Blog Selamat Tinggal

01 October 2014

45 Cerpen: Cinta Bukan Milik Kita ( cerita penuh )


CINTA BUKAN MILIK KITA

karya original : Muhammad Rusydi ( Rusydee Artz )


Sudah enam bulan berlalu.

Tak pernah ku duga.

Dia berdiri di hadapan mataku. Selama ini, dia cuma muncul di alam mimpi. Tapi, hari ini tidak lagi. Sedang menantiku di parkir tempatku bekerja. Aku baru saja habis lunch. Usai solat Zohor. Menerima sms ringkas darinya. Dah berbulan lamanya tidak ada sebarang khabar berita. Tiba-tiba, hari ini menjelma dengan tuannya sekali.

Katanya sudah di tempat kerjaku. Nak jumpa. Penting.

Aku sedikit gelisah. Namun, ku hayunkan jua langkahku mendekatinya. Hati sedikit berdebar. Belum sempat ku sapanya, ku lihat ada manik-manik air mata telah menitis di pipinya.

"Bawa aku lari...tolong... Kita nikah!"

Suaranya serak menahan sebak. Namun, mesejnya jelas.

Tergamam seketika. Aku terus mengajaknya masuk ke dalam kereta. Mesej bos, keluar seketika ada emergency. Ku hidupkan enjin kereta. Terus meluncur ke jalanan. Entah ke mana arah hendak dituju. Aku sendiri pun tak pasti.

Yang berada di sebelahku ini, statusnya bukan bujang. Tapi, isteri orang. Ya, bini orang. Milik orang lain. Ada suami. Dah kahwin. Makna yang sama. Wanita ini, yang dulunya pernah menjadi teman wanitaku. Aku teman lelaki terakhirnya sebelum dia bernikah.

Kenapa bukan aku yang jadi suaminya? Kenapa lelaki lain?

Alasan paling konkrit manusia selalu sebut. 'Bukan jodoh. Tak ada jodoh.' Namun, cerita di sebaliknya, cinta kami terhalang oleh keluarga. Bukan kerana aku tak baik. Bukan kerana dia tak baik. Tapi, kerana keluarganya merasakan ada yang lebih baik untuk anak mereka. Jika aku berada di tempat ibu dan bapanya sekalipun, pasti enggan melepaskan anak sendiri nikah dengan lelaki yang tiada jaminan hidup.

Aku hanya pekerja kontrak. Senang cerita, tidak berjawatan tetap. Betapa besarnya erti jawatan tetap dan berpencen pada mata ibu bapa zaman sekarang. Dulu pun. Jawatan tetap tu bukan tak mampu dapat, tapi perlukan lagi beberapa tahun. Makan masa sikit. Bukan tidak ada gaji. Tapi, gajiku tidaklah setaraf orang lain. Gaji yang cukup makan untuk orang bujang saja. Untuk hidup berkeluarga, tidak sesuai. Bagi aku, ada tapak untuk kerja itupun sudah cukup bersyukur.

Takdir menemukanku dengan gadis ini. Ku sangkakan dia orang biasa sepertiku. Tapi, saat pertama kali ke rumahnya untuk bertemu orang tuanya, terkejut. Pagar rumah saja sudah melepasi kepalaku. Apatah lagi rumahnya yang seperti mahligai. Malahan, baru ku tahu dia anak tunggal perempuan. Darjat kami berbeza. Cara hidup berlainan. Status ibu bapaku dan ibu bapanya juga macam bumi dan langit. Ibu bapaku cuma orang kampung. Ibu bapanya kerja kerajaan, bergaji besar.

Pada mulanya, semua baik. Direstui keluarganya. Lalu, aku meminta tempoh. Supaya aku dapat bersedia, kumpul duit nikah. Malahan, ibu bapaku merasa tebal muka untuk bertandang ke rumah pihak perempuan dalam keadaan aku tidak bersedia dari segi kewangan. Masakan mahu meminang anak dara orang dengan tangan kosong. Biasalah. Ibu bapa mana yang tidak mementingkan maruah. Semua orang fikir tentang maruah keluarga. Air muka yang perlu dijaga. Kaya dan miskin, sama saja.

Masa berlalu. Berbulan-bulan. Namun, tabunganku tetap juga tidak banyak. Hingga aku mula mengambil langkah berkira-kira untuk buat personal loan. Keluarganya mula mendesak, agar dihantar rombongan dengan segera. Kata mereka, ramai yang nak masuk meminang anak mereka. Aku mulai rasa tekanan yang hebat. Mana mahu cekup duit beribu-ribu dalam masa singkat? Hingga saatnya aku betul-betul down. Akhirnya, buntu jalan.

Tapi, apakan daya. Tuhan penentu segalanya.

Di saat aku kebuntuan, aku dikejutkan dengan berita yang memeritkan hati. Orang yang aku sayang ditunangkan dengan lelaki lain! Tanpa dimaklum sedikit pun padaku. Aku tahu-tahu, semua dah selesai. Aku tanya si dia, kenapa terima? Dia kata kerana aku lambat, banyak sangat alasan nak bawa rombongan datang segera. Mak ayah dia dah bising. Dia tertekan sama.

Kemuncaknya, mak dia sendiri contact. Marah aku. Jangan hubungi lagi anaknya. Kata bondanya, dah beri sejuta peluang, aku yang sia-siakan. Aku dan keluargaku yang salah. Semua kesalahan dicampakkan ke mukaku. Semua penyesalan dilontarkan kepadaku.

Akhirnya aku meniti hari-hari penuh luka hinggalah dia bernikah. Bukan orang lain, dengan saudara-maranya sendiri. Hancur hatiku.

Segala kenangan silam. Bagaikan baru berlaku semalam.

"Kau datang dengan apa ni?"

Aku memulakan perbualan.

"Naik teksi."

Huh. Dari KL ke Perak. Bukannya dekat.

"Apa dah jadi sebenarnya?"

Dia menangis-nangis.

"Aku tak boleh hidup dengan suami. Aku tak boleh! Aku dah cuba banyak kali, tapi hati ini. Hati ini sikit pun tak berjaya menyintai. Dari bulan pertama, sampailah semalam. Aku gaduh besar semalam. Dia marah aku. Dia marah sebab tak rasa pun aku cinta dia. Dah memang tak cinta, memanglah tak rasa. Aku tak mampu nak berpura-pura lagi. Tak boleh!

