Arjuna Al-Quran
Karya : Muhammad Rusydi
***
Aku mengelap pinggan mangkuk yang dicuci abang tadi.
“Bang, adik dah siap.”
Abang aku tersenyum.
“Bagus. Kita kemas rumah pula. Jom! Lepas kemas rumah, abang nak beritahu satu projek rahsia!”
Aku teruja nak tahu. Bersungguh-sungguh aku kemas rumah hari tu. Bersemangat.
Itulah abang aku. Darjah 6. Aku baru darjah 4. Kehidupan kami seharian dalam kitaran yang sama. Balik sekolah, tolong ibu kemas dapur selepas makan. Lepas dapur, kemas rumah pula.
Pergi dan balik sekolah berjalan kaki. Sekolah taklah jauh dari rumah. Ada lah dalam 15 minit.
Ibu. Ibuku sejak tahun lepas, kesihatannya merosot. Kata doktor, jantung ibu lemah. Dalam rumah, hanya ada kami empat beradik. Aku, abang aku dan dua adik perempuan yang masih kecil.
Ayah. Aku tak tahu banyak mengenai ayah. Tiga tahun lepas, ayah menghilang. Ibu ditinggalkan begitu saja. Digantung tidak bertali. Aku tidak mengerti. Namun, apa yang ku amati, ibu berlinang air mata tiap malam. Namun, di siang hari ibu tabah berdiri seolah tiada apa yang terjadi. Duka disembunyi. Mungkin itu yang membuat ibu sakit sendiri. Kadang-kadang, aku mahu membenci ayah. Namun, ibu menyematkan di hati kami, “Ayah seorang yang baik hati.” Aku makin tidak mengerti. Mungkin suatu hari. Kata ibu, “masalah orang dewasa tidak mampu difahami dengan baik oleh budak-budak.”
Kerja ibu tidak sehebat ibu-ibu yang lain. Ibu hanya mengambil upah menjahit dan tempahan kuih-muih tradisional. Mujurlah ada sedikit kemahiran. Itupun ikut musim. Kadang-kadang tak ada langsung pelanggan. Ibu bukannya ada kedai. Bukannya ada laman sosial berniaga online.
Ibu tak larat nak jalan jauh. Dia cepat mengah. Kami ke sekolah sendiri-sendiri. Kadang-kadang, terasa juga iri hati dengan kawan-kawan. Ibu bapa hantar dengan kereta. Besar-besar pula tu kereta. Tapi, abang aku selalu memujuk hati ini.
Kata abang,
“Buat apa nak naik kereta, sedangkan Allah kurnia pada kita kaki untuk berjalan dan berlari? Syukur, rumah kita tidak sejauh mereka.”
“Kalau hujan, macam mana?”
“Kalau hujan, payung kan ada.”
“Kalau kasut basah, macam mana?”
“Kalau takut kasut basah, kita tanggalkan, letak dalam beg. Pakai selipar. Sampai sekolah, tukar.”
Aku selalu banyak bertanya. Tapi, abang aku tenang sentiasa. Ada saja jawapannya.
Pernah sekali aku ke sekolah, ada kawan curi-curi bawa ipad. Sibuk bermain games dengan kawan-kawan. Aku hanya mampu meneguk air liur. Nampak menarik. Mahu saja aku bertanya harganya. Namun, kawan terlebih dahulu maklumkan harganya mencecah ribu ringgit. Aku hanya melihat dari jauh. Nak minta cuba, malu. Nak minta sentuh, takut rosak. Aku tak ada duit nak ganti balik. Kadang-kadang aku tak faham, kenapa orang yang ada benda-benda macam ni sengaja nak menunjuk-nunjuk? Tak sedarkah aku yang serba kekurangan, tiada harta ini terasa sampai ke lubuk hati?
Sambil berjalan balik dari sekolah, aku tanya abang. Abang kata,
“Kenapa adik nak tertarik dengan benda tu? Hanya games. Bila adik main games, agak-agak adik ingat tak benda sekeliling? Adik akan lupa waktu berjalan. Adik akan lupa kerja-kerja rumah, bertangguh kerja sekolah, apatah lagi bersolat. Adik akan mula mengeluh bila disuruh bantu ibu. Mula marah-marah bila diganggu. Bahkan, di permulaan untuk beli benda tu sahaja sudah memaksa ibu memerah keringat siang dan malam. Mungkin dua tiga bulan bersengkang mata. Hanya untuk puaskan hati adik main games. Itu yang adik nak?”
