dah kerja sepanjang siang tadi. Malam boleh rehat. Kawannya call, ajak keluar. Suruh pakai baju kurung pula tu.

“Nak pergi mana?”

“Nak pergi majlis cinta Rasul.”

“Tak naklah. Aku penat.”

“Jomlah. Aku nak tengok jubah-jubah yang jual di situ je pun. Shawl pun banyak. Murah-murah, beb.”

Shawl? Okay. Natasya terus setuju. Dia memang sedang berjinak-jinak dengan shawl halfmoon. Nampak kena dengan mukanya. Excited.

Tak sampai setengah jam, dah sampai. Lepas Isyak, semua orang sedang berselawat ramai-ramai. Dua gadis itu pula sibuk mencuci mata di gerai pakaian. Rambang mata. Kalau dah namanya perempuan.

Penat round merata gerai, mereka duduk seketika sambil minum-minum.

Telinga Natasya cuba menangkap bait-bait kata penceramah yang sedang berucap di majlis itu.

“Sebenarnya, kita semua sedang menipu diri sendiri. Saya menipu, yang hadir ini juga semuanya sedang menipu.”

Majlis gamat seketika. Penceramah itu menyambung kata,

“Sabar dulu. Maksud saya, di bibir kita lafazkan selawat pada Rasulullah s.a.w.. Tapi dalam masa yang sama, kita balik rumah malam ini, kita sambung perilaku yang sama. Kita sambung berbuat dosa. Kita sambung kegiatan maksiat kita.

Mulut kata cintakan Rasulullah s.a.w. tapi perbuatan kita seakan-akan menidakkan dengan keras kata-kata yang terlafaz.

Manis cuma di bibir. Di perbuatan, pahit kelat. Tak seiring, luaran berpakaian busana Muslim dan Muslimah. Tapi, perbuatan kita tidak semenggah pakaian.
Bukankah kita sedang menipu diri sendiri? Andai cinta Nabi s.a.w., cintailah dengan sepenuh hati. Segala sunnahnya kita turuti dan larangannya kita tinggalkan.

Tanya diri sendiri,

‘Di mana aku letakkan cinta pada Nabi dalam hati sendiri?’

Sepatutnya, cinta Allah dan Rasulullah s.a.w. diletakkan dalam sudut yang paling dalam. Cinta pada yang lain-lain hanya diletakkan di lingkaran luar hati yang paling nipis.

Saya berikan contoh.

Awak cintakan seseorang, isteri atau suami. Awak letakkan orang yang awak paling sayang ini di dalam lubuk hati terdalam. Apa akan jadi bila orang yang kita sayang ini berpaling arah, mengkhianati kita? Sudah pasti hati itu hancur lebur. Awak down serta-merta. Sebab lubuk hati itulah akar jiwa. Bila akarnya sudah diracun, seluruhnya akan mati perlahan-lahan. Jiwa awak akan mati. Semangat awak akan mati.

Tapi, bayangkan andai di dalam lubuk hati itu adalah Allah dan Rasulullah s.a.w.? Andai awak kehilangan segala-galanya di dunia sekalipun, jiwa awak tetap utuh, keimanan awak tetap teguh. Kerana awak percaya, Allah dah tetapkan segalanya berhikmah. Ada hadiah di sebalik ujian.

Bila awak percayakan segala kata-kata Rasulullah s.a.w. sepenuh hati pula, awak akan dapati kata-kata Baginda akan membawa kepada ketenangan jiwa menempuh jalan berliku di dunia.

Orang yang betul-betul cintai Nabi, kesabarannya akan berada di tahap tinggi. Sedangkan mereka yang sebaliknya, akan cepat amarah dan salah-menyalahkan.”

Natasya tersentak seketika. Diteropong ke dasar jiwanya sendiri. Serta-merta, air matanya mahu mengalir. Menitis di hadapan kawannya. Kawannya sedikit terkejut.

“Kau dah kenapa?”

Natasya sedikit sebak. Cuba senyum dengan air matanya yang masih mengalir.

“Kata-kata penceramah itu menusuk hati aku ni.”

Kawannya tersenyum sama.

“Dia bukan penceramahlah. Aku kenal orang tu. Dia pengerusi gantian malam ni. Dialah yang tolong pasangkan pentas tu dengan kawan-kawannya.”

“Macam mana kau boleh kenal?”

Kawannya tergelak.

“Dua pupu akulah.”

Natasya mengangguk-angguk. Tak kisahlah siapa. Janji, kata-katanya itu memberi kesan padanya.

***
Semua orang beransur pulang. Majlis dah tamat.

Dua gadis itu pun sama. Tiba-tiba, ada orang seru nama kawan Natasya dari arah belakang.

“Dah nak balik?”

Seorang jejaka berjubah dan berserban datang dekat. Nampak macam macho jugalah. Tak berkelip seketika Natasya perhati. Macam Pencetus Ummah. Kawannya pun perkenalkan, itulah dua pupunya yang berucap seketika tadi.

“Eh, macam kenal saja.”

Natasya berkerut kening.

“Lah, kenapa pula tak kenal. Awak yang marah-marah di stesen minyak hari itu, kan?”

Baru Natasya perasan. Abang pemandu lori sampah rupa-rupanya. Kawan Natasya tergelak sendiri.

“La, dah sama-sama kenal rupanya. Buat letih saja aku kenalkan.”

Abang driver tu tanya spontan dua pupunya,

“Ni kawan kau ni single lagi ke ni?”