Aku boleh sayang dia sebagai suami, tapi tak boleh cinta. Sebab, cinta aku hanya untuk kau!"

Dia menoleh ke arahku. Dengan hamburan air mata.

Bagai tercabut jantungku. Dah lama tidak ku dengar ungkapan keramat tu. Dalam hati bercampur baur. Antara gembira dan sedih. Antara terluka dan teruja.

Ku pecut kereta. Entah destinasi ke mana. Dah pun keluar dari daerah tempat ku kerja. Fikiran tidak keruan seketika.

"Tapi, kau lupakah, kau sendiri yang terima risikan keluarganya? Lupakah, kau sendiri yang mengiyakan proses pertunangan? Lupakah, kau mengizinkan dan menerima sehingga hari akad nikah?

Kau lupakah, aku yang ketika itu sedang berusaha sedaya upaya untuk cari duit nikah kita, tapi terima perkhabaran kau sudah dipinang orang, sampai pergi melutut depan kau. Suruh terima aku kembali?

Kau lupakah, sedikit pun tidak kau bersungguh untuk fight back demi cinta kita? Padahal keputusan di tangan kau ketika itu. Kau yang nak kahwin, bukan keluarga kau!

Kau lupakah, aku yang dimarah dan dihina oleh keluarga kau sebab terhegeh-hegeh nak kau balik?!

Memang aku ada buat salah sampai kau berubah hati, tapi besar sangatkah salah tu sampai nak hukum aku seberat-beratnya? Hukum dengan penyesalan seumur hidup? Hukum dengan perpisahan selama-lamanya antara kita?"

Ah. Teruk. Aku berkata-kata spontan penuh emosi. Air mata mengalir sendiri. Sudah terlalu lama ianya membekam di hati. Marah dan geram bercampur baur.

Aku memberhentikan kereta di tepi jalan. Berhampiran dengan taman tasik. Tak dapat drive. Mata dah kabur diselangi air mata yang bergenang.

Aku dan dia sama-sama menangis.

Aku keluar dari kereta. Berjalan ke arah tasik. Dia menuruti langkahku. Bila betul-betul depan tasik, aku berhenti.

"Aku hantarkan kau balik ke rumah suami kau."

Dia menggelengkan kepalanya.

"Tak nak! Aku tak nak balik! Nak hidup dengan kau!"

Dia mencapai tanganku. Aku tergamam. Perlahan-lahan, ku tarik lembut tanganku dari genggamannya.

"Kisah kita..dah berakhir…"

Dia tersentak.

“Kau dah ada perempuan lain?!”

Aku menggeleng.

"Di saat kau terima pinangannya dulu, kau dah campak aku jauh-jauh dari hidup kau sampai bila-bila. Kau tahu tak, betapa sukarnya aku kena survive di kala kau berbahagia dengan hidup baru?

Di saat kau bergembira buat persiapan nikah, pilih baju nikah, tempah itu dan ini, aku pula melawan hati rabak sendirian. Selama tiga bulan, tiada satu hari pun berlalu tanpa air mata.

Aku cuba bangkit kembali, tapi demi Allah aku tidak kuat. Tapi kerana Allah, aku harus kuat. Apa yang aku buat, aku cari Dia. Selama kita bersama, aku alpa. Aku jauh dari Dia. Akhirnya, air mata ini tumpah jua di sejadah. Tak mampu tuturkan sepatah perkataan pun waktu berdoa. Sedih terlampau."

Dalam hati mengakui, andai Tuhan tiada di sisi, aku dah lama mati. Andai ku gadaikan agama ini, sudah lama iman ini mati. Pasti sudah lama aku bunuh diri. Kerana kecundang patah hati!

Tuhan mengambil sesuatu yang aku sayang, kerana Dia lebih tahu cerita masa depan. Dia lebih tahu, apa yang diriku tidak tahu. Dia cuba meluruskan diri ini kembali.

Ku lihat dirinya menangis dan menangis.

Tak lama di tasik, aku mengajaknya ke suatu tempat. Drive kembali dalam keadaan dirinya sugul dan isak tangis belum ada tanda mahu berhenti.

Sampai di satu perumahan. Berhenti betul-betul dalam pagar sebuah rumah kecil.

"Ni, rumah yang aku beli. Buat pinjaman bank. Yang aku cari untuk kita hidup bersama dulu."

Dia sedikit terkejut. Aku keluar dari kereta. Dia menurutiku. Ku buka pintu rumah yang berkunci. Biarkan saja ia terbuka.

“Jangan risau, aku tak masuk sama. Kau masuklah. Tengoklah sendiri. Aku tunggu di luar.”

Dia masuk rumahku itu dengan berhati-hati. Langkah saja, sudah terlihat namaku dan namanya disatukan dalam frame yang tergantung di ruang tamu. Hadiah-hadiah yang diberikannya dulu, kemas tersimpan di meja ruang tamu.

Melangkah ke bilik tidur. Di situ, telah siap katil pengantin. Tidak terusik. Namun, nampak seperti dikemaskan setiap hari. Memang aku kemaskan bila ada masa. Di dinding pula, tergantung sepasang baju tunang yang aku siapkan untuk diriku. Tidak ku pakai. Di meja sebelah katil, ada sebuah diari. Yang aku tuliskan untuknya selama aku bersamanya.

Dia membeleknya. Helaian demi helaian. Air matanya gugur lagi. Tak sangka. Setiap apa yang dia sebut, aku catatkan. Setiap bait katanya dulu, aku titipkan semula ke dalam diari. Setiap harapan, setiap impian, setiap mesej hatta perbualan dalam Whatsapp aku salinkan ke dalam diari. Sungguh. Diari itu adalah tempat aku curahkan segala perasaanku kepadanya. Cuma, tiada berkesempatan untuk diserahkan pada tuannya. Akhirnya, diari itu usang.

Di belakang kulit diari, ada sepasang cincin tersemat. Cincin murah saja. Untuk pertunangan kami kononnya dulu.

Dia berlari keluar ke arahku. Dengan titisan air mata di pipinya. Nampak seperti ingin memelukku. Lantas ku meminggir sedikit. Mengelak. Enggan.