Aku sebak. Terkenang ibu bersusah payah untuk kami. Rasa bersalah menyelubungi.
“Baik, bang. Kita main bola sajalah. Nanti boleh jadi hebat dan kaya macam Ronaldo. Nanti boleh tolong ibu, kan?”
Abang aku tersenyum. Angkat ibu jari.
**
“Abang, apa projek rahsia tu? Nak tahu!”
Abang duduk bersila di hadapanku.
“Sabar, boleh? Nak beritahulah ni.”
Kami duduk di bawah pokok rambutan yang merendang di hadapan rumah. Senja petang. Angin yang bertiup perlahan mendamaikan. Menyegarkan tubuh kami yang tadi sedikit keletihan.
“Dekat sekolah tadi, ustazah mengajar kelas abang satu benda ni. Menarik.”
Aku menggosok hidung sendiri yang tak gatal.
“Menarik? Tentang apa, bang?”
“Tentang hadiah terbaik buat ibu dan bapa.”
Abangku tersengih melihatku. Sekilas, dia memandang ke langit biru. Aku menanti bait-bait katanya.
“Hadiah terbaik. Bukan duit atau kekayaan. Bukan rumah besar atau kereta besar. Bukan result cemerlang kalahkan semua orang. Bukan kerja best mendabik dada. Bukan pangkat tinggi disanjung dunia. Itu semua duniawi. Hadiah yang hanya mampu memuaskan dan menggembirakan mereka untuk waktu sementara. Ada hadiah yang lagi best tahu tak?”
Abangku berdiri. Mencekak pinggangnya.
“Wah, apa dia, apa dia?!”
Abangku tersengih menampakkan giginya yang tidak tersusun.
“Hadiah itu adalah Al-Quran!”
Aku berkerut kening tidak memahami.
“Maksud abang? Kita belikan Al-Quran dan hadiahkan pada ibu ayah?”
Abangku menggelengkan kepala.
“Salah!
Kita kuasai Al-Quran. Kita belajar Al-Quran. Kita fahami Al-Quran. Kita amalkan hidup cara Al-Quran!
Inilah hadiah yang paling besar, bermakna dan bernilai kepada ibu dan bapa kita. The best mengalahkan segala hadiah yang paling best atas muka bumi ni. Paling best di dunia sampai ke akhirat. Sangat best sehingga membawa ibu dan ayah ke Syurga bersama-sama!”
Aku berdiri sama.
“Maksud abang, dengan Al-Quran, kita boleh happykan ibu kembali?”
Abang memegang kedua-dua bahuku.
“Ya, dik. Abang yakin. Kita kuasai ilmu Al-Quran dulu. Bila kita kuasai ilmu tu, kita fahami dan kita buat ikut betul-betul macam dalam Al-Quran, abang yakin, Allah akan sayang kita. Bila Allah dah sayang kita, Allah akan makbulkan doa kita. Allah akan jaga orang-orang yang kita sayang. Abang yakin, dik. Abang yakin!”
Aku sebak.
“Lepas ni, ibu akan sihat dan tersenyum kembali? Semuanya akan pulih sihat seperti sediakala? Ibu takkan menangis sorang-sorang di malam hari lagi? Takkan menitiskan air mata sewaktu membasuh beras sediakan nasi untuk kita makan lagi?”
Abang mendakap hiba diriku. Seraya berkata penuh semangat.
“Ya, dik. Benar. Insya-Allah. Ustazah kata suruh yakin pada Allah. Kita arjuna-arjuna ibu. Hero-hero yang melindungi ibu. Bila kita yakin pada Allah, dunia yang menyedihkan dan menakutkan ini tidak mampu menggoncangkan hati kita. Ustazah kata, ‘orang yang disebutkan nama Allah lalu bergetarlah hati mereka, orang itulah arjuna dan hero yang sebenar!’