Kawan Natasya tu cepat-cepat angguk.

“Single dan tulusly mencari. Hi hi.”

Natasya tersengih-sengih, tersipu-sipu malu sambil mengetuk-ngetuk kepala kawannya. Kawannya mencubit-cubit tarik pipi Natasya. Natasya tarik-tarik hidung kawannya.

Abang driver menggaru-garu serbannya sampai senget.

“Udah-udah, minggu depan abang masuk minang awak. Boleh?”

Natasya tunduk. Senyum sendiri. Ketiga-tiga orang itu senyum. Hajat di hati nak cari shawl halfmoon, dapat benda lain pula. Allah bagi moon terus. Bulan cerah dalam hati Natasya.

Aturan Allah lebih indah dari aturan hati manusia.

***

Nikah sudah selesai.

Dah 6 bulan berlalu.

“Kenapa abang pilih Tasya? Abang ada rupa, kacak pula tu. Rupa Tasya sudahlah hitam legam. Tak lawa pun. Tengok gambar-gambar kahwin semua nampak sangat mekap. Tak berjaya juga cover kehitaman tu. Tak dapat banggakan abang depan famili dan kawan-kawan abang. Kalau upload ke Instagram pun buat malu abang saja. Sebab tu, tak upload langsung pun gambar nikah kita.”

Suaminya itu tersenyum. Sambil duduk di buaian. Isterinya berada di buaian sebelahnya. Mereka sedang berperasan mereka masih kanak-kanak, main buaian di playground.

“Elok juga tak upload. Kurang sikit dosa tayang bini. He he. Rupa tak penting. Yang penting, Tasya jujur. Pandai jaga hati abang. Rajin. Tak malu pun kerja di stesen minyak. Gadis yang ada ijazah, ada kelulusan tinggi, mana ada nak kerja di tempat tu. Tapi, Tasya walaupun ada ijazah, tak memilih kerja.

Tasya pun tak kisah siapa abang. Abang kerja bawa lori sampah saja. Tak ada gadis yang sudi dengan abang. Balik rumah bau badan busuk. Kerja tak ada standard. Tapi, mereka tak tahu, kalau sampah-sampah tidak dibawa ke tempat pelupusan, hari ini sudah pasti semua orang berada dalam persekitaran yang busuk dan berpenyakit.

Sebenarnya, cantik atau tidak seseorang perempuan itu adalah pada pandangan suami dan keluarganya. Tak penting pun pandangan orang lain. Andai suami itu berjaya didik dengan baik, tak cantik pada pandangan orang lain itulah yang akan jadi cantik jelita di dalam Syurga kelak.

Malahan, dialah yang jadi ketua bidadari.

Buat apa cantik depan orang lain, tapi di akhirat dialah yang paling buruk wajahnya. Cantik itu penting. Tetapi, yang lebih penting, siapa yang bertakhta di dasar hatimu yang paling dalam.”

"Orang yang terlalu pentingkan rupa, sehingga tak pentingkan rupa imannya, di Mahsyar kelak, bimbang termasuk dalam kalangan orang-orang yang berjalan dengan mukanya di atas tanah. Boleh bayang tak betapa azabnya jalan dengan muka?"

Natasya tersengih mendengar jawapan suaminya. Walaupun suaminya itu kerjanya macam tu, tak pernah sekalipun dia buat perbandingan dengan suami orang lain yang kerja lagi best gajinya.

Itulah suami yang Allah pilihkan untuknya. Dia percaya, dialah isteri yang Allah pilihkan untuk suaminya. Lengkap-melengkapi. Kurangkan mengeluh, yang lebih penting adalah mensyukuri.

Hidup di dunia ini singkat. Nikmati sambil bersyukur. Makin syukur, makin Allah tambahkan bahagia di hati. Sampai sekarang, dia masih ingat kata-kata penceramah hensem,

“Allah dan Nabi letaknya di hati. Bukan sekadar di bibir.”

Penceramah itu kini suaminya. Koh koh koh.

“Nah, hadiah dari abang. Tudung shawl halfmoon limited edition. Hadiah sebab berjaya. Tahniah.”

Gadis itu happy bukan main lagi. Dia dah berjaya sabar lalui proses transformasi diri. Selepas nikah, suaminya dah jaganya dengan serapi mungkin. Belikan supplements, krim untuk jadi cantik. Sekarang, isterinya itu dah jelita mengalahkan model-model tempatan. Betullah tu, cantik isteri hanya untuk suami.

Suami nak isteri cantik, suamilah yang bertanggungjawab transformasikan. Bila dah ada suamilah sepatutnya lebih terjaga, lebih cantik rupanya sebab ada yang menjaga.

Bukan saja rupa, akhlak dan sikap, iman dan agama, suamilah yang bertanggungjawab pandu ke arah lebih baik. Isteri adalah cerminan suami.

Indah isteri, dari indahnya suami.

Setia isteri, dari setianya suami.

KETINGG! BUKK!

Buaian suaminya tercabut. Kelam-kabut si suami cuba sambungkan balik. Natasya pun terpele’ot.

“Alamak, alamak, tak dapat sambung. Nanti abang bayar kat majlis bandaran je. Hu Hu. Jom kita cabut dengan segera sebelum orang nampak.”

Suami menarik tangan isterinya lari terkedek-kedek. Berdesup lari buat muka Mat Yo tak salah.

Koh koh koh.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...