“Aku minta maaf. Hanya rumah kecil ini yang aku mampu sediakan untuk kau dulu. Ini pun, tak lama lagi akan aku biarkan saja dilelong bank. Sebab, bila diingat dan dikenang, semua ni buat aku sedih.

Mari, aku hantarkan kau balik.”

Aku mengunci pintu rumah, berjalan semula ke kereta. Namun, ditahannya aku dari masuk kereta.

“Kau dengarlah dulu penjelasan aku. Please!”

Aku diam. Berpeluk tubuh.

Dalam hati, rapuh.

Aku lihat dia bersungguh-sungguh. Aku lihat dia masih cantik seperti dulu. Sayang, bukan milik aku.

“Siapa kata nikah kerana suruhan keluarga, aturan famili ni boleh bahagia? Mungkin ada yang bahagia, tapi tak semua! Ada saja yang tak bahagia.

Aku antaranya. Aku mangsanya!

Orang kata, nikah kerana taat kepada ibu bapa ni dapat restu keluarga. Berkat. Restu, restu dan restu. Itulah yang orang pandai cakap.

Tapi, hati ni. Hati ni tak restu dan tak reda pun! Kau faham tak?!

Meski jasad aku ini milik suami, sah milik dia, tapi hati aku bukan padanya. Pada kau!

Sekarang, aku tak nak dengar lagi tentang restu keluarga bagai semua tu. Tak nak! Aku dah lama bosan dengar semua tu. Memang, masa aku terima dia tu, aku pertimbangkan maruah keluarga. Aku pertimbangkan air muka orang tua aku dan orang tua suami aku. Aku tak nak malukan mereka. Aku takut. Aku takut!

Kau tolonglah faham. Aku cuma seorang perempuan yang lemah. Tanpa daya upaya untuk melawan kehendak orang tua!”

Aku terdiam lama.

Angin petang bertiup menerbangkan ekor-ekor rambutku. Lantas ku balas ringkas,

“Apa beza malu ketika itu dan malu ketika ini? Kalau kau lari kepada aku, lari dari suami kau, lari dari keluarga kau dan mentua kau…bukankah itu semua melibatkan maruah semua orang? Malah, sudah pasti, hubungan kau dan aku seandainya mahu disambung semula pun tidak akan direstui keluarga kau.”

Dia tertunduk. Hilang hujah.

“Kau nak jadikan aku watak antagonis lagi? Seperti dulu? Aku jadi watak jahat, watak ketiga yang hadir di antara kau dan tunang kau ketika itu?”

Dia tak dapat jawab. Menangis. Diam.

“Pulanglah padanya..”

Kali ni nada suaraku mulai mengendur. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku turutkan kehendaknya, larikan saja. Namun, suara imanku masih mahu bersuara.

“Mungkin hari ini kau tak cinta suami kau. Doalah. Moga suatu hari, mungkin setahun dua lagi, kau akan terasa cinta pada suami kau. Kau belum dapat baby, kau masih terasa bujang. Kau masih tak terasa hidup berkeluarga secara sempurna.

Nanti bila kau dah hamil, kau akan nampak pengorbanan dan kebaikan hati suami kau. Dia ada segalanya yang kau mahu dulu. Dia ada rupa, harta, darjat dan status. Kerjaya yang lumayan. Dialah yang jadi menantu kesayangan parents kau. Hanya dia. Dialah yang famili kau galaskan seluruh kepercayaan untuk jaga anak mereka.

Mereka tahu mereka takkan hidup lama. Ya, mak dan ayah kau. Mereka dah tua. Sekeras apa pun mereka, mereka tetap akan pergi jua suatu hari nanti. Mereka tahu mereka tak berdaya jaga kau selama-lamanya, sebab itu mereka nak orang yang boleh jaga anak mereka sama seperti jagaan mereka. Mereka letak harapan tinggi pada suami kau. Untuk jaga dan sayang kau sepenuh hati.

Bukankah itu yang suami kau tengah buat?

Hidup ini. Perlukan pengorbanan. Waktu sebelum kau kahwin, kau dah korbankan aku dan cinta kita. Sekarang, sekali lagi kau kena korbankan cinta kau pada aku. Aku juga begitu.

Berkorbanlah untuk suami dan keluarga kau.

Hidup ni terlalu singkat untuk menikmati. Lepaskanlah aku dari hati kau. Letakkan Tuhan dalam hati. Andai kau tak mampu menyintai sekalipun, lakukanlah kerana Dia. Berkat datangnya dari keikhlasan pada Allah. Restu itu dari Ilahi.

Bukannya keberkatan itu dengan taat membuta tuli pada arahan ibu bapa. Arahan ibu-bapa kadang-kadang tidak berlandaskan agama pun. Ikut emosi dan nafsu semata. Unsur paksa sepatutnya tiada pun dalam agama untuk sesuatu pernikahan. Namun, kau maafkanlah mereka. Mereka cuma nakkan yang terbaik.

Benda dah berlaku. Apa yang terjadi, biarkan terjadi.

Aku rela. Korbankanlah aku sekali lagi. Korbankan kasih aku untuk Allah.”

Lutut aku dah goyang. Jatuh terduduk depannya. Sukarnya meluahkan kata-kata yang aku sendiri pun tak suka. Tak rela. Air mata menitis laju membasahi pipi. Bodohnya aku. Dalam hati menjerit,

“Aku sayang kau sangat-sangat, bodoh!

Mungkin aku lelaki yang paling bongok dalam dunia ni, tapi part perasaan dekat kau, aku paling tulus!”

Saat yang sama hati mengakui,

"Mana bisa diikat kaca pada permata. Mana mungkin kasih berlantaikan hati kita..."

Dia menangis sama.

“Kalau aku ikut cakap kau, aku dapat apa?”

Aku cuba berdiri balik. Cuba ukir senyuman.

“Kau dapat masuk Syurga. Kaulah isteri solehah.

Suami kau bukan sezalim Firaun. Kau tak perlu jadi Asiah, tapi ambillah semangat Asiah untuk hidup bersama dengan suami. Setia sampai akhir bersama. Tidak pernah sekali pun dia tinggalkan Firaun. Itu suaminya. Seburuk-buruk manusia di muka bumi ini, tetaplah suaminya. Pernah dia merasa dan melalui saat-saat gembira bersama. Sekeras-keras Firaun, lembut hatinya untuk meraih Nabi Musa a.s. sebagai anak angkat yang sama-sama disayangi. Saat dipaku Firaun hingga ajalnya, adalah sebagai seorang isteri yang setia.