Mari dik, kita pergi belajar Al-Quran. Kita tak pandai sangat Al-Quran. Ibu pun tak begitu arif ilmu Al-Quran. Sebab itu, ibu suruh kita pergi sekolah untuk belajar. Tapi, tak pandai-pandai juga. Baca pun tergagap-gagap lagi. Kali ni, kita kena usaha lebih sedikit. Kita cari tok guru Al-Quran. Kita belajar betul-betul. Lepas dah pandai baca, kita hafal Al-Quran sampai habis. Sambil hafal, kita cuba fahami maknanya. Kita cuba buat sikit-sikit apa yang kita mampu buat. Ikut yang Allah suruh. Abang optimis, suatu hari kita akan berjaya jua akhirnya. Ikhlaskan hati demi Allah.”
Aku berbisik perlahan.
“Bila kita nak mula projek belajar Al-Quran ni?”
“Minggu depan, kita tanya ibu dulu.”
“Baiklah. Adik setuju! Err, kita tak nak letak nama projek ni?”
Abangku berfikir sejenak.
“Abang namakan projek ni, projek ‘Arjuna Al-Quran!’”
Aku dan abangku gelak sama-sama. Dalam hati, ada tekad yang kuat. Semangat yang membara.
**
“Ibu izinkan.”
Kami melompat keriangan. Ibu siap beritahu lagi tempat untuk mengaji Al-Quran. Tak jauh. Perumahan sebelah saja.
Malam itu, ibu sakit kepala. Sakitnya datang lagi. Dadanya sesak. Aku dan abang membantu ibu, berikan ubat dan berbaring di sebelah ibu. Kami jaga ibu sama-sama.
Adik-adik yang lain telah lama tertidur di sebelah ibu jua.
Ibu mengusap-ngusap rambutku. Sekali-sekala, membelai rambut abangku. Sakit-sakit pun, ibu tetaplah ibu. Ibu disayangi kerana menyayangi. Biar ibu menderita dalam hati, tapi kasih pada kami tiada berkurang walaupun seinci.
Aku mendengar ibu bersuara perlahan.
“Ibu takkan selalu ada.”
Abangku meraih tangan ibu. Genggam.
“Jangan kata begitu, bu. Kami sentiasa doakan ibu panjang umur. Cepat sihat kembali.”
Ibu tersenyum perit.
“Walau ibu tiada. Tuhan ada.
Selama Tuhanmu ada, takkan engkau tercela.”
Aku cuba memahami kata-kata ibu. Terasa sebak dalam hati. Aku meraih tangan ibu sebelah lagi, mendakap kemas tangan itu.
“Maafkan adik, ibu. Adik banyak buat ibu terluka hati. Buat ibu marah.”
Ibu tak menyambung kata. Segera memeluk kami adik-beradik erat-erat. Menangis semahunya. Aku jua turut menangis. Abangku pun sama.
Sungguh, ayah tidak mengerti. Saat ayah tegar melukai. Saat ayah biarkan kami survive sendiri.
Saat ayah pergi, dalamnya duka dalam hati.
**
Petang Jumaat.
Ibu membekalkan empat biji karipap yang ibu buat sendiri kepada aku dan abang aku. Bersama air mineral sebotol seorang. Serta sebungkus gula.
“Bila lapar dalam perjalanan nanti, makanlah. Gula ni pula hadiahkan pada tok guru Al-Quran, ya. Ingat pesan ibu, salam cium tangan tok guru. Dengar teliti setiap perkataannya. Minta maaf cepat-cepat andai buat silap. Mata jangan melilau tengok ke dalam rumah orang.”
Aku dan abangku menyalami tangan ibu. Abang cium lama-lama tangan ibu. Minta kucup pipi ibu.
“Ibu, doakan kami. Kami nak jadi permata Syurga buat ibu. Kami ni arjuna ibu. Mahu jadi arjuna Al-Quran Allah.”
“Amiiin..”
Ibu senyum manis menghantar kami di tangga rumah.
Abang memimpin tanganku. Berjalan kaki sama-sama. Tidak segan-segan pegang tangan aku. Dia kata, dia abang. Tanggungjawab dia, jaga aku.
Dalam 20 minit lagi, kami akan sampai ke rumah tok guru. Terujanya. Inilah kali pertama dalam hidup, aku rasa bersemangat untuk menimba ilmu. Mungkin datang dari niat di hati. Rupa-rupanya, ikhlas itu sangat penting dalam memotivasikan kehidupan. Tanpanya, malas akan menguasai diri. Buat sesuatu kerana Allah memang berbeza kesannya.