Ingat, sematkan dalam hati. Tiada lelaki yang lebih baik dari suami kau. Hatta aku pun tidak boleh jadi sebaik suami kau. Tiada lelaki lain. Tiada.”

Aku menyuruhnya masuk ke dalam kereta. Hari dah lewat. Aku harus lekas menghantarnya pulang. Perjalanan bukannya sejam dua.

Dalam kereta. Kami banyak berdiam diri. Masing-masing memendam rasa. Setengah jam sebelum sampai ke rumahnya, dia bertanyakanku.

“Cinta kita ini bagaimana?”

Aku cuba senyum lagi.

“Cinta ini bukan milik kita. Milik Dia. Hati itu pun sama. Milik Dia. Serahkan balik cinta itu pada Allah.

Cinta pada aku ni, kau masukkanlah dalam botol, tutup kemas-kemas, campak saja ke laut. Jangan berpaling lagi.”

Dia tanya lagi,

“Kalau aku sedih juga?”

Aku senyum lagi.

“Tak perlu bersedih lama. Cinta itu milik Allah. Allah lebih mengetahui segala. Perancangan Dia lebih dulu dari kita. Dia tahu bila dalam hati kau akan pudar rasa cinta. Dialah yang memudarkan rasa itu. Dia juga yang cambahkan rasa cinta kau pada suami kau nanti. Semuanya kerja Dia.

Hari ini mungkin kau berjalan dengan tidak cermat dan tidak berhati-hati. Kau tersilap langkah sehingga buat keputusan terburu-buru seperti hari ini. Hari ini dan esok, waspadalah jangan terpijak atau memijak onak dan duri. Jangan kau kutip lagi serpihan kaca. Buka mata, buka mata hati, guna iman dan takwa. Akhirnya, 'kan kau jumpakan permata.

Permata kau adalah suami kau. Serpihan kaca adalah aku.”

Sampai ke destinasi. Aku menurunkannya jauh sedikit dari rumahnya. Besar rumahnya. Tak seperti rumahku.

Dia berlalu meninggalkan aku. Ucap salam terakhir padaku. Mungkin, kami tidak akan bertemu lagi sampai bila-bila. Ah. Bagiku, perpisahan yang sebenar bukanlah ketika di dunia. Bukan ketika manusia itu mati. Bukan juga ketika manusia itu dihidupkan kembali. Tetapi, perpisahan sebenar ketika dua manusia yang menyintai itu berpisah ke dua cabang. Seorang ke Syurga, seorang ke Neraka. Itulah perpisahan yang paling menyayat hati.

Dalam hati bagai tertusuk sembilu. Pedih gila.

Berlagak cool di luar tidak mampu menyembunyikan rasa sakit dalam hati. Soalan terakhir sebelum dia keluar kereta tadi,

“Bagaimana kau boleh jadi sangat tabah? Tanpa aku?”

Aku cuma tersenyum. Tak jawab soalan tu. Tabah aku kerana Tuhan. Rebah aku kerana aku.

Ku pecutkan kereta merentas lebuhraya. Sudah malam. Air mata berderaian. Lepaskannya kerana terpaksa.

Air mata yang bertakung menyulitkan pandangan mataku. Dadaku terasa sakit.

Entah bila, keretaku tergelincir ke lorong yang salah. Melawan arus kenderaan bertali arus. Hon kuat dibunyikan. Bunyi brek tahap maksima. Ku lihat cahaya lampu tinggi dipancarkan ke keretaku.

Silau...

......

..

.


Suami dingin membisu.

Balik lewat pagi.

Bila ditanya kenapa, katanya ada banyak kerja. Meeting. Jumpa client situ sini. Ada banyak projek. Sibuk.

Sibuk, sibuk dan sibuk.

Selalu. Bukan hari ini. Sejak tiga bulan lalu. Sejak aku cuba lari dari rumah dulu. Sejak aku cuba lari kepada kekasih lamaku dulu. Namun, tidak kesampaian hajatku. Nyata, bekas kekasih tabah menghadapi hidup barunya. Tanpa aku.

Kekadang terasa sangsi. Benarkah kekasih lamaku itu menyintai diri ini? Namun, dari riak wajahnya, dari titisan air matanya yang ku saksikan sendiri dengan mata kepalaku, sudah cukup membuktikan keikhlasan hatinya. Mungkin selama ini, aku saja yang buta melihat ketulusan hatinya. Bukan mungkin, memang aku buta.

Tapi aku, kini isteri orang. Cubaan kembali kepada kekasih hati, hanya berjumpa dengan jalan mati. Aku kembali sebagai wanita bernama isteri. Kepada seorang suami.

Hari ini, aku tekad. Sudah bosan terasa disingkir, dielak dan disisih suami sendiri. Bukan sehari dua. Sudah tiga bulan. Tiga bulan bukan tempoh yang singkat. Kesabaranku pun ada hadnya!

Tekad untuk menyungkil jawapan. Kenapa dia dingin terlampau begini?

"Abang."

Pukul 2 pagi. Suamiku itu baru pulang dari kerja. Usai berpakaian lengkap pijama kebiasaannya. Baring di sebelah. Membelakangiku. Menyahut malas panggilanku.

"Ya. Apanya? Dah lewat ni. Esok abang nak bangun awal. Ada banyak kerja di pejabat."

Aku bangun bersandar di kepala katil.

"Tolonglah terus-terang pada saya. Kenapa abang buat endah tak endah saja pada isteri abang ni? Bukan semalam, bukan minggu lepas. Tapi, dah 3 bulan, bang. Tiga bulan. Saya tak kisah pun abang tak tunaikan nafkah saya, saya cuma nak tahu, apa sebabnya?!"

Suaraku sedikit meninggi.

Tiada respon.

Aku mencuba lagi mengulang soalan yang sama.

Kali ini, dia bangkit dari tempat tidur. Berdiri di hadapanku. Ku lihat mukanya sedikit bengis. Lantas membentak hebat.

"Awak tanya abang kenapa? Layak ke awak tanya abang soalan tu? Gaduh dengan suami, kemudian awak lari keluar rumah, cari pakwe lama, ingat abang tak tahu?!

Abang nampak dengan mata ni sendirilah, lelaki bangsat tu hantar awak tak jauh dari rumah kita. Kebetulan abang baru balik kerja masa tu. Memang Allah nak tunjuk, isteri macam awak ni jenis tak setia! Isteri derhaka! Nasib baik abang tak terajang saja awak dan ex-bf tercinta tu. Nasib baik suami awak ni masih boleh bersabar sampai tiga bulan!"

Aku tersentak. Terasa ke dasar hati. Pedas sekali bahasanya. Soalan dijawab dengan tohmahan. Dengan kemarahan. Spontan, air mata ini menuruni pipi.

"Maafkan saya, abang. Tapi, saya dah tak jumpa dia lepas tu. Tak berhubung pun! Sumpah!"

Suamiku terus berjalan ke pintu bilik. Dicapai jaket dan walletnya. Segera aku mendapatkannya. Mencapai tangannya. Dia menyentak pantas tanganku. Enggan disentuh.

"Abang...dengarlah penjelasan saya dulu. Maafkan saya. Maaf..."

Dia berjalan keluar. Dicapainya kunci kereta. Aku segera menahannya. Namun, waktu ku cuba capai bahunya, kepalaku tiba-tiba pusing. Pening sangat-sangat. Pandangan di hadapanku gelap gelita.

Sedar-sedar, dah berada di hospital.

Suami sedang bercakap-cakap dengan doktor. Kemudian, doktor datang kepadaku. Dengan senyuman penuh erti.

"Tahniah, puan. Puan dah tiga bulan hamil."

Aku bagai tak percaya. Aku akan jadi ibu! Alhamdulillah. Gembira bukan kepalang. Doktor meninggalkan kami berdua.

Ku lihat suami yang tadi tersenyum happy depan doktor, tiba-tiba berubah watak. Sekelip mata, masam mencuka. Seraya berkata ringkas,

"Anak siapa dalam perut tu? Anak abang? Anak lelaki tak guna tu?"

Pecah berderai hati. Sinis betul. Sampai aku tak mampu mengeluarkan kata-kata. Tangisan menggantikan bingkisan hati yang tidak terluah. Tuduhan sebesar dunia seorang suami pada seorang isteri. Bukan dakwaan gurauan. Ni seperti sudah menganggapku terlanjur buat kerja terkutuk dengan bekas kekasih.

Sehina itukah diri ini?

"Sampai hati...."

Mulai saat itu, layanan makin dingin ku terima. Ku sangkakan kemarau sudah sampai ke penghujungnya, rupanya berpanjangan hingga tandus kering. Hingga luruh susut ke akar umbi.

Dua bulan berlalu.

Perangai suami makin menjadi-jadi.

Kadang-kadang dia langsung tak balik kerja. Outstation berhari-hari. Entah betul entah tidak. Seribu alasan.

Aku ke klinik bersendirian. Buat pemeriksaan pun bersendirian. Kadang-kadang, aku dimarahi nurse. Sebab blood test suami diperlukan juga sekarang. Bukan isteri hamil saja yang diperiksa. Suami pun kena. Bermacam alasan ku berikan. Prosedur demi prosedur ku jalani sendiri dengan doktor. Cemburu sangat bila lihat pasangan hamil yang lain datang ditemani suami masing-masing. Ada yang bukan setakat suami, satu famili datang temankan. Tak sabar menanti kelahiran anak masing-masing.

Tapi aku? Ah. Pilu!

Aku pula sejak mengandung, badan makin berisi. Wajah yang dulu runcing, sudah jadi tembam bulat. Wajahku yang jadi kegilaan ramai dulu, kini tak ubah seperti makcik-makcik. Badan pun gempal. Efek hamil.

Pening, loya, sensitif masa mengandung makin menjadi-jadi. Sudahlah hamil buat pertama kali. Tak ada siapa pula di sisi. Kadang-kadang, ibu ayah menghubungi tanya khabar. Aku cuma jawab aku okay, sihat, happy. Padahal dalam hati, macam hidup dalam neraka ciptaan sendiri.

Berpura-pura.

Bila suami balik ke rumah, sibuk dengan henfonnya. Tak lepas dengan henfon. Kadang-kadang, ku lihat dia tersenyum sendiri depan henfonnya. Pernah sekali, aku curi-curi buka henfonnya. Luluh hatiku. Ada gambar perempuan lain. Nyata, dia sedang berubah hati. Menambahkan kesedihan dalam hati.

"Abang, kenapa buat saya macam ni? Percayalah, ni anak abang. Wallahi, saya tidak pernah berlaku sumbang dengan lelaki lain!"

Suamiku mengerling tajam.

"Abang sikit pun tak percaya. Dulu, awak pernah kata, awak tak cinta abang pun, kan?"

Aku bungkam. Peritnya jiwa!

Dia tak tahu, aku sedaya upaya singkirkan seluruh rasa pada kekasih lama. Sedaya upaya termampu daya alihkan seluruh perasaan 150 juta peratus cinta hanya pada suami. Hanya pada dia yang sah! Mengapa dia tak mengerti? Kenapa dia tak nampak?

Aku dah sediakan makan minumnya setiap hari. Sikit pun tidak disentuhnya. Aku sediakan pakaian kerjanya, tapi dia pakai pakaian yang lain. Aku tunggu di muka pintu rumah pergi dan balik kerja untuk salami tangannya, tapi sikit pun tidak dihirau. Ya Rabbi! Aku isterinya atau cuma tunggul kayu?

Atau, Tuhan sedang membalas kembali, satu persatu kesalahanku pada bekas kekasihku dulu? Aku yang kejam kerana meninggalkannya dan memilih suamiku sekarang. Aku yang buat dia menderita, merana memendam rasa. Doa orang yang dizalimi tidak pernah tertolak!

Sendiri menitis air mata. Kesal sendiri. Kalaulah aku memilih untuk hidup bersama orang yang aku cintai dulu, sudah pasti kini aku sudah bahagia. Kecewa di dasar hati. Tapi, aku mengerti..

..istilah "kalaulah" tidak terbit dalam kamus agama!

Aku ditinggalkan berhari-hari. Melewati setiap hari yang berlalu dengan air mata. Ku capai henfon. Ku taip mesej ringkas.

Aku nak mengadu derita. Tak tahu pada siapa. Hantar pada kekasih lama. Sudah enam bulan berlalu. Agaknya dia takkan reply.