Ya, kerana Allah. Setiap langkah ini jua kerana Allah. Nak menggembirakan ibu pun kerana Allah. Semuanya kerana Allah.
Kami sampai di jalan besar. Nak menyeberang ke perumahan sebelah. Jalanraya nampak agak sibuk. Abangku memegang erat tanganku.
“Pandang kiri kanan, ya. Jangan lepaskan tangan abang. Baca bismillah.”
Aku bisikkan perlahan basmallah. Membuntuti abangku melintas. Aku tak biasa lintas jalan besar. Agak kaget sedikit.
Lorong pertama jalan berjaya diseberangi. Sekarang, kami berada di tengah-tengah jalan. Abang menarik aku cepat-cepat melintas. Tiba-tiba, aku perasan karipap yang berada dalam plastik, yang tergantung pada beg sandang aku, terurai ikatannya. Terlucut di tengah jalan. Aku melepaskan pegangan tangan abangku. Cuba melangkah setapak ke belakang. Mencapai plastik itu balik. Penting bagi aku. Itu kan air tangan ibu.
Telingaku menangkap suara abangku melaungkan sesuatu.
BAMMM!!
Darah memercik ke serata tubuhku.
Aku lihat abangku terperosok di bawah tayar lori. Entah dari mana datangnya kenderaan itu. Seingat aku, tadi memang tak ada. Aku sendiri merasa pedih. Pandanganku kelam. Mengerling ke bahagian bawah badanku. Kakiku.
Kakiku tergilis sama. Remuk tiada berupa kaki lagi. Darah membuak keluar dari mulutku. Aku cuba mencapai tangan abangku. Longlai. Sehabis daya yang ada mencuba. Tanganku menggeletar hebat.
“Bang..bang..”
Tiada sahutan.
“Bang..bangun bang…bangun…kita kena bangun…kita nak jadi arjuna Al-Quran…”
Suaraku tersekat-sekat. Air mata mengalir hangat di pipi.
Wajah ibu silih berganti terbayang di mata. Akhirnya, kabur pandangan mata.
“Ibu…maafkan adik..”
**
Seorang ibu tua terduduk lesu di hadapan pusara dua liang lahad.
Di tangannya sebuah Al-Quran. Milik anak sulungnya.
Dibukanya. Tertulis ringkas di bahagian kulit dalam,
“Ibu, akan ku bahagiakanmu dengan Al-Quran…”
Air mata jernih gugur bertalu-talu. Hati retak seribu.
Dua hero ibu, benar-benar arjuna hati ibu.
Arjuna ibu hatta ke Syurga Firdausi-Mu.
:((
ReplyDeleteT_T... sememangnya rasa bahagia kalau saya jadi ibu kpd arjuna2 pencinta Al-Quran..walau sangat kehilangannya di dunia, semoga di akhirat, dia tetap milik saya dgn izin Allah.. mungkin inilah perasaan setiap ibu2 yg kematian anaknya krn berjuang utk agama Allah..mcm kat Palestin tu kan... mungkin...sangat tabah hati ibu yg melalui keadaan spt ini..krn mmg Allah kurniakan cahaya penyejuk mata itu berada dalam sebahagian dirinya...utk lebih kuatkan imannya juga...semoga iman yg teguh dunia& akhirat..La haula wala quwwata illa billah...
ReplyDeletebuku ni keluaran ape? means pts ke..telaga biru ke..sbb nak cari buku ni.
ReplyDeleteThank you..
Ini bukan buku. Semua adalah karya rusydee artz yang hanya boleh dibaca online secara percuma.
DeleteSedihnya (T_T)... Boleh x sy mnta izin utk copy kisah ni ke wassap sy.. Nk di kongsikan pd kwn2..:-)
ReplyDeleteMaaf.. Kalau x boleh xpe.. :)
ReplyDeleteSemua karya2 Encik Rusydee, Encik Sederhana, Encik Syabab Musafir kasih memang terbaik dari ladang!! TULUSLY, Encik lah harapan bangsa...hihihi buat lagi byk2 cerpen ya..
ReplyDeleteT_T
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteyaa Allah . sdiyhh . xmmpu nk jdik mcm adik dn abg .
ReplyDelete