Ding!

Mesej masuk.

"Kau bertabah, ya."

Eh, dia masih ada! Seketika, aku rasa ada tempat untuk berpaut.

Terus saat itu, ku curahkan semua yang terbuku di sudut hati. Segala yang ku alami, segala yang ku deritai. Ku beritahu semua. Hingga hasratku yang kekadang rasa mahu diceraikan saja pun ku luahkan.

Lelaki itu tenang membalas setiap mesejku.

"Kau jangan rasa menyesal tidak memilih aku. Kau ingatlah, ini adalah ketentuan Allah. Pilihan Allah.

Antara pilihan kau dan pilihan Allah, pilihan kau selama-lamanya akan tewas.

Allah Maha Besar. Takdir-Nya lebih besar dari hati kita. Hati yang sekelumit ini jua akan tumpas berdepan dengan takdir Allah.

Kau sabarlah ya. Doalah. Doa yang tulus ikhlas dan bersungguh-sungguh meratap syahdu di setiap sujudmu dan di setiap malam harimu, mampu merubah takdir. Hati suami kau, Allah yang pegang. Keras seperti batu pun, sekali dijentik dengan kasih-Nya, berkecai jadi air yang mengalir. Kau yakinlah pada Allah.

Yakin, kau perlu cintai suami kerana Dia.

Andai tiada Tuhan di hatimu,
Cinta pinjaman itu akhirnya beku."

Pedih.

Aku nyatakan, aku dah tak boleh sabar lagi. Dah tak boleh tahan lagi sengsara.

Lelaki itu tenang lagi membalas.

"Ujian Allah tidak pernah untuk buat kita jauh dari-Nya. Ujian-Nya adalah untuk menghapuskan jurang antara hamba dan Pencipta. Makin kuat ujian, makin rapat dan mesra kasih-Nya.

Ingat, hati-hati yang terluka, derita, sedih dan sengsara itu, Pembelanya adalah Dia sendiri.

Kau terimalah ujian ini dengan sekuat daya. Anggap saja ianya sebagai penghapus dosa-dosa semasa kita bersama dulu. Dulu, kita jahil. Syukur, Allah balas ketika di dunia lagi. Andai dibalas di akhirat, beribu kali ganda sakitnya. Andai kau rasa sakit sangat sekarang, ingatlah sakit lagi di akhirat. Azab lagi seksaannya kelak.

Kau nak begitu? Pastinya tak mahu.

Kau tenang saja dan rasailah kasih Tuhan mengalir dalam dugaan ini. Di penghujung setiap kesabaran, adalah ketenangan dan pertolongan dari Allah. Solat dan sabar. Tak boleh sabar, solat. Tak boleh solat, sabarlah.

Sakit dalam hati ini, jua antara nikmat-Nya. Tak jadi begini, kau takkan menangis. Takkan lemah longlai mencari Allah. Sebab rasa sakitlah, kau mula cari Penyembuhnya.

Sakit itu nikmat."

Aku masih tak yakin aku mampu kuat. Tapi, lelaki itu text lagi sambungan. Demi menguatkan aku.

"Bila semuanya sudah tidak terdaya kau lakukan. Menangislah kerana Allah. Jangan menangis kerana duka semata. Menangis kerana kau merasa lemahnya sebagai hamba Dia.

Rasulullah s.a.w. jua menangis. Menangis ketika kehilangan isteri tercinta, Saidatina Khadijah. Menangis ketika kehilangan anaknya. Kehilangan puterinya.

Usamah bin Zaid meriwayatkan, bahawasanya Rasulullah s.a.w. mengangkat mayat anak dari puteri Baginda yang telah meninggal dunia. Lantas kedua-dua mata Rasulullah s.a.w bercucuran air mata.

Sa'd berkata kepada Rasulullah s.a.w.,

"Wahai Rasulullah, kenapa engkau menangis?" Rasulullah s.a.w. menjawab,

"Ini adalah kasih sayang. Allah menjadikan kasih sayang ini di dalam hati hamba-hamba-Nya dan Allah Maha Mengasihi hamba-hamba-Nya yang bersifat pengasih." (HR Muttafaqun 'Alaih)

Rasulullah kenang kasih Tuhan dalam tangisan. Kau pun kenanglah kasih Tuhan seperti Nabi lakukan.

Aku percaya kau juga pengasih orangnya. Kasih kepada suami kau, sebab itu kau bertahan hingga sekarang. Kasih kepada anak dalam kandungan kau, sebab itu kau sanggup menyerap segala derita.

Aku dah lama kenal hati budi kau."

Menangis aku membaca bait-bait teksnya. Mengapa lelaki ini begitu baik pada aku, walaupun aku menolaknya semahu hati sewaktu dulu?

Allahurabbi..

"Ingatlah, dalam Surah Al-Mulk ayat 30, Allah berfirman yang bermaksud,

"Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap ditelan bumi, maka siapakah yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?"

Andai air di dunia ini semuanya hilang lenyap, Allah sahaja yang mampu memancarkan semula mata air yang telah tertutup rapat.

Begitu juga hati suami kau. Andai cintanya hilang lenyap ditelan kemarahannya sekalipun, siapakah yang dapat memancarkan kembali cintanya pada kau selain Allah?

Hanya Dia. Hanya Allah."

Aku bagaikan ditiup semangat dan kekuatan.

Tidak sedar, waktu aku tengah bermesej, suamiku pulang dari kerja. Kantoi. Dirampasnya henfon aku. Dilihatnya nama bekas kekasih yang terpapar di skrin.

Apa lagi, amuk satu rumah.

Aku cuba meminta maaf. Namun, sia-sia. Aku dimaki hamun semahunya. Istilah mesra 'abang, sayang' sudah hilang.

"Hey perempuan! Aku nikahi kau sebab muka kau tu cantik saja! Sebab keluarga kau setaraf keluarga aku! Ada harta! Ada status! Kalau kau miskin, kau tak cantik, sampai kiamat pun aku tak ingin pun!

Kau sedarlah sikit diri tu! Perempuan keji!

Kau nak bercerai, kan?!

Baik, aku ceraikan kau! Pergi jahanam kau dengan jantan tak guna tu!"

Aku bagai dipanah petir. Terkaku dengan esak tangis di ruang tamu. Suamiku mahu berlalu pergi dari rumah.

"Abang..jangan buat saya begini. Saya tengah mengandung, bang. Tolonglah kasihankan anak kita ni. Tolong..."

Tidak dihiraukan. Aku segera berlutut di kakinya, pegang erat betisnya. Dekap kemas. Minta jangan pergi.

Diterjahnya aku ke sisi. Aku berlari lagi mendapatkannya. Malang. Tersadung di tangga rumah. Tergolek di anak tangga yang berbelas-belas itu. Perutku sakit pedih. Argh. Darah mengalir ke bawah membasahi kedua kakiku.

***

Kala malam. Di sisi katil.

Lelaki yang bernama suami itu nampak sugul. Termenung sendiri. Pipinya berbekas aliran air mata.

Sudah sebulan berlalu. Hari ini harijadinya.

Kemas di ingatan, dia menerima pesanan ringkas di henfon isterinya. Dari bekas kekasih isteri. Mesej itu bukan dari lelaki yang dibencinya itu, tapi dari si adik lelaki itu. Katanya, abangnya sudah tiada.

Malam pergaduhan terakhirnya dengan isteri, hari itu sebenarnya hari pembedahan kepala bekas teman lelaki isterinya.

Enam bulan lepas, selepas menghantar isterinya pulang, lelaki itu terlibat dengan kemalangan jalanraya. Mengalami kecederaan teruk di bahagian kepalanya. Namun, survive dengan terlantar sekian lama di katil hospital. Darah beku masih ada di kepalanya, pembedahan kali kedua di kepala nyata tidak menyebelahinya.

Allah lebih menyayangi.

Mesej-mesej antara isterinya dengan lelaki itu. Itulah mesej-mesejnya yang terakhir.

Dia sendiri dah baca. Terkejut, butiran mesej tiada sedikit pun seperti sangkaannya. Sangkanya lelaki itu menagih simpati, bermain kasih dengan isteri tercinta. Rupanya meleset. Sesungguhnya, lelaki itu cuma mahu lihat suami dan isteri itu hidup bahagia. Melepaskan total cinta dari hatinya.

Lelaki tulus itu. Melepaskan cinta yang bukan miliknya. Takkan pernah jadi miliknya selamanya.

Sang suami itu sendiri ada singgah di hospital tempat lelaki itu dibedah. Memang benar. Lelaki itu sudah tiada.

Mengalir air mata sendiri.

Apa yang lebih dikesalinya. Isterinya. Keguguran.

Bahkan, Allah jua telah mengambil kembali apa yang Dia pinjamkan. Pendarahan serius akhirnya membawa isterinya ke hujung nyawa.

Kecewa tidak terhingga. Sesal tidak terkata.

Dia bangun. Buka almari isterinya. Menitis air mata melihat pakaian isterinya. Rindu teramat. Membelek-belek helaian baju arwah isteri. Matanya terlihat sesuatu terselit di suatu sudut. Sebuah kotak. Kotak hadiah.

Dibukanya kotak itu.

"Hadiah untuk suamiku."

Ada sehelai jaket brand kegemarannya. Dengan warna kesukaan. Bersama satu kad ucapan mini.

"Abang, saya panjatkan kasih ini untuk abang.

Walaupun hati ini terkadang pilu, kenang sikap abang yang dingin beku. Tapi, percayalah, hati ini untuk abang seorang. Segala rintangan akan saya tempuhi untuk dapatkan hati abang kembali. Walaupun belum tentu bila waktunya abang akan terbuka hati, kembali menyayangi diri ini.

Percayalah jua, demi Tuhan, isteri abang ini suci sedari waktu akad nikah lagi. Milik abang sepenuhnya.

Abang. Saat saya titipkan ni, hati ini tulus mencintai."

Di akhir kad tercatat kalimah,

"Saat Allah masih beri waktu..
Hargai aku.."

Lelaki itu terduduk. Menggigil tubuhnya. Kesal.

Nangis semahunya. Apa guna lagi air mata. Berulang kali bibirnya melafazkan cinta pada arwah isterinya tika itu. Pada si isteri yang sudah tidak lagi mampu mendengar segala luahan rasa.

Isteri yang tak lagi mampu mengukir senyum sebagai balasan.

Lafaz balas yang akhirnya tersimpan selamanya.

Senyuman yang akhirnya pudar jua.

Cinta, benarlah milik Dia.

45 comments:

  1. Allah..terkesan di hati..terima kasih..

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih sudi baca di blog :)

      Delete
  2. Sedihnya .. :'( cinta benar2 bkn milik kita.. Tp milik dia..Allah..:'(

    ReplyDelete
  3. saya menitis air mata baca..
    rahsia Allah disebalik rahsia Dia.

    ReplyDelete
  4. Anonymous10:45 AM

    Berbekas di haty..sayu..pilu..
    Segalanya ketentuan dari Allah Taala..

    ReplyDelete
  5. Anonymous4:23 PM

    Segalanya telah ditakdirkan..
    Sayu dengan pengakhirannya..

    ReplyDelete
  6. sob sob.. tacing.. lap hinguih sat

    ReplyDelete
  7. ^_^ hanya hambanya yang benar2 kuat sahaja, yang boleh hadapi..

    ReplyDelete
  8. Salam kenal! Saya dari team Kumpulbagi.
    Jika Anda mau share dan download files dengan gampang kunjungi page kami di: www.kumpulbagi.com
    Semuanya gratis, cepat dan tanpa limitasi. Anda bisa upload sebanyak files (audio, video, pdf, jpg, dll.), membuat koleksi berkas dan bagikan dengan lainya.
    Coba servis kami tanpa registrasi:)

    ReplyDelete
  9. subhanalloh..aku sampe menteskan airmata baca cerpen nya.. terimakasih ya..

    ReplyDelete
  10. SubhanaALLAH ... Sngat mndalam mksud crite ni. Sesungguhnya cinta hnya milik ALLAH SWT ..
    :(

    ReplyDelete
  11. Baru terjumpa blog ni terus jatuh cinta ngn abg bikai... Opss, dengan karya2 abg bikai! Banyak mesej2 yang sentap lagi mantap yang sangat best. Boleh jadi motivasi dan inspirasi!... Teruskan berkarya abg bikai.. ;)

    ReplyDelete
  12. Speechless..

    Tahniah di atas hasil tulisan yang memberi kesan kepada pembaca.

    Teruskan berkarya.

    *ada kaitan kisah benar ke?������

    ReplyDelete
  13. Anonymous11:32 PM

    Terima kasih. I cried. This story kind of relates.

    The moment I read this, my most precious person in the world is having a break down.
    I tried really hard to comfort her, but I guess it doesn't do much help.
    Then I came to this. Stole a few words from here and told her.
    And we cried. So I hope things can only get better from here.

    So, thank you. A lot. Maybe it's not much, but it really means something to me.
    Keep inspiring people.
    You don't know how many soul you've helped already.
    Jzkk.

    ReplyDelete
  14. Ya Allah. Best sangat! Sangat mendalam.

    ReplyDelete
  15. Anonymous7:34 AM

    Indahnya bahada, bermain kata menyentuh rasa. Terima kasih.

    ReplyDelete
  16. Love the story..

    ReplyDelete
  17. menyentuh sekali kak..

    numpang share link aku yaa, kalau ingin berkunjung ke blog aku juga nggak papa
    obat kista tradisional.
    obat pelangsing herbal.
    thanks before..

    ReplyDelete
  18. Anonymous3:21 AM

    Assalamualaikum bro, dah lama sy cari blog bro ni. dulu selalu baca time tingkatan lagi. mmg menyentuh pun & sy dah bookmark skali so sy ingat dakwah2 bro & takde la sy lupa lepas ni. thank you & may Allah bless you

    ReplyDelete
  19. Anonymous3:23 AM

    nnt sy nak lukis brdakwah macam bro!

    ReplyDelete
  20. Allahu,sy menitis air mata.sungguh terkesan.walau kisah tidak sama,hanya sy kesedihan berseorangan sedangkan dia sedang bahgia,tangisan yg mengiringi tiap ketika kerana kecewa dan terluka kasih dibiarkan.subhanallah,kasih Allah itu kuat lalu aku diberi dugaan hebat ini.terima kasih untuk kesedaran di hati ini..

    ReplyDelete
  21. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  22. Abg rusydi, minta share na. Terima kasih

    ReplyDelete
  23. Anonymous1:12 PM

    Ya Allah.. sedih gile bce

    ReplyDelete
  24. Jleb banget ceritanya, nggak di cetak hard copy ya?


    Wisata Kuliner Makanan Teknologi Dunia

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tuh... harusnya di cetak aja ceritanya~ bagus.... menyentuh hiks :"3

      Delete
  25. Anonymous2:06 PM

    Srs best gilerr cerpen nie. Bnyk kata2 yg mnusuk ke jiwA ku

    ReplyDelete
  26. Ohhh... yini suda saya bacain bang bikai.. huhu..

    ReplyDelete
  27. MashaaAllah..subhanaAllah,.Hidayah itu milik Allah..jika Allah berkendak bg kpd ssiapa yg Dia, maka teda ssiapa yg bule mghalangnya..

    Kmi suma menantikan karya2 drpd akhi rusydee Artz.. Teruskn menulis..jika diizinkn, buatlah satu novel..inshaaAllah psti rmai yg akan ternanti2kannya..


    Jazakallahu khairan khatsira akhi..smoga Allah ttap mmelihara iman dan taqwa dunia wal akhirat..Allahumma aamiin..

    ReplyDelete
  28. Anonymous4:33 PM

    mohon share

    ReplyDelete
  29. Anonymous4:44 PM

    mohon share

    ReplyDelete
  30. Anonymous4:44 PM

    mohon share

    ReplyDelete
  31. Fuh! Siapa je tak titiskan airmata baca cerpen ni 😢😢

    ReplyDelete
  32. Fuh! Siapa je tak titiskan airmata baca cerpen ni 😢😢

    ReplyDelete
  33. Pinjaman untuk pelbagai tujuan
    Kami menawarkan jumlah minimum 10,000.00 dolar untuk 10 juta dolar
    Pada kadar faedah yang rendah sebanyak 2%
    pinjaman
    tempoh: sehingga 25 tahun bergantung kepada jumlah pinjaman yang anda perlukan.
    pelanggan mesti
    Melebihi usia o f 18 tahun
    Urus niaga ini adalah 100% selamat untuk semua clents
    Untuk maklumat lanjut mengenai kredit, sila hubungi kami melalui e-mel:
    (Daviesruthfirm@gmail.com)

    ReplyDelete
  34. 5 bulan 8 hari.... Takda satu hari pun tanpa air mata....

    ReplyDelete
  35. Anonymous8:23 PM

    Sedih sangat, terkesab hati saya membacanya

    ReplyDelete
  36. subhaAllah. menangis baca cerpen ni.

    ReplyDelete
  37. Raih Kemenangan Besar Anda Disitus MARIO QQ, Hanya Dengan Modal Rp.10.000 Anda Bisa Menangkan Jackpot Jutaan Rupiah Setiap Harinya !!!

    ✅ BONUS TURN OVER 0.3%
    ✅ BONUS REFFERAL 15%
    ✅ WIN RATE GAME 96,9%
    ✅ 100% PLAYER Vs PLAYER ( NO ROBOT & ADMIN )
    ✅ Minimal Deposit Bank : Rp.10.000 (BCA MANDIRI BNI BRI DANAMON)
    ✅ Minimal Deposit Pulsa : Rp.10.000
    ✅ Support E-Cash : GOPAY , DANA , OVO , LINK

    Berapapun Kemenangan Bosku Pasti Akan Kami Bayar dan Kita Proses Dengan Cepat !!!
    Hanya Disitus MARIO QQ Yang Memberikan JACKPOT dan BONUS TURN OVER Yang FANTASTIS Loh !!! Ayo Tunggu Apalagi Buruan Daftarkan dan Mainkan
    Langsung Disitus Resmi MARIO QQ Dibawah Ini melalui :
    WHATSAPP +62 821-4331-1663

    Link Alternatif :
    - www.vipmario55. info
    - www.vipmario55. com

    ReplyDelete
  38. Anonymous11:38 PM

    Hi dearself , Muhammad Alif . Andai kau melihat kembali di ruangan komen ini , ketahuilah kau bahawa tiada cinta yang abadi antara manusia . Semuanya akan pergi bila tiba masa :) . 29/11/2023 , 11.30 pm , Uitm Seremban 3 . Semester 5 . Goodluck !!!!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...